HomeBantuanRebat Bil Elektrik RM40: Syarat Kelayakan dan Semakan 2025

Rebat Bil Elektrik RM40: Syarat Kelayakan dan Semakan 2025

Kerajaan meneruskan Program Rebat Bil Elektrik RM40 pada tahun ini sebagai inisiatif dalam membantu meringankan kos dan beban kewangan rakyat.

Rebat sebanyak RM40 ini akan diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak sehingga hujung tahun 2025.

Program ini bertujuan meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah. 

Rebat hanya diberikan untuk satu akaun elektrik domestik dan tidak terpakai untuk akaun komersial.

Apa itu Program Rebat Bil Elektrik RM40?

Program bantuan Kerajaan secara bersasar ini membiayai bil elektrik bulanan sehingga maksimum RM40 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih. 

Mulai 31 Januari 2024, sistem eKasih akan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 yang telah diumumkan oleh Kerajaan dalam penentuan status kemiskinan terkini. Dalam hal ini, pendapatan purata nasional miskin tegar adalah sebanyak RM1,198. 

Pengguna yang layak akan menerima bil elektrik percuma sehingga maksimum RM40 setiap bulan.

Siapa Yang Layak Menerima

Mereka yang layak menerima program ini adalah;

  • Ketua Isi Rumah (KIR) di bawah kategori miskin tegar yang tersenarai dan disahkan dalam Sistem eKasih.
  • Pendapatan bagi miskin tegar adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) per isi rumah yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi.
Ciri-ciri penerima rebat bil elektrik RM40

Syarat-Syarat Program

  1. Pengguna-pengguna elektrik yang layak menerima rebat ialah KIR miskin tegar yang disenaraikan dan disahkan dalam Sistem eKasih.
  2. Penerima yang layak akan menerima rebat RM40 sehingga 31 Disember pada tahun semasa.
  3. Rebat bil elektrik akan diberikan sehingga maksimum RM40 sebulan sahaja. Sekiranya bil kurang daripada RM40, tiada baki akan dibawa ke bulan berikutnya dan jika bil melebihi RM40, penerima perlu membayar baki tersebut.
  4. Hanya satu akaun bil elektrik sahaja layak untuk menerima rebat bagi setiap KIR miskin tegar yang berdaftar dan disahkan dalam sistem eKasih.
  5. Rebat RM40 hanya terpakai kepada Tarif A (Domestik) sahaja.
  6. Rebat RM40 termasuk semua jenis caj (contohnya penalti lewat bayar).
  7. Rebat RM40 tidak termasuk tunggakan bil sebelum tarikh KIR mengemas kini maklumat akaun elektrik.
  8. Rebat RM40 hanya terpakai bagi tunggakan pada satu tahun sebelumnya sahaja (bagi tahun 2024, hanya tunggakan bermula 31 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023 sahaja).
  9. Rebat RM40 tidak terpakai bagi tunggakan semasa tempoh KIR layak terkeluar dari senarai layak menerima rebat dan juga tunggakan dari tahun sebelumnya (sekiranya KIR masuk semula di dalam senarai layak menerima rebat).

Cara Semakan 

Semakan kelayakan untuk Program Rebat Bil Elektrik RM40 boleh dilakukan melalui Portal Semakan Rebat Bil Elektrik PETRA melalui pautan berikut:

https://semakanrebat.petra.gov.my

Cara-cara semakan adalah seperti berikut:

  1. Masukkan 12 digit nombor kad pengenalan anda tanpa menggunakan simbol seperti tanda sengkang (-). Contoh: 000000000000.
  2. Klik butang “Cari” untuk memulakan semakan.
  3. Jika perlu mengulangi proses atau memadam data, klik butang “Set semula”.

Pastikan maklumat yang dimasukkan adalah tepat untuk mendapatkan keputusan semakan yang betul.

Program Rebat Bil Elektrik RM40 (Infografik)

Mekanisme Pembayaran Rebat

Pengurangan Automatik pada Bil Elektrik Bulanan

  • Rebat sehingga maksimum RM40 akan ditolak secara langsung daripada bil elektrik bulanan pengguna yang layak.
  • Jika bil elektrik pengguna kurang daripada RM40, jumlah sebenar bil tersebut akan dibiayai sepenuhnya.

Bayaran Baki Oleh Pengguna

  • Jika bil elektrik melebihi RM40, pengguna hanya perlu membayar baki bil yang selebihnya.

Akaun Elektrik yang Berdaftar

  • Rebat hanya diberikan kepada satu akaun elektrik domestik yang didaftarkan atas nama Ketua Isi Rumah (KIR) atau ahli keluarga terdekat seperti suami, isteri, atau anak.

Tarif Layak

  • Rebat ini hanya terpakai untuk Tarif A (Domestik) dan tidak termasuk kategori tarif lain seperti komersial atau perniagaan.

Tempoh Kelayakan

  • Rebat diberikan bermula dari tarikh kelayakan sehingga 31 Disember pada tahun semasa.

Perbezaan Semakan di Portal eKasih dan Portal Semakan PETRA

Soalan yang sering ditanya adalah saya cuba membuat semakan pada Sistem eKasih di https://ekasih.icu.gov.my/Pages/Default.aspx dan mendapati bahawa saya tersenarai dalam data eKasih tersebut. Selanjutnya, saya membuat semakan lanjut rebat bil elektrik RM40 di Portal Semakan Rebat Bil Elektrik melalui https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php dan mendapati saya tidak layak menerima bantuan rebat bil elektrik. Saya keliru. Mengapa situasi ini berlaku?

Situasi ini berlaku kerana terdapat perbezaan dalam tujuan dan kriteria yang digunakan oleh Sistem eKasih dan Portal Semakan Rebat Bil Elektrik PETRA, seperti berikut:

  1. Sistem eKasih
    • Sistem ini merupakan Pangkalan Data Kemiskinan Nasional yang mengandungi maklumat lengkap mengenai Ketua Isi Rumah (KIR) dan ahli isi rumah berdasarkan status kemiskinan.
    • Walaupun anda tersenarai dalam eKasih, ia tidak bermakna anda layak secara automatik untuk menerima bantuan rebat bil elektrik.
  2. Portal Semakan Rebat Bil Elektrik PETRA
    • Portal ini digunakan untuk menyemak kelayakan khusus bagi Program Rebat Bil Elektrik RM40.
    • Hanya mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar dan memenuhi syarat-syarat rebat (seperti pendapatan garis kemiskinan semasa) layak menerima bantuan ini.
  3. Punca Kekeliruan
    • Anda mungkin tersenarai dalam eKasih, tetapi kategori anda dalam sistem tersebut bukan kategori miskin tegar yang layak untuk menerima rebat.
    • Kelayakan bantuan ini bergantung kepada maklumat terkini dalam Sistem eKasih serta penilaian pendapatan dan status kemiskinan terkini yang disahkan.

Tempoh Rebat

  • Terdapat dua kategori pengguna:
    • KIR pemegang akaun bil elektrik: Akan terima rebat secara automatik
    • KIR bukan pemegang akaun bil elektrik: Sehingga KIR mengemas kini nombor akaun dengan utiliti
  • Pengguna yang layak akan menerima rebat RM40 bermula dari tarikh kelayakan/tarikh kemas kini maklumat akaun sehingga 31 Disember pada tahun semasa tarikh bil elektrik pengguna masing-masing.
  • Kerajaan akan sentiasa menyemak semula program rebat pada tahun-tahun yang akan datang selaras dengan keberkesanan program dan tertakluk kepada keupayaan kewangan semasa Kerajaan.

Situasi Bil Elektrik Melebihi atau Kurang RM40 Sebulan: Penjelasan dan Contoh

Bil Elektrik Melebihi RM40 Sebulan

Pengguna yang layak akan menerima potongan rebat maksimum sebanyak RM40 pada bil elektrik mereka.

Sekiranya bil melebihi RM40, pengguna hanya perlu membayar baki bil selepas rebat ditolak.

Contoh:

  • Jika bil elektrik berjumlah RM64.90, pengguna hanya membayar baki RM24.90 setelah RM40 ditolak.
  • Jika bil elektrik berjumlah RM42.50, baki yang perlu dibayar adalah RM2.50 setelah rebat RM40 ditolak.
Contoh Bil Elektrik Melebihi RM40 Sebulan

Bil Elektrik Kurang RM40 Sebulan

Sekiranya bil elektrik kurang daripada RM40, pengguna layak menerima rebat berdasarkan amaun sebenar bil.

Dalam situasi ini, pengguna tidak perlu membayar apa-apa kerana rebat sepenuhnya menampung bil tersebut.

Contoh:

  • Jika bil elektrik berjumlah RM38.50, jumlah ini sepenuhnya ditanggung oleh rebat, dan pengguna tidak perlu membuat bayaran.
  • Jika bil elektrik berjumlah RM24.88, jumlah ini juga ditanggung sepenuhnya tanpa bayaran tambahan oleh pengguna.
Contoh Bil Elektrik Kurang RM40 Sebulan

Pendaftaran Akaun Bil Elektrik untuk Penyewa Rumah

Penyewa rumah yang nombor akaun bil elektriknya didaftarkan atas nama tuan rumah masih boleh mendaftar untuk Program Rebat Bil Elektrik RM40. 

Terdapat dua langkah utama untuk proses pendaftaran ini:

  1. Daftar Akaun yang Didaftarkan atas Nama Tuan Rumah
    • Penyewa boleh mendaftar nombor akaun bil elektrik yang didaftarkan atas nama pihak lain, seperti tuan rumah.
  2. Kemas Kini Nombor Akaun di Cawangan Utiliti
    • Penyewa perlu merujuk terus kepada cawangan utiliti yang berdekatan untuk mengemas kini maklumat nombor akaun tersebut.

Info Lanjut dan Pertanyaan

Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut atau mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan program ini, anda boleh menghubungi talian berikut:

  1. Tenaga Nasional Berhad (TNB)
    • Hotline: 1-300-88-5454
  2. Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB)
    • Hotline: 088-515000 / 15454
  3. Sarawak Energy Berhad (SEB)
    • Hotline: 1-300-88-3111
  4. MyGCC (Malaysia Government Call Centre)
    • Hotline: 03-8000 8000

Sumber: Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA)


Lihat Juga:
13 Jenis Barang Yang Boleh Dibeli Untuk Bantuan SARA MyKASIH
Senarai Kedai/Pasaraya MyKasih: Tempat Tebus Bantuan SARA

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments