Hari Arafah adalah satu hari yang istimewa sebagaimana bulan Zulhijjah. Terdapat banyak sumber-sumber yang sahih menyatakan tentang kelebihan dan fadhilat tersebut.
Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah merebut peluang dan kesempatan ini agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.
Apa Itu Hari Arafah?
Hari tersebut adalah salah satu hari yang paling mulia dalam kalendar Islam, jatuh pada 9 Zulhijjah, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.
Hari ini adalah hari di mana para jemaah haji berkumpul di Padang Arafah untuk melaksanakan rukun haji yang dikenali sebagai wukuf di Arafah.
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, mereka digalakkan untuk berpuasa pada hari ini.
Tarikh Hari Arafah 2024 Di Malaysia
Menurut Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim, penentuan tarikh Hari Arafah bagi umat Islam di Malaysia adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab yang diputuskan oleh Jabatan Falak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau turut menjelaskan bahawa penentuan tarikh 9 Zulhijjah berbeza mengikut matla’ (permulaan terbit anak bulan) di negara masing-masing.
Di Malaysia, tarikh 9 Zulhijjah ditetapkan melalui kaedah rukyah dan hisab. Pada tahun 2024, 9 Zulhijjah jatuh pada Ahad, 16 Jun.
Oleh yang demikian, bagi mereka yang ingin berpuasa sunat Arafah, adalah pada hari Ahad.
Hari Arafah Ikut Tarikh Malaysia atau Arab Saudi?
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa hari Wukuf di Arafah jatuh pada Sabtu, 15 Jun 2024.
Manakala Hari Arafah di Malaysia jatuh pada Ahad, 16 Jun 2024.
Persoalannya di Malaysia kita ikut tarikh Malaysia atau Arab Saudi?
Tarikh Hari Arafah di Malaysia ditentukan berdasarkan cerapan anak bulan Zulhijah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Ini menyebabkan hari tersebut di Malaysia berbeza dengan Arab Saudi.
Oleh itu, umat Islam di Malaysia perlu mengikuti tarikh Hari Arafah berdasarkan penentuan anak bulan di Malaysia, bukan tarikh wukuf di Arab Saudi. Matla’ atau tempat terbit bulan yang berbeza mengikut negara memastikan penetapan hari ibadah yang sesuai dengan konteks tempatan.
Keistimewaan dan Kelebihan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman webnya telah menyenaraikan tujuh keistimewaan dan kelebihan Hari Arafah yang amat penting untuk diketahui oleh umat Islam.
Berikut adalah kelebihan dan keistimewaannya berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW::
Pertama: Hari Arafah Adalah Rukun Haripada haji
Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:
الحَجُّ عَرَفَةُ
Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)]
Kedua: Hari Arafah adalah hari di mana agama ini telah sempurna
Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepadanya:
يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَقْرَءُونَهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: “اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا” [المائدة: 3] قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالمَكَانَ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ
Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”. [Riwayat al-Bukhari (43) dan Muslim (5334)]
Ketiga: Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam
Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”. [Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]
Keempat: Hari Arafah adalah hari Penyaksian
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اليَوْمُ المَوْعُودُ يَوْمُ القِيَامَةِ، وَاليَوْمُ المَشْهُودُ يَوْمُ عَرَفَةَ، وَالشَّاهِدُ يَوْمُ الجُمُعَةِ
Maksudnya: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari Mayshud adalah hari Arafah serta al-Syahid adalah hari Jumaat”. [Riwayat al-Tirmizi (3262)]
Kelima: Kebesaran berdoa di Hari Arafah
Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)]
Keenam: Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas
Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]
Ketujuh: Hari keampunan dan pelepasan dari api neraka
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim (2402)]
Amalan yang Digalakkan pada Hari Arafah
- Berpuasa: Bagi mereka yang tidak menunaikan haji, puasa sunat pada Hari ‘Arafah adalah sangat digalakkan.
- Berdoa: Memperbanyakkan doa pada hari ini, memohon keampunan, keberkatan, dan kebaikan dunia dan akhirat.
- Berzikir: Mengingati Allah SWT dengan memperbanyakkan zikir seperti tasbih, tahmid, tahlil, dan takbir.
- Membaca Al-Quran: Meluangkan lebih masa untuk membaca dan memahami Al-Quran.
- Istighfar: Memohon keampunan daripada Allah SWT dengan memperbanyakkan istighfar.
Puasa Hari Arafah: Lafaz Niat dan Kelebihan
Puasa Arafah
Umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji, disunatkan untuk melaksanakan puasa sunat pada hari ‘Arafah.
Daripada Abu Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, Apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah : “Puasa pada hari tersebut (Hari ‘Arafah) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (HR. Muslim,1977)
Lafaz Niat Puasa
Kelebihan Puasa Arafah
- Puasa Arafah adalah satu ruang yang diberikan oleh Allah SWT supaya umat Islam memperoleh pengampunan yang besar.
- Memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadah haji supaya mereka mendapat fadilat yang dijanjikan pada hari Arafah.
- Tarikh 9 Zulhijjah adalah termasuk dalam 10 hari terawal di bulan Zulhijjah dan sepanjang tempoh ini, segala amalan kebaikan yang dilakukan akan diberi ganjaran yang lebih besar berbanding pada bulan yang lain.
- Digalakkan untuk membanyakkan doa seperti dalam riwayat Imam Malik iaitu Rasulullah SAW bersabda “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”
Doa Hari Arafah 2024 (Infografik JAKIM)
Sebaik-baik Doa di Hari Arafah
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah:
لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
Maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT yang satu saja, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya kekuasaan dan milikNya segala pujian, dan Dia Maha Mampu atas segala sesuatu.” [HR Tirmizi, 3585]
Waktu Mustajab Doa Hari Arafah 2024 Mengikut Waktu Di Malaysia
- Waktu Makkah: 12.22 pm – 7.04 pm
- Waktu Malaysia: 5.22 pm – 12.04 am
Doa Hari Arafah: Kelebihan dan Doa Pilihan
Rasulullah SAW bersabda;
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari ‘Arafah.” [HR Tirmidzi, 3585]
Para ulama mensyarahkan hadith ini dengan maksud, inilah hari, doa yang paling cepat dipenuhi atau dikabulkan.
Ianya bersifat umum buat seluruh umat Islam seluruh dunia tetapi sudah pasti saudara kita yang sedang berada di sana lebih utama kerana menggabungkan keutamaan berdoa masa (hari ‘Arafah) dan tempat (‘Arafah).
Himpunan Doa Pilihan
Berikut adalah beberapa doa yang anda boleh masukkan dalam senarai anda;
1. Doa Memohon Kejayaan dan Keselamatan dari Neraka
- Ya Allah kurniakanlah padaku Kejayaan terbesar – selamat dari api neraka dan masuk ke Syurga Firdaus.
- Ya Allah selamatkanlah rakan-rakan bukan Islam ku dari neraka. Kurniakan mereka hidayah Islam.
- Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti dan selamatkanlah aku dari api neraka. Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan dari Mu Ya Allah.
2. Doa Memohon Keimanan dan Keberkatan
- Ya Allah masukkanlah aku dan keluargaku dalam golongan yg beriman.. yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.
- Ya Allah, satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan orang-orang yang aku sayangi semata-mata kerana Mu.
- Ya Rabb, sempurnakan agamaku dan ibadatku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.
3. Doa Memohon Pengampunan dan Rahmat
- Ya Allah terimalah amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkanlah aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.
- Ya Allah ampunilah aku dan tingkatkanlah kurnian Rahmat dan Rezeki Mu.
- Ya Allah ampuni dan berilah rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.
4. Doa Memohon Keselamatan dan Perlindungan
- Ya Allah, apabila aku mati, biarlah jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi.
- Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunan Mu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari Arash Mu.
- Ya Allah lindungi kami dari syaitan, jin dan arak. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat mereka.
5. Doa Memohon Kekuatan dan Ketabahan
- Ya Allah kurniakan aku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan Iman.
- Oh Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku padaMu. Janganlah ada keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaan Mu, kehebatan Mu dan kekuasaan Mu.
- Ya Allah berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat dpt bangun Tahajjud setiap malam.
6. Doa Memohon Kecintaan dan Kesyukuran
- Ya Allah tingkatkanlah kecintaanku untuk Mu dan Nabi Mu (saw).
- Ya Allah tingkatkanlah kesyukuranku semata-mata kepada Mu.
- Ya Allah ya Rabb, sucikan niatku hanya untuk Mu semata dan lindungi aku dari menunjuk-nunjuk atau kebanggaan palsu. Selamatkan aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk nunjuk dan mengungkit ungkit nikmat.
7. Doa Memohon Kebahagiaan Keluarga
- Oh Penciptaku dan Tuhanku, jangan biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang sesuai dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mataku.
- Ya Allah, izinkan aku dan isteriku menjadi antara jemaah menunaikan Haji sebelum kami dijemput olehMu.
- Oh Tuhanku, jadikanlah aku dari orang-orang yang sabar dan patuh kepada Mu dan kepada ibu bapaku.
8. Doa Memohon Keselamatan dari Fitnah dan Azab
- Selamatkanlah aku dari Fitnah Dajjal.
- Selamatkanlah aku dari azab kubur dan azab api neraka.
- Ya Allah, lindungi aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkanlah bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.
9. Doa Memohon Kemudahan dalam Ibadah dan Amal
- Ya Allah, tingkatkanlah usahaku dalam kerja-kerja Sadakatul Jariah.
- Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud padamu dengan mudah sehingga akhir hayatku.
- Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripadamu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari kufur, putus asa, salah laku dan syirik.
Kredit: #fb Ustaz Ahmad Shukri Yusoff
Zikir Hari Arafah
Berikut adalah himpunan zikir dan doa pilihan yang dihimpukan oleh Ustazah Asma’ Harun untuk panduan bersama. Terima kasih Ustazah;
1. Zikir Nabi SAW
2. Doa Penyerahan Diri Kepada Allah
3. Lafaz Sayyidul Istighfar
4. Doa Memohon Keampunan Daripada Allah SWT
5. Doa Memohon Kebaikan Bagi Kedua Ibu BapA
6. Doa Memohon Rahmat Daripada Allah SWT
7. Doa Agar Ditetapkan Hati dalam Ketaatan
8. Doa Agar Dikurniakan Keturunan yang Menyejukkan Mata
9. Doa Agar Menjadi Hamba-Nya yang Sentiasa Bersyukur
10. Doa Dijauhi Rasa Hasad Dengki
Lihat Juga;
– Kelebihan Bulan Zulhijjah: Amalan & Fadhilat Pada 10 Hari Terawal