HomeAgamaKelebihan Bulan Muharram: Puasa Asyura dan Puasa Tasua

Kelebihan Bulan Muharram: Puasa Asyura dan Puasa Tasua

Kelebihan Bulan Muharram

Bulan Muharram merupakan bulan pertama dalam kalendar Hijrah Islam di mana ia termasuk dalam bulan-bulan haram sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah, ayat 36.

Empat bulan Haram dalam Islam iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

Bulan Haram adalah bulan di mana Allah SWT akan menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut.

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita seperti solat sunat, puasa sunat, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kelebihan Bulan Muharram

Dalam Surah al-Taubah, ayat 36, Allah SWT berfirman tentang bilangan bulan dalam setahun yang telah ditetapkan sejak penciptaan langit dan bumi, iaitu sebanyak dua belas bulan. 

Kelebihan Bulan Muharram (InfoGrafik JAKIM 2024)

Di antara bulan-bulan tersebut, terdapat empat bulan haram yang mempunyai kedudukan istimewa dan diharamkan sebarang bentuk penzaliman. 

Bulan Muharram termasuk dalam empat bulan haram ini, bersama dengan bulan Zulkaedah, Zulhijjah, dan Rejab. 

Ini menekankan betapa pentingnya bulan Muharram dalam kalendar Islam dan keperluan untuk umat Islam menjaga kehormatan bulan ini dengan meningkatkan amalan kebaikan dan menjauhi dosa.

Oleh yang demikian, marilah kita mengambil kesempatan dengan meraih keberkatan dan ganjaran yang besar pada bulan ini dengan memanfaatkan untuk beribadah dan menjauhi dosa.

Kelebihan Puasa Bulan Muharram

Puasa Bulan Muharram (JAKIM 2024)

Rasulullah S.A.W, melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A., menekankan bahawa setelah bulan Ramadhan, bulan yang paling afdhal untuk berpuasa adalah bulan Muharram. 

Bulan ini digelar sebagai “bulan Allah,” menunjukkan betapa mulianya bulan ini di sisi Allah SWT. Berpuasa pada bulan Muharram menawarkan peluang emas kepada umat Islam untuk meraih pahala yang besar dan memperbaiki amalan mereka. 

Puasa ini tidak hanya menambah ganjaran pahala tetapi juga menjadi tanda ketaatan dan kesyukuran kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan.

Menghidupkan Bulan Muharram dengan Ibadah

Menggabungkan puasa pada bulan Muharram dengan amalan solat malam adalah cara yang sangat baik untuk menghidupkan bulan yang mulia ini. 

Umat Islam dianjurkan untuk memanfaatkan kelebihan bulan Muharram dengan memperbanyakkan amalan kebaikan dan ibadah, serta menjauhi dosa dan perbuatan yang tidak bermanfaat. 

Dengan cara ini, kita dapat memperbaiki diri, membersihkan hati, dan meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah SWT. Bulan Muharram adalah masa yang tepat untuk memperbaharui tekad dan semangat dalam beribadah, serta meraih keberkatan yang melimpah daripada Allah SWT.

Anjuran Berpuasa Pada 9 & 10 Muharram (Puasa Tasu’a dan Puasa Asyura

Terdapat hadis sahih tentang anjuran untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram iaitu puasa tasu’a dan puasa hari Asyura.

Hadis-hadis ini menekankan tentang keutamaan dan kelebihan berpuasa pada hari tersebut;

Keutamaan Berpuasa pada Hari Asyura (10 Muharram)

Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa berpuasa pada hari Asyura, iaitu pada 10 Muharram, adalah amalan yang sangat dianjurkan. 

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah R.A., Baginda S.A.W bersabda bahawa puasa pada hari Asyura dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu

Hadis ini, yang direkodkan dalam Riwayat Ibn Majah (1738), menunjukkan betapa besar ganjaran yang dijanjikan bagi mereka yang berpuasa pada hari tersebut. 

Ini memberikan peluang kepada umat Islam untuk meraih keampunan dan membersihkan diri daripada dosa-dosa kecil yang dilakukan sepanjang tahun. 

Infografik anjuran berpuasa pada 9 dan 10 Muharram (Hari Tasua dan Hari Asyura) oleh JAKIM.

Keutamaan Berpuasa pada Hari Tasua’ (9 Muharram)

Selain puasa pada hari Asyura, Rasulullah S.A.W juga menganjurkan umat Islam untuk berpuasa pada hari Tasua’, iaitu pada 9 Muharram (sehari sebelumnya) atau sehari selepasnya (11 Muharram). 

Ia bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal.

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan bezakanlah diri kamu dengan orang Yahudi dengan berpuasa sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.(Riwayat Ahmad).

Adakah Puasa Asyura Perlu Disertai dengan Hari Sebelum atau Selepasnya?

Selain itu, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas ra, Baginda SAW menyatakan bahawa jika Baginda masih hidup pada tahun hadapan, Baginda akan berpuasa pada hari ke-9 Muharram. 

Hadis ini, yang terdapat dalam Riwayat Muslim (1134), menunjukkan bahawa berpuasa pada hari Tasua’ adalah sunnah yang dianjurkan sebagai persediaan untuk puasa Asyura dan juga bertujuan menyelisihi golongan Yahudi.

Tarikh-tarikh Penting: Puasa Tasu’a, Puasa Asyura dan Puasa Hari Putih

Infografik tarikh-tarikh penting puasa sunat bulan Muharram 2024 oleh JAKIM.

Berikut adalah tarikh-tarikh penting bulan Muharram 1446 hijrah;

  • 9 Muharam 1446H (15 Julai 2024 – Isnin) – Hari Tasu’a
  • 10 Muharam 1446H (16 Julai 2024 – Selasa) – Hari ‘Asyura
  • 11 Muharram 1446H (17 Julai 2024 – Rabu) –
  • 13, 14, 15 Muharam (19, 20, 21 Julai 2024 – Jumaat, Sabtu, Ahad) – Hari Putih ( Ayyamul Bidh)

NOTA: Disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharam atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura (10 Muharram) dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi. 

Niat Puasa Hari Tasua’ (9 Muharram)

Lafaz Niat: 

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ سُنَّةِ التَّاسُوعَاءِ لِلَّهِ تَعَالَى

NAWAITU SAUMA GHODIN ‘AN ADA’I SUNNATI TASU’A LILLAHI TA’ALA

Maksud:

Sahaja aku berpuasa sunat Hari Tasua’ esok hari kerana Allah Taala.

Niat Puasa Hari Asyura (10 Muharram)

Lafaz Niat: 

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ سُنَّةِ عَاشُورَاءِ لِلَّهِ تَعَالَى

NAWAITU SAUMA GHODIN ‘AN ADA’I SUNNATI ‘ASYURA LILLAHI TA’ALA

Maksud:

“Sahaja aku berpuasa sunat Hari Asyura esok hari kerana Allah Taala.”

Niat Puasa Hari Putih (Ayyamul Bidh)

Lafaz Niat:

نَوَيْتُ صَوْمَ أَيَّامِ الْبِيضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

NAWAITU SAUMA AYYAMI AL-BIDH SUNNATAN LILLAHI TA’ALA

Maksud:

Sahaja aku puasa sunat hari-hari putih kerana Allah Ta’ala

Sumber:
BAYAN LINNAS SIRI KE-39
Hikmah Hari Asyura
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM


Lihat Juga:
Jadual Puasa Sunat Bulan Muharram 1446 Hijrah (2024)

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments