Sejak diperkenalkan pada tahun 1972, tema Hari Guru berubah saban tahun selaras dengan aspirasi dan keperluan semasa pendidikan negara.
Bagi tahun 2025, tema rasmi yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek ialah “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, yang diumumkan semasa Majlis Pelancaran Gerakan Massa: #terimakasihcikgu di Taiping.
Tema ini akan digunakan secara rasmi dalam sambutan Hari Guru pada tahun ini.
Berikut adalah maklumat dan penjelasan lanjut mengenai tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”.
Lihat Juga: Contoh Idea Tema Pakaian Hari Guru 2024 Yang Meriah
Penjelasan Maksud Tema Hari Guru 2025

Tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” memberi penekanan kepada peranan penting guru sebagai penggerak utama dalam menjayakan usaha reformasi sistem pendidikan negara.
Dengan cara mudah di fahami bahawa guru ialah orang paling penting dalam membawa perubahan besar kepada sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan menegaskan bahawa fokus tahun ini ialah pada peningkatan mutu pendidikan bermula daripada bilik darjah, yang menjadi asas perubahan yang lebih luas.
“Reformasi sekolah ini mesti diterajui oleh para guru dan pentadbir untuk memastikan bahawa apa yang sedang kita laksanakan ketika ini benar-benar memberikan impak kepada pendidikan negara.” – YB Fadhlina Sidek

Lihat Juga: Contoh dan Cadangan Aktiviti Bersempena Hari Guru Tahun Ini
Tema Hari Guru 2025 Selaras Dengan Agenda Pendidikan Negara
Pemilihan tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” adalah seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkukuh enam agenda utama yang menyokong hala tuju negara dalam reformasi pendidikan:

- Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris
– Guru memainkan peranan utama dalam memperkasakan dwibahasa dan literasi dalam kalangan murid. - Pendidikan Digital
– Seiring dengan revolusi digital, guru berperanan sebagai pemudah cara dalam integrasi teknologi dan PdPR. - Pemerkasaan Kurikulum STEM
– Guru sebagai pemacu inovasi dalam merangsang minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. - Program TVET
– Peranan guru bimbingan dan kaunseling dalam memupuk minat serta laluan kerjaya berasaskan kemahiran. - Peluasan dan Pengukuhan Prasekolah
– Guru pendidikan awal sebagai agen utama dalam membentuk asas pembelajaran sepanjang hayat. - Pelan Pendidikan dan Kurikulum Prasekolah
– Penglibatan guru dalam pelaksanaan kurikulum prasekolah yang lebih tersusun, bersepadu dan mesra murid.
Setiap agenda ini mengukuhkan kedudukan guru sebagai tulang belakang kepada reformasi pendidikan, bermula daripada bilik darjah hingga ke dasar negara.
Dengan semangat dan iltizam warga pendidik, reformasi pendidikan bukan lagi harapan, tetapi satu realiti yang sedang dibentuk.
Sejarah Tema Hari Guru Mengikut Tahun (1972–2025)
Berikut ialah senarai penuh tema Hari Guru Malaysia dari tahun 1972 hingga 2025, menggambarkan peralihan transformasi pendidikan kepada reformasi sistem secara menyeluruh:
Tahun | Tema |
2025 | Guru Pemacu Reformasi Pendidikan |
2024 | Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara |
2023 | Guru Insani Pemangkin Generasi |
2022 | Guru Tunjang Sekolah Sejahtera |
2021–2020 | Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu |
2019 | Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi |
2018 | Guru Pemacu Transformasi Pendidikan |
2017–2016 | Guru Pembina Negara Bangsa |
2015 | Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak |
2014 | Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi |
2013 | Guru Malaysia: 1 Aspirasi 1 Agenda |
2012 | Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara |
2011 | Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara |
2010–2009 | Guru Pembina Negara Bangsa |
2008 | Guru Cemerlang Negara Terbilang |
2007 | Guru Penjana Modal Insan Gemilang |
2006 | Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan |
2005 | Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan |
2004–2002 | Guru Berkualiti Aspirasi Negara |
2001 | Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama |
2000 | Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan |
1999 | Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang |
1998 | Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama |
1997 | Guru Bestari Sekolah Bestari |
1996 | Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia |
1995 | Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan |
1994–1993 | Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan |
1992 | Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan |
1991 | Guru Pembina Budaya Membaca |
1990 | Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera |
1989 | Guru Pembina Generasi Baru |
1988 | Guru Pengasas Budaya Membaca |
1987 | Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan |
1986 | Pendidikan Teras Nasionalisme |
1985 | Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan |
1984 | Kepimpinan Berteraskan Kesempurnaan Pendidikan |
1983 | Kepimpinan Berteraskan Pendidikan |
1982 | Ke Arah Kecemerlangan Pendidikan |
1981 | Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat |
1980 | Pendidikan Teras Perpaduan Kebangsaan |
1979 | Murid Sejahtera Negara Jaya |
1978 | Guru Pembentuk Generasi Akan Datang |
1977 | Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan |
1976 | Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan |
1975 | Guru dan Pembangunan Negara |
1974 | Peranan Guru Dalam Sains dan Teknologi |
1973 | Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan |
1972 | Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara |
Sambutan Hari Guru 2025: Sarawak Tuan Rumah
Sambutan Hari Guru tahun 2025 membawa makna yang lebih mendalam dengan tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, yang diangkat selaras dengan usaha pembaharuan sistem pendidikan negara.
Majlis pelancaran rasmi telah diadakan di Taiping, Perak, dan menyaksikan pengumuman tema oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia.
Bagi tahun ini, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dengan pelbagai program yang dijadualkan bermula pada bulan Mei.
Pemilihan lokasi ini mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan keterangkuman semua negeri dalam inisiatif penghargaan kepada warga pendidik.
Apa yang membezakan sambutan tahun ini ialah fokus terhadap reformasi pendidikan di peringkat bilik darjah. Menteri Pendidikan menegaskan bahawa perubahan yang sebenar perlu bermula daripada ruang pengajaran itu sendiri, dan diterajui oleh guru serta pentadbir sekolah.
“Reformasi sekolah ini mesti diterajui oleh para guru dan pentadbir untuk memastikan bahawa apa yang sedang kita laksanakan ketika ini benar-benar memberikan impak kepada pendidikan negara.” – YB Fadhlina Sidek
Selain itu, sambutan tahun ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan Gerakan Massa: #terimakasihcikgu, sebuah kempen nasional yang bermatlamat menghargai jasa guru melalui penglibatan menyeluruh masyarakat, ibu bapa, dan sektor swasta. Program ini bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan satu gerakan kesedaran yang berimpak tinggi.
Dengan lebih 430,000 guru di seluruh negara dan 5.2 juta murid yang berada dalam sistem pendidikan, sambutan Hari Guru 2025 memberi penekanan kepada pentingnya guru sebagai agen perubahan dan nadi kepada kemajuan negara.
Sumber: