Selain daripada ucapan dan memberi hadiah bersempena Hari Guru tahun ini, anda juga boleh menyampaikannya dalam bentuk pantun agar sambutan Hari Guru menjadi lebih meriah.
Ucapan yang berbentuk pantun merupakan salah satu cara untuk menunjukkan rasa kasih terhadap guru atau cikgu yang tersayang.
Pantun ini juga merupakan salah satu cara untuk berterima kasih kepada guru atas jasa mereka dengan memberi mereka pantun yang bermakna.
Jenis dan Bentuk Pantun
Sebelum itu, mari kita ketahui jenis-jenis dan bentuk pantun.
Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis pantun seperti pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun sepuluh kerat. Namun, pantun yang paling popular dalam masyarakat kita adalah pantun dua kerat dan pantun empat kerat.
Untuk makluman, pantun yang lebih daripada empat kerat disebut juga talibun. Selain lima jenis bentuk ini, terdapat sejenis bentuk lagi yang dinamakan pantun berkait .
Bentuk-bentuk pantun pula dikategorikan berdasarkan tema pantun itu seperti :
- Pantun kanak-kanak.
- Pantun kasih sayang/percintaan.
- Pantun nasihat.
- Pantun seloka (yang mengandungi peribahasa).
- Pantun adat (Teromba).
- Pantun agama.
- Pantun budi.
- Pantun jenaka.
Contoh Pantun Untuk Guru
Berikut adalah senarai pantun-pantun yang anda boleh gunakan bersempena sambutan Hari Guru pada tahun ini.
Punai merbuk nuri kelicap, Terbang asing menghias angkasa; Selamat Hari Guru ingin diucap, Tanda ingatan insan berjasa. |
Harum gaharu aroma kayangan, Wangi melekat walau setitik; Hari Guru tanda penghargaan, Pemangkin semangat para pendidik. |
Jalan-jalan ke Kota Baharu, Tidak lupa membeli baju; Engkau adalah guruku, Yang selalu memberi ilmu. |
Biji selasih di dalam baldi, Hampa hatiku ia membeku; Terima kasih sekalung budi, Tanpamu guru siapalah aku. |
Menongkah arus merempuh badai, Mendayung gigih menuju pelabuhan; Jasa guru tidaklah ternilai, Terima kasih saya ucapkan. |
Pelangi muncul jarang sekali, Indah sungguh berwarna warni; Jasamu guru besar sekali, Tidak terbalas walau seinci. |
Pergi ke hutan hendak berburu, Pulang ke rumah singgah di kota; Kalau kita sayangkan guru, Jagalah adab dan tutur kata. |
Burung kedidi membuat sarang, Di pohon pinang daun tersayat; Guru berbudi kepada orang, Jasa dikenang ke akhir hayat. |
Walau unggas sayapnya lebar, Ayam dan itik tetap di tanah; Walau tugas makin mencabar, Tetap mendidik penuh amanah. |
Dari mana datangnya cinta, Dari mata turun ke hati; Jasa guru tidak dilupa, Melahirkan ramai bijak bestari. |
Pergi berburu pulang tak lupa, Tercalar alis dicakar kera; Jasamu guru tak akan kulupa, Mengajar menulis mengeja mengira. |
Luru ke tamu arahnya barat, Melangkah parit menoleh teman; Guru berilmu dunia akhirat, Tarbiah murid soleh beriman. |
Warnanya biru beserta alas, Rani bertanya jelas sekata; Budi guru tak minta dibalas, Murni hatinya ikhlas semata. |
Bakar bahulu sabut berasap, Tidak berapi hanyalah bara; Muliakan guru dahulukan adab, Lahir generasi aset negara. |
Kail cencaru perahu mudik, Jamu tetamu dimasak kari; Tugasmu guru awal mendidik, Mencurah ilmu hidup berdikari. |
Tumbuh rapat pohon gaharu, Subur berselang berdaun lebat; Dedikasi martabat seorang guru, Pasti dikenang sepanjang hayat. |
Ambillah kayu buatlah titi, Titi ada dapat menyeberang; Ambillah guru taat berbudi, Budi mulia dihormati orang. |
Melenggang aru lemah gemalai, Senyum kesuma semanis rupa; Jasamu guru tidak ternilai, Dikau umpama ibu dan bapa. |
Anak kancil pergi berguru, Tidak terbiasa kerja yang sia; Dari kecil diasuh guru, Agar dewasa menjadi manusia. |
Hendak berburu ke luar kota, Seluas alam bumi terentang; Tanpa guru siapalah kita, Ibarat malam tanpa bintang. |
Pisang rastali masak sesikat, Tandan buahnya gantung terikat; Hormati guru sepanjang hayat, Ganjaran ilmu membawa berkat. |
Pasang surut berhenti dulu, Sudah pasang baru berangkat; Orang patut menghormati guru, Petua dipegang ilmu diingat. |
Burung kedidi di tepi perigi, Menyusur lalu mencari makan, Guru kita sentiasa di hati, Moga hidup sejahtera dan aman. |
Ambillah guru taat berbudi, Budi mulia dihormati orang; Jadilah murid berbudi pekerti, Jasa guru tahu dikenang. |
Masuk Sekolah Tadika Bina, Cikgu Salbiah cekap dan pintar; Sungguh adik bijak laksana, Tidak susah guru mengajar. |
Pantun Memuji Cikgu
Pantun ini anda boleh ubah nama guru masing-masing bersesuaian dengan nama Cikgu anda sebagai satu bentuk seloka bersempena Hari Guru ini.
Bunga raya pelbagai warna, Banyak di tanam di mana-mana; Cikgu Suraya manis orangnya, Berbudi bahasa lembut bicara. |
Cikgu Nordin tenang orangnya, Tak banyak bicara suka bekerja; Sekali sekala bergurau senda; Itulah caranya yang sederhana. |
Tinggi lampai manis orangnya, Periang peramah kepada semua; Madam Shalini itulah orannya, Semua ceria bersama dengannya. |
Ustaz Halim diberi nama, Memiliki bakat pelbagai perkara; Mengacara memimpin bacaan doa, Jurulatih tilawah dan nasyid juga. |
Teacher Ashikin pendiam orangnya, Sentiasa tersenyum bila berjumpa; Amat prihatin kepada muridnya, Kelasnya tersusun sangat ceria. |
Sumber:
- Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
- Portal Rasmi Jabatan Warisan Negara
- kumika_kufaizul
- Dan lain-lain sumber.