Awal Muharam yang juga dikenali sebagai Maal Hijrah merupakan salah satu perayaan penting dalam kalendar Islam.
Ia menandakan permulaan tahun baru Islam dan mengingatkan kita tentang hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.
Selain daripada sambutan peristiwa ini di Malaysia, ia juga merupakan cuti umum mengikut Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan 2024.
Maksud Awal Muharam dan Maal Hijrah
Awal Muharam adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah Islam, sementara Maal Hijrah merujuk kepada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
Peristiwa ini adalah titik penting dalam sejarah Islam kerana ia menandakan permulaan era baru bagi umat Islam, di mana umat Islam dapat mengamalkan ajaran agama dengan bebas dan selamat.
Maal Hijrah pula membawa makna transformasi dan pembaharuan dalam kehidupan individu dan masyarakat Muslim.
Maksud Hijrah Menurut DBP
Kamus Dewan Edisi Keempat mendifinisikan Hijrah kepada beberapa maksud iaitu;
- Perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah
- Contoh ayat: Hijrah merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Islam.
- Tahun Hijrah
- Definisi: Tahun Islam yang bermula dari tarikh perpindahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah (pada tahun 622 Masihi).
- Contoh ayat: Nabi Muhammad SAW wafat pada tahun 13 Hijrah.
- Berhijrah
- Definisi: Berpindah, meninggalkan sesuatu tempat untuk pergi ke tempat lain.
- Contoh ayat: Pemuda-pemuda di kampung terpaksa berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki yang lebih baik.
- Menghijrahkan
- Definisi: Memindahkan (diri dan sebagainya).
- Contoh ayat: Kerajaan telah menghijrahkan penduduk kampung itu ke kawasan yang lebih selamat.
- Penghijrahan
- Definisi: Perihal menghijrahkan (pemindahan dari satu tempat ke tempat lain).
- Contoh ayat: Penghijrahan penduduk desa ke bandar besar semakin meningkat.
- Perhijrahan
- Definisi: Perbuatan atau perihal berhijrah, perpindahan.
- Contoh ayat: Perhijrahan Nabi Muhammad SAW adalah titik permulaan kalendar Islam.
- Pehijrah
- Definisi: Orang yang berhijrah.
- Contoh ayat: Bakal-bakal pehijrah yang hendak mendapatkan perlindungan diplomatik membanjiri pekarangan kedutaan itu.
Tarikh Awal Muharam 2024

Pada tahun 2024, Awal Muharam jatuh pada hari Ahad, 7 Julai.
Cuti Bersempena Awal Muharam (Maal Hijrah) 2024
Awal Muharam adalah Hari Kelepasan Am Persekutuan sebagaimana hari kelepasan am yang lain seperti Hari Pekerja, Hari Kebangsaan dan lain-lain.
Ini bermaksud semua negeri akan bercuti pada hari Ahad 7 Julai 2024.

Bagi negeri yang cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad, cuti Awal Muharam (Maal Hijrah) akan di bawa ke hari Isnin iaitu pada 8 Julai 2024.
Manakala bagi negeri yang cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu, hari Ahad merupakan hari kelepasan Am bagi peristiwa ini.
Bagi negeri yang cuti mingguan Sabtu dan Ahad;
Sabtu (6 Julai 2024) | Cuti Mingguan |
Ahad (7 Julai 2024) | Cuti Mingguan / Awal Muharam |
Isnin (8 Julai 2024) | Hari Kelepasan Am |
Bagi negeri yang cuti mingguan Jumaat dan Sabtu;
Jumaat (5 Julai 2024) | Cuti Mingguan |
Sabtu (6 Julai 2024) | Cuti Mingguan |
Ahad (7 Julai 2024) | Cuti Awal Muharam (Hari Kelepasan Am) |
Cuti Sekolah KPM Awal Muharam
Sekolah perlu mengikuti semua hari cuti umum yang telah ditetapkan oleh kerajaan persekutuan dan negeri.
Ini bermaksud, jika ada cuti umum yang diisytiharkan oleh negeri di mana sekolah tersebut berada, dan cuti itu jatuh pada hari persekolahan, maka sekolah tersebut akan bercuti pada hari itu.
Pihak sekolah kebiasannya akan mengeluarkan surat pemakluman mengenai cuti bersempena Awal Muharam ini
Senario Pekerja pada Cuti Awal Muharam 2024
Berdasarkan maklumat dari Mr’Shānezann Eightyseven dalam group HUMAN RESOURCE MANAGEMENT (HRM) MALAYSIA “Jika Ahad cuti rehat, Public Holoday (PH) jatuh pada cuti rehat”;
Senario 1: Pekerja Bekerja pada Hari Cuti Rehat
- Jika hari Ahad adalah hari cuti rehat dan ia juga merupakan cuti umum (PH) Awal Muharam, pekerja yang bekerja pada hari tersebut akan dikira pada kadar PH 3.0. Mereka layak untuk mendapatkan satu hari cuti gantian. Ini bermakna, selain menerima bayaran pada kadar tiga kali ganda, mereka juga akan diberi satu hari cuti tambahan.
Senario 2: Pekerja Tidak Bekerja pada Hari Cuti Rehat tetapi Bekerja pada Hari Seterusnya
- Jika pekerja tidak bekerja pada hari Ahad yang merupakan cuti rehat tetapi bekerja pada hari Isnin, mereka layak dibayar pada kadar PH 3.0 tanpa cuti tambahan. Ini bermakna mereka akan menerima bayaran pada kadar tiga kali ganda bagi kerja yang dilakukan pada hari Isnin tersebut.
Sambutan Maal Hijrah di Malaysia Peringkat Kebangsaan

Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) akan menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M pada 7 Julai 2024 (Ahad) bersamaan 1 Muharram 1446H bermula pada jam 10.00 pagi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC ).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri dijadual hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.
Tema Sambutan
Sempena Sambutan Ma’al Hijrah tahun ini, Kerajaan telah memilih tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”.
Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat.
Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep al-Falah ( kejayaan ) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI.
Penganugerahan Tokoh Maal Hijrah
Seperti kelaziman, penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan diumumkan pada majlis tahun ini.
Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.
Tokoh juga memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi.
Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun
Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun bersempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya pada 6 Julai 2024 jam 7.00 malam. Majlis ini akan dihadiri oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ).
Ringkasan Peristiwa Hijrah Nabi SAW
Pengertian Hijrah
Hijrah merujuk kepada peristiwa penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berpindah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa ini menandakan permulaan kalendar Hijrah.
Latar Belakang
Pada zaman sebelum Hijrah, masyarakat Arab di Mekah berada dalam keadaan jahiliah dengan penyembahan berhala yang meluas dan kemungkaran yang bermaharajalela. Nabi Muhammad SAW, setelah menerima wahyu pertama dari Allah melalui Malaikat Jibril, berusaha menyebarkan ajaran Islam dalam keadaan penuh cabaran dan penentangan.
Perjalanan Hijrah
Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya memutuskan untuk berhijrah ke Madinah (dahulu dikenali sebagai Yathrib) setelah menghadapi tekanan dan ancaman di Mekah. Perjalanan ini bukan sahaja bersifat fizikal tetapi juga merupakan satu simbol perubahan besar dalam penyebaran Islam.
Makna Hijrah
Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal tetapi juga simbol penghijrahan minda dan budaya. Ia menandakan transformasi dari kejahilan kepada ilmu, dari kemungkaran kepada kebenaran, dan dari penyembahan berhala kepada pengabdian kepada Allah Yang Maha Esa.
Kesan Hijrah
Hijrah membawa kepada pembentukan masyarakat Islam yang pertama di Madinah dengan sistem sosial, politik, dan ekonomi yang berteraskan ajaran Islam. Ini termasuk penubuhan masjid sebagai pusat ibadah dan komuniti, perjanjian antara kaum untuk hidup bersama secara harmoni, dan penegakan undang-undang berasaskan keadilan Islam.
Nilai Strategik Hijrah
Hijrah membuka jalan kepada penyebaran lebih luas ajaran Islam dan membuktikan keberkesanan strategi dakwah yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan.
Islam bukan sahaja sebagai agama tetapi juga sebagai panduan hidup yang menyeluruh, memperkenalkan konsep rahmatan lil alamin – rahmat bagi seluruh alam.
Hijrah Nabi Muhammad SAW adalah titik perubahan besar yang membina asas bagi perkembangan Islam yang lebih meluas dan mendalam, memperkukuhkan kedudukan Islam di pentas dunia.
Semangat dan prinsip Hijrah terus relevan dan menjadi inspirasi bagi umat Islam sepanjang zaman untuk terus melakukan perubahan ke arah kebaikan dan ketakwaan kepada Allah.
Soalan Lazim (FAQ)
Awal Muharam adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah Islam yang menandakan permulaan tahun baru Islam.
Maal Hijrah merujuk kepada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
Awal Muharam jatuh pada hari Ahad, 7 Julai 2024.
Ya, semua negeri akan cuti pada Awal Muharam.
Lihat Juga:
– Senarai Tempat Menarik Di Selangor (Percutian Hujung Minggu)
– 10 Tempat Menarik Bawa Anak-anak Bersempena Cuti Sekolah
– Percutian Ala Kampung: Menghargai Keindahan Kehidupan Desa