Hari Keputeraan Sultan Kedah bagi tahun 2024 disambut pada 30 Jun 2024 (Ahad).
Hari ini bukan sahaja cuti umum bagi Negeri Kedah, tetapi juga hari yang dinantikan oleh seluruh rakyat untuk menghormati dan memperingati jasa serta peranan Baginda dalam memimpin negeri.
Sambutan ini juga memberi peluang untuk rakyat negeri Kedah khususnya memahami lebih mendalam tentang Sultan Kedah dan makna penting di sebalik hari istimewa ini.
Lihat Juga:
– Senarai Tempat Menarik Di Kedah 2024: Sesuai Percutian Keluarga
Biodata Ringkas Tuanku Sultan Kedah
Keputeraan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dilahirkan pada 30 April 1942 di Alor Setar, Kedah.
Baginda merupakan anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-27, dan Almarhumah Sultanah Asma binti Almarhum Sultan Sulaiman dari Terengganu.
Latar Pendidikan
Baginda memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan kemudian meneruskan pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid.
Di sini, Baginda aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk ragbi, bolasepak, dan persatuan perbahasan.
Pada tahun 1958, Baginda menyertai aktiviti berakit buluh dari Sungai Sik ke Sungai Kuala Muda yang memakan masa selama empat hari.
Keluarga
Sultan Sallehuddin berkahwin dengan Sultanah Maliha binti Tengku Ariff pada 26 November 1965 dan dikurniakan dua orang putera: Tengku Sarafudin Badlishah dan Tunku Shazuddin Ariff.
Tengku Sarafudin mendirikan rumahtangga dengan Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff dan dikurniakan dua orang anak.
Kerjaya
Setelah menamatkan pelajaran di peringkat Senior Cambridge, Baginda bekerja sebagai guru sementara sebelum menyertai latihan kadet di India Military Academy.
Baginda ditauliahkan sebagai Leftenan pada 12 Februari 1964 dan bertugas di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Baginda terlibat dalam pelbagai operasi ketenteraan termasuk konfrontasi Indonesia-Malaysia. Perkhidmatan tentera Baginda berakhir pada 14 Februari 1974 apabila Baginda bersara daripada perkhidmatan tersebut.
YTM Tunku Temenggong Kedah
Pada 28 November 1981, Baginda diisytiharkan sebagai Tunku Temenggong Kedah dan kemudian dilantik sebagai Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada 13 Disember 2011.
Baginda menjadi Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada 21 Mei 2014 hingga 12 Disember 2016.
Raja Muda Kedah
Pada 15 Disember 2016, Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah ke-19. Istiadat pemasyhuran diadakan di Balairung Seri, Istana Anak Bukit.
Sultan Kedah
Pada 12 September 2017, Baginda diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29. Perisytiharan dibuat selepas kemangkatan kakanda Baginda, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit.
(Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Kedah)
Cuti Umum Hari Keputeraan Sultan Kedah 2024
Memandangkan Hari Keputeraan Sultan Kedah jatuh pada hari Ahad, ia memberi peluang kepada rakyat Kedah untuk menikmati cuti panjang pada minggu tersebut (long weekend).
Ini adalah masa yang sesuai untuk merancang aktiviti bersama keluarga atau rakan-rakan.
Anda boleh mengambil peluang ini untuk melawat tempat-tempat menarik di Kedah atau sekadar berehat di rumah menikmati masa bersama keluarga.
Jumaat (28 Jun) | Cuti Hujung Minggu |
Sabtu (29 Jun) | Cuti Hujung Minggu |
Ahad (30 Jun) | Hari Keputeraan Sultan Kedah 2024 |
Untuk maklumat lanjut tentang acara dan aktiviti sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, anda boleh melayari laman web rasmi atau mengikuti media sosial Kerajaan Negeri Kedah.
- Laman web: https://www.kedah.gov.my/
- Facebook: Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman
- YouTube: Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman
- Twitter: Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman
Lihat Juga:
– Cuti dan Hari Kelepasan Am Negeri Kedah 2024