HomeInfoKalendar Islam 2025 JAKIM: Tarikh-Tarikh Penting 1446-1447

Kalendar Islam 2025 JAKIM: Tarikh-Tarikh Penting 1446-1447

Kalendar Islam atau Takwim yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tahun 2025 amat penting untuk umat Islam di Malaysia kerana ia menyeragamkan tarikh-tarikh penting seperti awal Ramadhan, Aidilfitri dan Aidiladha. 

Dengan adanya kalendar rasmi ini, kekeliruan dalam menentukan tarikh permulaan ibadah dan perayaan dapat dielakkan. Kalendar ini memastikan ibadah dijalankan secara serentak dan seragam di seluruh negara. 

Ini penting agar umat Islam dapat menjalani ibadah secara serentak, mengukuhkan perpaduan dan keharmonian sesama umat Islam di Malaysia.

Dengan adanya rujukan rasmi daripada JAKIM, sebarang kekeliruan mengenai tarikh-tarikh penting dapat dielakkan, sekali gus memastikan kelancaran operasi organisasi serta menjadikan proses perancangan lebih efisien.

Oleh itu, penggunaan kalendar rasmi ini amat disarankan bagi memastikan semua urusan dilaksanakan secara teratur dan penuh keberkatan.

Takwim 2025 Hijri Miladiah / 1446-1447: Panduan Penggunaan

TAKWIM 2025 MILADIAH : 1446-1447 HIJRIAH BAGI MALAYSIA
Sumber; e-Solat JAKIM

Takwim 2025 Miladiah / 1446-1447 Hijriah yang disediakan oleh JAKIM ialah panduan rasmi yang memaparkan tarikh penting sepanjang tahun bagi kegunaan umat Islam di Malaysia. Takwim ini disusun dalam bentuk jadual yang jelas menunjukkan padanan antara bulan Masihi (Miladiah) dengan bulan Hijrah, serta menyatakan tarikh dan hari dalam minggu dengan singkatan huruf yang mudah difahami (contoh: A untuk Ahad, I untuk Isnin).

Selain itu, takwim ini menonjolkan bulan-bulan utama Islam seperti Ramadan (RAM), Syawal (SYW), Zulhijjah (ZHJ), Muharam (MUH) dan lain-lain lagi dengan warna kuning untuk memudahkan pengguna mengenal pasti permulaan bulan-bulan penting dalam Islam. Ini membantu umat Islam membuat perancangan lebih awal bagi melaksanakan ibadah khusus, misalnya puasa Ramadan atau sambutan hari raya.

Justeru, umat Islam di Malaysia boleh menggunakan takwim ini sebagai panduan utama dalam merancang jadual ibadah, aktiviti keluarga, dan jadual harian secara sistematik. Takwim ini juga berguna kepada institusi pendidikan, jabatan kerajaan, dan syarikat swasta dalam menyusun jadual kerja dan cuti tahunan mengikut hari-hari kebesaran Islam.

Tarikh-Tarikh Penting Kalendar Islam 2025 (1446-1447 Hijrah)

Berikut ialah senarai tarikh penting dalam kalendar Islam 2025 JAKIM:

Tarikh HijriTarikh MiladiHari Kebesaran Islam
27 Rejab 144627 Januari 2025Israk dan Mikraj
1 Ramadan 14462 Mac 2025Awal Ramadan / Berpuasa
17 Ramadan 144618 Mac 2025Nuzul al-Quran
1 Syawal 144631 Mac 2025Hari Raya Puasa / Aidilfitri
1 Zulhijjah 144629 Mei 2025Awal Zulhijjah
10 Zulhijjah 14467 Jun 2025Hari Raya Korban / Aidiladha
1 Muharam 144727 Jun 2025Awal Muharam / Maal Hijrah
12 Rabiulawal 14475 September 2025Maulidur Rasul
Tarikh-Tarikh Penting Kalendar Islam 2025 (1446-1447 Hijrah)
Sumber: e-Solat JAKIM

Selain Itu beberapa tarikh penting lain dalam kalendar islam yang perlu kita ketahui adalah;

  • Hari Asyura: 10 Muharam 1447H / 6 Julai 2025
  • Hari Arafah: 9 Zulhijjah 1446H / 6 Jun 2025
  • Lailatul Qadar (10 Malam Terakhir): 20-28 Ramadhan 1446H / 21- 28 Mac 2025
  • Hari Tasyrik (11 Zulhijjah): 11 Zulhijjah 1446H / 8 Jun 2025
  • Hari Tasyrik (12 Zulhijjah): 12 Zulhijjah 1446H / 9 Jun 2025
  • Hari Tasyrik (13 Zulhijjah): 13 Zulhijjah 1446H / 10 Jun 2025
  • Awal Safar: 1 Safar 1447H / 6 Ogos 2025
  • Awal Rejab: 1 Rejab 1447H / 4 September 2025

Negeri Yang Cuti Pada Tarikh Penting Kalendar Islam 2025

Berdasarkan maklumat daripada Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan 2025, berikut adalah senarai negeri yang cuti dan tidak cuti pada tarikh-tarikh penting dalam kalendar Islam 2025:

1. Israk dan Mikraj (27 Januari 2025 – Isnin)

  • Cuti: Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu
  • Tidak Cuti: Johor, Kelantan, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan).

2. Awal Ramadan (2 Mac 2025 – Ahad)

  • Cuti: Johor, Kedah
  • Tidak Cuti: Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan).

3. Nuzul al-Quran (18 Mac 2025 – Selasa)

  • Cuti: Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan).
  • Tidak Cuti: Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak

4. Hari Raya Aidilfitri (31 Mac 2025 – Isnin & 1 April 2025 – Selasa)

  • Cuti: Semua negeri di Malaysia
  • *melaka cuti 3 hari – Isnin, Selasa dan Rabu

5. Hari Raya Aidiladha (7 Jun 2025 – Sabtu)

  • Cuti: Semua negeri di Malaysia
  • Cuti Hari Kedua (8 Jun 2025 – Ahad): Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu

6. Awal Muharam (Maal Hijrah) (27 Jun 2025 – Jumaat)

  • Cuti: Semua negeri di Malaysia

7. Maulidur Rasul (5 September 2025 – Jumaat)

  • Cuti: Semua negeri di Malaysia

Nota Panduan:

  • Hari Raya Puasa, Hari Raya Korban, Awal Muharam, dan Maulidur Rasul adalah cuti umum di seluruh Malaysia.
  • Israk Mikraj, Awal Ramadan, dan Nuzul al-Quran hanya cuti di negeri tertentu.
  • Hari Raya Korban Hari Kedua hanya diberikan cuti tambahan di Kedah dan Kelantan.

Maklumat kalendar Islam ini boleh digunakan sebagai rujukan untuk perancangan cuti dan aktiviti sepanjang tahun 2025. 

Hari Perayaan / Kebesaran Islam

Dalam Islam, terdapat banyak hari kebesaran dan perayaan yang mempunyai nilai sejarah serta kepentingan ibadah bagi umat Islam. 

Secara umum, hari kebesaran Islam boleh dibahagikan kepada dua kategori utama: 

  1. hari perayaan utama 
  2. hari kebesaran yang mempunyai keistimewaan dalam ibadah. 

Hari perayaan utama yang diraikan oleh seluruh umat Islam termasuk Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, manakala hari kebesaran lain seperti Israk Mikraj, Awal Muharam, Maulidur Rasul, dan Nuzul al-Quran sering diperingati melalui amalan ibadah dan majlis ilmu. 

Selain itu, terdapat juga hari-hari istimewa seperti Hari Arafah, Lailatul Qadar, Hari Asyura, dan Hari Tasyrik yang mempunyai keutamaan dalam ibadah dan doa. 

Walaupun hanya sebahagian daripada hari ini dijadikan cuti umum di Malaysia, semuanya tetap mempunyai kedudukan yang penting dalam kehidupan umat Islam.

Israk dan Mikraj (27 Rejab)

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada malam 27 Rejab, di mana Nabi Muhammad SAW diperjalankan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin (Israk) dan seterusnya diangkat ke langit hingga ke Sidratul Muntaha (Mikraj).

Dalam perjalanan ini, baginda bertemu para nabi, diperlihatkan syurga dan neraka, serta menerima perintah solat lima waktu yang menjadi kewajipan umat Islam. Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah SWT serta keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW.

Peristiwa ini berlaku untuk menghiburkan dan menguatkan semangat Nabi setelah menghadapi ujian berat, termasuk kematian isteri baginda, Saidatina Khadijah, dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Jika anda mencari ucapan dan pantun terbaik sempena Israk Mikraj 2025, baca artikel kami yang mengandungi koleksi lengkap.

Awal Ramadan / Berpuasa (1 Ramadan)

Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan keampunan bagi umat Islam. Ia adalah bulan di mana umat Islam diwajibkan berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari sebagai salah satu daripada rukun Islam.

Selain menahan diri daripada makan dan minum, umat Islam juga digalakkan menjaga akhlak, meningkatkan ibadah, serta memperbanyakkan sedekah. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ia mendidik jiwa agar lebih sabar, bertakwa, serta merasai penderitaan golongan yang kurang bernasib baik.

Namun, di waktu berbuka, umat Islam di Malaysia turut memeriahkan Ramadan dengan pelbagai juadah di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) yang dianjurkan di seluruh negara. Jika anda berada di ibu kota, anda boleh meneroka Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3 yang terkenal dengan menu istimewa dan gerai popular.

Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran kerana kitab suci ini mula diturunkan pada bulan ini sebagai panduan hidup manusia. Di samping itu, umat Islam mengambil peluang untuk melakukan ibadah tambahan seperti solat tarawih, membaca al-Quran, dan beriktikaf di masjid. Sekolah-sekolah juga menganjurkan pelbagai aktiviti Ihya Ramadan bagi memupuk semangat keislaman dalam kalangan pelajar.

Sepuluh malam terakhir Ramadan pula menjadi tumpuan kerana terdapatnya malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam ini adalah anugerah besar bagi umat Islam yang berusaha memperbanyakkan ibadah dan memohon keampunan.

Nuzul al-Quran (17 Ramadan)

Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’ melalui malaikat Jibril. Peristiwa ini merupakan titik permulaan kepada penyebaran Islam yang membawa perubahan besar kepada manusia dalam aspek akidah, syariat, dan akhlak.

Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diberikan kepada Rasulullah SAW. Ia bukan sekadar kitab bacaan, tetapi juga panduan lengkap yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Dalam Islam, umat Islam diseru untuk menghayati al-Quran dengan membacanya, memahami maksudnya, serta mengamalkannya dalam kehidupan harian.

Pada hari Nuzul al-Quran, umat Islam digalakkan untuk meningkatkan bacaan dan tadabbur al-Quran, selain menghayati ajaran yang terkandung dalam kitab suci ini. Ia juga merupakan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan mendalami ilmu agama dan meningkatkan amalan soleh.

Hari Raya Puasa / Aidilfitri (1 Syawal)

Hari Raya Aidilfitri disambut oleh umat Islam setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadhan. Ia adalah hari kemenangan bagi mereka yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. 

Sambutan ini dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri di masjid, diikuti dengan amalan bermaaf-maafan dan kunjungan ke rumah sanak saudara.

Aidilfitri bukan sekadar hari untuk bergembira, tetapi juga hari untuk memperbanyakkan syukur kepada Allah SWT atas nikmat dan rezeki yang diberikan. 

Umat Islam juga disunatkan mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri bagi membantu golongan fakir miskin agar mereka juga dapat merayakan hari yang mulia ini.

Selain itu, amalan seperti bertakbir, bersedekah, dan memperkukuhkan silaturahim amat digalakkan pada hari lebaran. Ia juga menjadi waktu yang sesuai untuk umat Islam memperbaharui semangat dalam menjalani kehidupan yang lebih baik selepas melalui tarbiah Ramadan.

Awal Zulhijjah (1 Zulhijjah)

Bulan Z ulhijjah merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan, terutama bagi mereka yang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. Sepuluh hari pertama dalam bulan ini mempunyai keistimewaan tersendiri, di mana umat Islam digalakkan untuk berpuasa sunat, memperbanyakkan zikir, serta melakukan amal soleh.

Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah adalah salah satu hari yang paling utama dalam Islam. Bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, disunatkan untuk berpuasa pada hari ini kerana kelebihannya yang dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.

Keutamaan bulan ini mengingatkan umat Islam tentang pengorbanan dan kepatuhan Nabi Ibrahim serta keluarganya kepada perintah Allah. Ini menjadi simbol ketakwaan dan keikhlasan yang perlu ditanam dalam diri setiap Muslim.

Hari Raya Korban / Aidiladha (10 Zulhijjah)

Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu perayaan utama dalam Islam yang dikaitkan dengan ibadah haji dan ibadah korban. Ia memperingati kesetiaan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS terhadap perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS, sebelum digantikan dengan seekor kibas.

Ibadah korban dilaksanakan dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu, kambing, atau unta. Daging korban ini kemudian diagihkan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Ini melambangkan nilai pengorbanan, kesyukuran, serta kepedulian terhadap sesama manusia.

Bagi jemaah haji pula, hari ini menandakan kemuncak ibadah haji di mana mereka melaksanakan tawaf, sa’i, dan melontar jamrah sebagai sebahagian daripada rukun haji. Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi juga satu pengajaran tentang keikhlasan dalam beribadah dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.

Awal Muharam / Maal Hijrah (1 Muharam)

Awal Muharam atau Maal Hijrah adalah memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah. Peristiwa ini bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi juga satu titik perubahan besar dalam sejarah Islam, menandakan permulaan era baru bagi umat Islam dalam membina masyarakat yang lebih tersusun dan berorganisasi berdasarkan prinsip Islam. Penghijrahan ini juga menjadi bukti ketaatan dan keikhlasan para sahabat dalam mempertahankan akidah walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan ujian.

Selain menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Hijrah, bulan Muharam juga digelar Syahrullah (bulan Allah), yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan ibadah seperti berpuasa sunat, berzikir, serta bermuhasabah diri untuk memperbaiki kehidupan pada tahun yang akan datang. Salah satu amalan utama dalam bulan ini ialah puasa sunat pada Hari Asyura (10 Muharam), yang memiliki banyak kelebihan, antaranya menghapuskan dosa setahun yang lalu.

Maal Hijrah bukan sekadar sambutan tahun baru Islam, tetapi juga simbol semangat perubahan dan pembinaan semula ke arah kehidupan yang lebih baik. Ia mengajar umat Islam tentang nilai kesabaran, pengorbanan, serta kepentingan bersatu dalam mencapai matlamat yang diredhai Allah SWT.

Maulidur Rasul (12 Rabiulawal)

Maulidur Rasul adalah hari memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, Rasul terakhir yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan kebenaran. 

Baginda merupakan rahmat bagi seluruh alam, membawa risalah Islam yang menjadi panduan hidup bagi umat manusia. Kelahiran baginda membawa perubahan besar dalam sejarah manusia, memperkenalkan nilai-nilai keadilan, kasih sayang, dan akhlak yang mulia kepada dunia.

Jika anda seorang guru prasekoolah, berikut adalah Contoh Aktiviti Maulidur Rasul Prasekolah Untuk Tadika & Pasti.

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments