HomeCutiHari Raya Haji 2024: Cuti Umum & Cuti Sekolah (Raya Aidiladha)

Hari Raya Haji 2024: Cuti Umum & Cuti Sekolah (Raya Aidiladha)

Hari Raya Haji yang juga dikenali sebagai Hari Raya Aidiladha, adalah salah satu perayaan penting dalam kalendar Islam. 

Perayaan ini juga turut dikenali sebagai Hari Raya Korban merujuk kepada ibadah korban yang dilakukan pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari tasyrik (11, 12 & 13 Zulhijjah). Pensyariatan ibadah korban ini adalah bersempena mengingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail.

Di Malaysia, Hari Raya Haji merupakan salah satu daripada Hari Kelepasan Am bagi Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2024. Namun ada sesetengah negeri yang cuti pada sebelum Hari Raya Haji (Hari Arafah 9 Zulhijjah) dan pada hari ke 2 Raya Korban.

Tarikh Hari Raya Haji 1445 / 2024

06 - Kalendar Kuda Jun 2024

Berdasarkan kalendar di atas, penetapan Hari Raya Haji adalah tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Ia dibuat setelah proses melihat anak bulan pada 29hb Zulkaedah bagi menetukan tarikh tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu Hari Raya Aidiladha.

Pada tahun ini, tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan tarikh 1 Zulhijjah dan Hari Raya Aidiladha adalah pada petang Jumaat, 7 Jun 2024, bersamaan 29 Zulkaedah 1445 Hijrah, di 29 lokasi di seluruh negara.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu Hari Raya Aidiladha di radio dan televisyen.

Berdasarkan pengumum Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Datuk Mohd Aseral Jusman, Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 17 JUN 2024 (ISNIN).

Tarikh Hari Raya Aidiladha jatuh pada 17 Jun 2024 (Isnin)

Menerusi pengumuman yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohd Aseral turut mengisytiharkan 1 Zulhijjah 1445 Hijrah adalah pada 8 Jun 2024 (Sabtu).

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1445 Hijrah ialah pada 8 Jun 2024 Masihi.

Tarikh-Tarikh Penting Dalam Islam Tahun 2024m 1445h -1446h Bagi Malaysia

Cuti Umum Hari Raya Haji dan Cuti Sekolah KPM

Merujuk kepada Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, cuti umum di seluruh negeri di Malaysia untuk Hari Raya Qurban (hari pertama) adalah pada 17 Jun 2024 (Isnin).

Manakala cuti Hari Raya Qurban (hari kedua) iaitu pada 18 Jun 2024 (Selasa) hanya untuk 4 negeri sahaja iaitu;

  • Kelantan
  • Terengganu
  • Kedah
  • Perlis
Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan 2024_page-0001
Hari Kelepasan Am Negeri Kedah Tahun 2024
Hari Kelepasan Am Negeri Perlis 2024

Cuti Sekolah Tambahan KPM Sempena Hari Raya Haji 2024

Berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2024/2025 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tiada cuti tambahan disediakan bagi tahun 2024 sempena perayaan Hari Raya Aidiladha.

Walaubagaimanapun ia tertakluk kepada pengumuman dari semasa ke semasa oleh KPM.

Kalendar Akademik KPM Tahun 2024 2025 (Cuti Perayaan)

Bagi memudahkan perancangan anda, berikut adalah gambaran cuti sekolah bersempena Aidiladha mengikut negeri-negeri.

Kelantan dan Terengganu

Jumaat (14 Jun)Cuti Hujung Minggu
Sabtu (15 Jun)Cuti Hujung Minggu
Ahad (16 Jun)Hari Arafah (Cuti Am Negeri)
Isnin (17 Jun)Hari Raya Aidiladha (Cuti Am Persekutuan)
Selasa (18 Jun)Hari Raya Aidiladha Kedua (Cuti Am Persekutuan)

Kedah 

Jumaat (14 Jun)Cuti Hujung Minggu
Sabtu (15 Jun)Cuti Hujung Minggu
Ahad (16 Jun)
Isnin (17 Jun)Hari Raya Aidiladha (Cuti Am Persekutuan)
Selasa (18 Jun)Hari Raya Aidiladha Kedua (Cuti Am Negeri)

Perlis

Sabtu (15 Jun)Cuti Hujung Minggu
Ahad (16 Jun)Cuti Hujung Minggu
Isnin (17 Jun)Hari Raya Aidiladha (Cuti Am Persekutuan)
Selasa (18 Jun)Hari Raya Aidiladha Kedua (Cuti Am Negeri)

Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, P. Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, WP K1, Putrajaya & Labuan

Sabtu (15 Jun)Cuti Hujung Minggu
Ahad (16 Jun)Cuti Hujung Minggu
Isnin (17 Jun)Hari Raya Aidiladha (Cuti Am Persekutuan)


10 Amalan Pada Awal Bulan Zulhijjah

Bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan haram yang bermaksud tidak dibenarkan berperang kerana dianggap sebagai bulan yang suci. 

Ini berdasarkan Hadis Nabi yang bermaksud “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.” (HR Al-Bukhari, hadis sahih)

Jika bulan Ramadan dikenali dengan keistimewaan 10 malam terakhir, bulan Zulhijjah pula mempunyai keistimewaan pada 10 hari terawal sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Fajr yang bermaksud “Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta hari terawal Zulhijjah).

Seandainya kita tidak berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji di bulan ini, masih terdapat pelbagai amalan yang disarankan untuk kita melakukan amal soleh sebanyaknya, seperti:

1. Anjuran Untuk Tidak Memotong, Mencabut Dan Mencukur Rambut, Bulu Mahupun Kuku Ke Atas Orang Yang Melakukan Ibadah Korban 

Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih. 

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (HR Muslim, hadis sahih)

2. Berpuasa Pada Hari Arafah 

Selain daripada mengamalkan puasa sunat Isnin Khamis dan hari putih, kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah iaitu bersamaan 9 Zulhijjah. Ia adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji. 

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.” (HR Muslim, hadis sahih)

3. Perbanyakkan Berdoa Dan Saling Mendoakan Antara Satu Sama Lain 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (HR Al-Tirmizi, hadis hasan)

4. Menghidupkan Suasana Hari Raya Dengan Takbir 

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.”

Terdapat dua jenis takbir pada hari raya:

  1. Takbir Mursal atau Mutlaq – Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.
  2. Takbir Muqayyad -Bermula dari solat Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).

5. Perbanyakkan Berzikir 

Hadis Nabi Muhammad SAW: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini (10 hari awal Zulhijjah). Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (HR Ahmad, hadis sahih)

6. Perbanyakkan Sedekah Dan Menghubungkan Silaturahim

Daripada Abu Umamah Al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.” (HR Al-Thabarani, hadis hasan)

7. Mentadabbur Ayat Al-Quran 

Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah yang terdapat dalam Al-Quran sewaktu membacanya. 

Firman Allah SWT: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah Al-Nisa’: 82)

8. Mendirikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha Dan Tidak Menjamah Makanan Sebelumnya 

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a., dia berkata: “Ketika Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan), dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai.” (HR Al-Bukhari, hadis sahih)

9. Melakukan Ibadah Korban Bagi Yang Mampu 

Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (HR Al-Tirmizi, hadis hasan)

10. Makan Daging Korban Dan Berikan Kepada Asnaf Fakir Miskin 

Bagi mereka yang bukan melakukan ibadah korban nazar atau korban wajib, disunatkan untuk memakan sedikit daging korban sebagai sekadar mengambil berkat dan menyedekahkan bakinya kepada golongan fakir miskin.

Firman Allah SWT: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” (Surah Al-Hajj: 28)

Menurut Imam Ibnu Hajar: “Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama dari hari yang lain kerana ia menghimpunkan semua amalan utama dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Terhimpunnya amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.” (Fath Al-Bari, sanad hasan)

Walau bagaimanapun, masih banyak lagi ibadah sunat lain yang boleh kita lakukan di bulan Zulhijjah ini, namun berikut adalah antara amalan yang boleh kita lakukan. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan diterima Allah SWT dan menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun 

1. Apa itu Hari Raya Haji (Aidiladha)?

Hari Raya Haji, juga dikenali sebagai Hari Raya Aidiladha, adalah salah satu perayaan penting dalam kalendar Islam. Ia juga dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana ibadah penyembelian binatang korban yang dilakukan pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari tasyrik (11, 12, & 13 Zulhijjah). Ibadah korban ini mengingatkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

2. Bila Hari Raya Haji disambut di Malaysia pada tahun 2024?

Hari Raya Haji disambut pada 17 Jun 2024 (Isnin) bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1445H.

3. Negeri manakah yang bercuti pada hari raya kedua Aidiladha?

Cuti Hari Raya Qurban (hari kedua) pada 18 Jun 2024 (Selasa) hanya untuk negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

4. Adakah terdapat cuti sekolah tambahan sempena Hari Raya Haji 2024?

Berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2024/2025 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tiada cuti tambahan disediakan sempena Hari Raya Aidiladha. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada pengumuman dari semasa ke semasa oleh KPM.

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments