Bilakah tarikh untuk melihat anak bulan Ramadhan pada tahun ini?
Untuk makluman masyarakat Islam di Malaysia, pengumuman rasmi tarikh awal Ramadhan akan dibuat oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Ia akan disiarkan melalui media massa seperti TV, Radio, media sosial dan juga laporan rasmi daripada pihak JAKIM.
Kaedah Penentuan Tarikh Mula Puasa
Asas penentuan tarikh mula puasa adalah berdasarkan nas syarak dalam al-Quran, hadis dan pendapat ulama daripada kitab muktabar.
Di dalam sebuah hadis oleh Nafi’ dari Ibnu Umar, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda tentang bulan Ramadan, maka sabdanya:
“Jangan kamu berpuasa kecuali kamu melihat hilal (Ramadan). Dan janganlah kamu berbuka sebelum kamu melihat hilal (Syawal). Apabila penglihatan kamu dilindungi oleh awan, maka hendaklah kamu takdirkannya” (Sahih Bukhari 2:1787)
Penentuan tarikh mula puasa di Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah. Kaedah ini menggabungkan cerapan fizikal anak bulan (rukyah) dan pengiraan astronomi (hisab) untuk memastikan ketepatan penentuan awal bulan Hijriah.
Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, Kriteria Imkanur Rukyah yang digunakan di Malaysia menetapkan bahawa anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya memenuhi syarat berikut iaitu:
- Ketinggian Anak Bulan: Sekurang-kurangnya 3° di atas ufuk ketika matahari terbenam.
- Jarak Lengkung (Elongasi): Sekurang-kurangnya 6.4° antara bulan dan matahari.
Jika anak bulan tidak kelihatan tetapi memenuhi kriteria di atas melalui pengiraan hisab, maka keesokan harinya akan ditetapkan sebagai permulaan bulan baharu. Sebaliknya, jika kriteria tidak dipenuhi, bulan tersebut akan digenapkan menjadi 30 hari.
Kaedah ini telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat ke-88 pada 20 Oktober 1970, yang memutuskan bahawa jika anak bulan tidak kelihatan tetapi menurut kiraan ahli falak ia wujud dan boleh nampak, maka kiraan tersebut boleh digunakan.
Dengan menggabungkan kaedah rukyah dan hisab, Malaysia memastikan penentuan tarikh mula puasa adalah selaras dengan syariat Islam dan perkembangan ilmu falak, serta mengekalkan keseragaman dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadhan Pada Tahun 2025
Berdasarkan amalan di Malaysia, pada setiap 29hb Hijrah, rombongan yang terdiri daripada Jabatan Mufti Negeri-negeri, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi akan menjalankan cerapan (pencerapan) hilal bagi menentukan permulaan bulan baharu dalam kalendar Islam.
Namun, hanya tiga bulan yang ditetapkan untuk pengisytiharan rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, iaitu Ramadan, Syawal, dan Zulhijjah.
Untuk tahun 2025, tarikh melihat anak bulan Ramadan adalah pada petang Jumaat, 28 Februari 2025 (bersamaan 29 Syaaban 1446H).
Jangkaan tarikh permulaan puasa adalah pada 1 atau 2 Mac 2025, bergantung kepada kelihatan atau tidaknya anak bulan serta pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada malam tersebut.
Tempat Cerapan / Lihat Anak Bulan Ramadhan
Dari segi praktisnya, pada petang hari cerapan anak bulan, Jawatankuasa Rukyah Negeri-Negeri yang terdiri daripada Mufti Negeri sebagai ketua rombongan, Ketua Hakim Syar’ie, Pengarah Jabatan Ukur Negeri atau wakilnya yang beragama Islam dan seorang ahli falak akan melaksanakan rukyah hilal di tempat cerapan rasmi di negeri masing-masing.
Berikut adalah senarai lokasi rasmi cerapan anak bulan di Malaysia:
Perlis
- Kuala Sungai Baru, Simpang Empat
Kedah
- Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda
- Pemandangan Indah, Pulau Langkawi
- Menara Alor Setar, Alor Setar
Pulau Pinang
- Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh
Perak
- Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong
Selangor
- Bukit Melawati, Kuala Selangor
- Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat
- Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam
Kuala Lumpur
- Menara Kuala Lumpur
Putrajaya
- Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
Negeri Sembilan
- Telok Kemang, Port Dickson
Melaka
- Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara
Johor
- Pontian Kecil
Pahang
- Bukit Tanjong Batu, Nenasi
- Gunung Berincang, Cameron Highlands
- Bukit Pelindung, Kuantan
Terengganu
- Bukit Besar, Kuala Terengganu
- Bukit Geliga, Kemaman
- Pulau Perhentian, Besut
- Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu
Kelantan
- Bukit Peraksi, Pasir Puteh
- Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai
- Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu
Sarawak
- Tanjung Lubang, Miri
- Teluk Bandung, Kuching
- Tanjung Batu, Bintulu
Sabah
- Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan
Labuan
- Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan
Untuk maklumat lanjut, anda boleh merujuk kepada laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Berikut adalah video yang memaparkan 29 lokasi cerapan anak bulan di seluruh Malaysia: