Apakah isu semasa pendidikan terkini di Malaysia bagi tahun 2025?
Pada tahun 2025, sektor pendidikan di Malaysia terus menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan. Banyak isu terkini yang perlu diambil perhatian dalam usaha menjadikan pendidikan negara lebih berkualiti dan inklusif.
Maklumat tentang isu semasa pendidikan ini, anda boleh digunakan sama ada untuk persediaan temuduga kerja atau biasiswa, maklumat umum atau carian idea untuk anda menulis isu terkini pendidikan di Malaysia.
7 Contoh Isu Semasa Pendidikan 2025
1. Kepadatan Murid Dalam Satu Kelas

Kepadatan murid dalam satu kelas merupakan antara isu terkini terutama di kawasan bandar yang mengalami pertumbuhan pesat. Kelas yang terlalu padat menyukarkan interaksi antara guru dan murid, sekali gus menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ruang kelas yang sesak boleh mengganggu keselesaan murid, menyebabkan mereka kurang fokus dan mengalami tekanan dalam proses pembelajaran.
Selain itu, guru berdepan cabaran mengurus jumlah murid yang ramai, menyukarkan pemantauan akademik dan meningkatkan jurang pencapaian. Sebahagian murid mungkin ketinggalan akibat kurang perhatian dan bimbingan yang mencukupi.
Sebagai penyelesaian, kerajaan merancang membina 44 sekolah baharu bagi mengurangkan kepadatan kelas dan memastikan persekitaran pembelajaran lebih kondusif. Pelaksanaan ini memerlukan sokongan ibu bapa dan komuniti agar pendidikan berkualiti dapat dicapai.
2. Reformasi Pendidikan
Menurut laporan Dewan Masyarakat dan Berita Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pelbagai inisiatif reformasi, termasuk perubahan dalam kurikulum, buku teks, pentaksiran, dan latihan guru.
KPM juga memperkenalkan Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) untuk meningkatkan kompetensi digital guru. Inisiatif ini bertujuan memastikan setiap murid menerima pendidikan yang berkualiti dan adil.
Keterlibatan pihak KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), serta warga pendidik dari pelbagai peringkat membuktikan keterbukaan pihak kerajaan dalam mengiktiraf kebijaksanaan masyarakat.
3. Guru Bersara Awal

Isu guru bersara awal semakin meningkat disebabkan oleh pelbagai faktor seperti beban tugas melampau, tekanan kerja, dan ketidakcekapan dalam penggunaan teknologi maklumat (IT).1
Walaupun isu ini hangat dibincangkan pada tahun 2024, namun ia dilihat masih relevan untuk dibincangkan. Oleh itu, KPM sedang mengambil langkah-langkah untuk menangani masalah ini, termasuk program sokongan psikometrik dan intervensi bagi menaikkan semangat guru.
Namun, keputusan bersara awal sering dipengaruhi oleh masalah kesihatan, faktor keluarga, dan peluang pekerjaan lain yang lebih menarik
4. Keciciran Murid
Laporan Bank Dunia bertajuk “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills” menunjukkan tahap pembelajaran pelajar di Malaysia masih ketinggalan berbanding negara jiran seperti Vietnam.
Hanya 58% pelajar Malaysia mampu menguasai kemahiran membaca menjelang akhir Tahun Lima. Laporan ini mengenal pasti beberapa punca seperti akses terhad kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, kesediaan guru, dan kekurangan sistem penjejakan prestasi yang mantap.
Bank Dunia mencadangkan penyelesaian termasuk memperluaskan akses dan kualiti pendidikan prasekolah serta menyediakan pembangunan profesional berterusan untuk guru.
5. Peruntukan Pendidikan dalam Belanjawan 2025
Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu memperuntukkan RM64.1 bilion kepada sektor pendidikan, peningkatan berbanding RM58.7 bilion pada tahun sebelumnya.
Dana ini digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk RM2 bilion untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara, dengan RM1 bilion khusus bagi sekolah kebangsaan, SJKC, SJKT, sekolah agama, sekolah pendidikan khas, dan sekolah dalam kem tentera. Selain itu, RM1 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Justeru, Kerajaan memperuntukkan RM5.3 bilion bagi 17 jenis bantuan pendidikan, termasuk RM2 bilion untuk Bantuan Makanan Asrama, RM870 juta bagi RMT untuk 860,000 murid, dan RM800 juta untuk Bantuan Awal Persekolahan kepada 5.2 juta murid. Selain itu, RM4 bilion disediakan untuk biasiswa, pinjaman, dan elaun pendidikan di bawah KPT, dengan 50% diperuntukkan kepada keluarga berpendapatan rendah.2
6. Kekurangan Guru
Pada tahun lalu, beberapa laporan media melaporkan bahawa Malaysia menghadapi kekurangan lebih daripada 20,000 guru disebabkan oleh persaraan wajib dan pilihan. Kerajaan telah mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini, termasuk pengambilan seramai 9,552 guru baharu pada November 2023. Selain itu, inisiatif “one-off” untuk lantikan guru secara besar-besaran sedang dipertimbangkan.3
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memastikan penempatan guru baharu berlaku dengan cekap. Universiti awam menawarkan program DPLI dan KPLI untuk graduan bukan pendidikan, membantu mengatasi kekurangan guru, khususnya dalam subjek kritikal seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Usaha-usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan setiap sekolah mempunyai jumlah guru yang mencukupi demi menjamin kualiti pendidikan dan keberkesanan pengajaran di seluruh negara.
7. Inisiatif Kesihatan Mental Pelajar
Isu kesihatan mental pelajar merupakan antara isu utama pendidikan di Malaysia. Bagi menangani masalah ini, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif penting untuk menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
Program Minda Sihat sebagai contoh telah dilaksanakan sejak 2011melibatkan 2,440 daripada kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara. Usaha ini melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menjalankan kaji selidik tahap kesihatan mental pelajar, termasuk mengenal pasti pelajar yang mengalami kemurungan, tekanan, dan kecenderungan bunuh diri.4
Selain itu, program seperti “Let’s Talk Minda Sihat” bertujuan mendidik pelajar agar lebih terbuka berkongsi masalah kesihatan mental mereka dan melibatkan kaunselor sekolah dalam mengendalikan kes-kes kesihatan mental.5
Nota Kaki
- Sinar Harian, Malaysiakini, Utusan Malaysia
- Kementerian Pendidikan Malaysia, Astro Awani, Berita RTM,
- Sinar Harian, Kosmo Digital
- Astro Awani, Sinar Harian
- Berita Harian
Lihat Juga:
– Halatuju Lepas SPM: Apa Pilihan Yang Terbaik?