HomeCutiTarikh Mula Puasa Ramadhan 2025 dan Negeri Yang Cuti

Tarikh Mula Puasa Ramadhan 2025 dan Negeri Yang Cuti

Bilakah tarikh umat Islam khususnya di Malaysia akan mula puasa Ramadhan pada tahun 2025?

Tarikh ini penting bukan sahaja untuk menyambut kedatangan awal Ramadhan tetapi juga bagi mereka yang ingin menggantikan ibadah puasa yang tertinggal tahun lepas dan untuk mereka yang ingin membayar fidyah.

Selain itu, terdapat beberapa negeri di Malaysia yang menjadikan Awal Ramadhan sebagai hari kelepasan am negeri bagi tahun 2025, sebagai tanda sambutan dan persiapan untuk meraikan kemuliaan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.

Lihat juga;

Bila Tarikh Masihi 2025 untuk 1 Ramadhan 1446H?

Jangkaan tarikh mula puasa Ramadhan pada tahun ini ialah pada 2 Mac 2025 (Ahad) yang bersamaan dengan 1 Ramadhan 1446H. Ia tertakluk Kepada Pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. Untuk makluman, tarikh ini akan sentiasa berubah setiap tahun kerana kalendar Islam dikira berdasarkan pengiraan yang berpandukan kepada objek bulan.

Ia agak berbeza dengan tarikh Masihi di mana kiraan adalah berdasarkan kepada objek matahari.

Dalam takwim Hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. 

Bulan Ramadhan adalah bulan ke-9 dalam kiraan bulan-bulan Islam. Secara tradisinya penentuan hari pertama bulan Islam dan bulan Ramadhan akan bermula setelah anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. 

Jika anak bulan (hilal)  tidak kelihatan (melalui kaedah rukyah) selepas 29 hari pada bulan tersebut, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka kaedah hisab akan digunakan iaitu dengan menggenapkan bilangan 30 hari.

Tarikh Lihat Anak Bulan

Penentuan tarikh mula puasa bagi umat Islam di Malaysia ditentukan melalui proses rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan falak).

Di Malaysia, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan tarikh mula puasa / Awal Ramadhan pada malam 29 Syaaban 1446H.

Oleh yang demikian, tarikh melihat anak bulan Ramadhan 1446 H akan dilakukan pada petang Jumaat, 28 Februari 2025, bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijriah di 29 lokasi rasmi di Malaysia.

Jika anak bulan kelihatan, keesokan harinya akan diisytiharkan sebagai 1 Ramadan. Jika tidak, bulan Syaaban akan digenapkan menjadi 30 hari, dan 1 Ramadan bermula lusa.

Negeri Yang Cuti Umum Pada Awal Ramadhan Tahun 2025

Berdasarkan Takwim 2025 Miladiah / 1446-1447 Hijrah Bagi Malaysia, kita dijangka akan mula puasa pada hari Ahad (2 Mac 2025) tertakluk Kepada Pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

Namun berdasarkan JADUAL HARI KELEPASAN AM NEGERI 2025 yang dikeluarkan oleh Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, hanya 2 buah negeri yang menjadikan awal Ramadhan sebagai sebagai hari kelepasan am bagi negeri masing-masing untuk  tahun 2025 / 1446H:

  1. Johor
  2. Kedah 

Namun, memandangkan Johor kini bercuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, Awal Ramadhan yang jatuh pada Ahad, 2 Mac 2025, akan digantikan sebagai Hari Kelepasan Am Negeri Johor pada hari bekerja berikutnya, iaitu Isnin, 3 Mac 2025.

Ini berdasarkan maklumat yang dinyatakan dalam laman portal Kerajaan Negeri Johor ;

“Apabila Hari Kelepasan jatuh pada Hari Kelepasan Mingguan (Ahad) atau Hari Kelepasan yang lain, maka hari tersebut digantikan dengan hari bekerja berikutnya dan jika hari yang kemudiannya itu pula merupakan Hari Kelepasan, maka hari yang berikutnya dijadikan Hari Kelepasan.”

“Jika Hari Kelepasan Am jatuh pada hari Sabtu ianya tidak diganti dengan hari berikutnya.”

Kenapa negeri yang lain tidak cuti pada tarikh tersebut?

Negeri-negeri lain tidak menjadikan awal Ramadhan sebagai cuti atau Hari Kelepasan Am bagi negeri masing-masing adalah kerana ada yang  memilih Nuzul Qur’an (18 Mac 2025 – Selasa) sebagai pilihan.

Sebagai perbandingannya negeri yang cuti Awal Ramadhan dan Nuzul Quran adalah sebagaimana berikut;

NegeriCuti Awal Ramadhan2 Mac (Ahad)Cuti Nuzul Qur’an18 Mac (Selasa)
W.P Kuala Lumpur
W.P Putrajaya
W.P Labuan
Johor
Kedah
Kelantan 
Melaka
N. Sembilan
Pahang
Perak
Perlis
P. Pinang
Sabah
Sarawak
Selangor 
Terengganu

Negeri Yang Cuti Sekolah Pada Awal Ramadhan

Secara umumnya, negeri yang cuti sekolah pada awal Ramadhan adalah sama dengan negeri yang cuti pada hari kelepasan awal Ramadhan.

Oleh yang demikian, 2 buah negeri yang cuti sekolah pada tarikh mula puasa Ramadhan tahun ini ialah;

  1. Johor (dibawa ke hari Isnin)
  2. Kedah

Sambutan Bulan Ramadhan di Malaysia

Bulan Ramadan di Malaysia disambut dengan penuh semangat dan tradisi yang unik, mencerminkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakatnya. Berikut adalah beberapa aspek utama sambutan Ramadan di Malaysia:

Bazar Ramadan

Salah satu tradisi yang paling dinanti ialah Bazar Ramadan. Setiap petang, bazar ini dipenuhi dengan pelbagai gerai yang menawarkan aneka juadah berbuka puasa, seperti murtabak, ayam percik, kuih-muih tradisional, dan banyak lagi. Ia menjadi tumpuan masyarakat untuk membeli makanan dan merasai suasana meriah menjelang waktu berbuka.

Iftar dan Solat Tarawih

Ketika bulan Ramadhan, ramai yang berbuka puasa, atau iftar bersama keluarga, rakan, atau komuniti. Selepas iftar, umat Islam menunaikan solat Tarawih secara berjemaah di masjid dan surau. Di beberapa tempat, seperti Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, orang ramai berkumpul untuk berbuka puasa bersama-sama di kawasan lapang, mengeratkan silaturahim antara komuniti.

Pengurangan Waktu Bekerja

Untuk memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah dan persiapan berbuka, sesetengah organisasi di Malaysia mengurangkan waktu bekerja sepanjang Ramadan. Contohnya, waktu bekerja mungkin dikurangkan sebanyak satu jam, membolehkan pekerja pulang lebih awal untuk persiapan iftar.

Persiapan Menyambut Syawal

Menjelang akhir Ramadan, masyarakat mula membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Syawal. Ini termasuk membersihkan dan menghias rumah, menyediakan kuih-muih tradisional, dan membeli pakaian baru. 

Sambutan Syawal di Malaysia lazimnya berlangsung selama sebulan, di mana umat Islam mengambil peluang untuk saling bermaafan dan menziarahi antara satu sama lain bagi merapatkan ikatan silaturahim.

Persediaan Menghadapi Bulan Ramadhan

Sebagai persediaan bagi menempuhi bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, kita sewajarnya mempersiapkan diri dengan perkara-perkara berikut;

  1. Bagi mereka yang tidak menyempurnakan ibadah puasa tahun lepas perlu segera menggantikan puasa (Qada’ Puasa) sebelum tibanya Ramadhan tahun ini. Sekiranya tidak mampu perlu membayar fidyah berdasarkan kadar yang telah ditentukan.
  2. Hendaklah  mengulang kaji ilmu tentang ilmu pengetahuan ibadah puasa dan berazam agar dapat melaksanakan ibadah puasa tahun ini dengan sempurna.
  3. Selalu berdoa  للَّهُمَّ بَلِّـغْنَا رَمَضَانَ “Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan”. Doa ini amat besar nilainya dan dapat menambahkan kerinduan kita untuk mendatangi bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.
  4. Memperbanyakkan amalan sunat pada bulan Sya’ban seperti puasa dan solat sunat sebagai persedian menghadapi Ramadhan.
RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments