HomeInfoHari Asyura 2024: Tarikh, Puasa dan Kelebihan 10 Muharram

Hari Asyura 2024: Tarikh, Puasa dan Kelebihan 10 Muharram

HARI ASYURA (10 MUHARRAM): TARIKH 2024, DAN KELEBIHAN PUASA SUNAT

Hari ‘Asyura adalah salah satu hari yang penuh makna bagi umat Islam di seluruh dunia.

Ia di sambut pada 10 Muharram yang merupakan salah satu bulan suci dalam kalendar Hijrah.

Hari ini bukan sahaja dikenang kerana peristiwa sejarahnya, tetapi juga kerana amalan puasa sunat ‘Asyura mempunyai fadhilat yang besar.

Apa Itu Hari Asyura?

Hari Asyura adalah hari ke-10 dalam bulan Muharram iaitu bulan pertama dalam kalendar Islam. Nama “Asyura” berasal dari perkataan Arab “asyara” yang bermaksud sepuluh, merujuk kepada hari ke-10 Muharram. Hari ini mempunyai makna yang sangat penting dalam sejarah Islam, terutamanya kerana beberapa peristiwa besar yang berlaku pada hari ini.

Di dalam al-Sahihain dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata: “Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW: Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim).

Selain itu, disebut di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karya Al-Imam Al-Suyuthi sebuah riwayat dari Abdul Wahhab Al-Khaffaf, dari Sa’id, dari Qatadah beliau berkata: Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari ‘Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari ‘Asyura.

(Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Pesekutuan)

Bila Tarikh Hari Asyura 2024?

Berdasarkan kalendar Hijrah dalam portal e-Solat JAKIM, 10 Muharram 1446 Hijrah jatuh pada 16 Julai 2024 iaitu pada hari Selasa. 

Manakala hari Tasu’ (9 Muharram) adalah pada 15 Julai 2024 (Isnin).

Berikut adalah tarikh-tarikh penting bulan Muharram 1446 hijrah;

  • 9 Muharam 1446H (15 Julai 2024 – Isnin) – Hari Tasu’a
  • 10 Muharam 1446H (16 Julai 2024 – Selasa) – Hari ‘Asyura
  • 11 Muharram 1446H (17 Julai 2024 – Rabu) –
  • 13, 14, 15 Muharam (19, 20, 21 Julai 2024 – Jumaat, Sabtu, Ahad) – Hari Putih ( Ayyamul Bidh)

NOTA: Disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharam atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura (10 Muharram) dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi. 

Amalan Hari Asyura (10 Muharram) 

Puasa Sunat

Menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan Muharam dengan satu amalan iaitu berpuasa sunat pada 10 Muharam. Puasa sunat ini juga dikenali sebagai puasa Hari Asyura. 

Amalan puasa ini menjadi kelaziman kepada umat Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:

Maksudnya: “Rasulullah tiba di Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada Hari ‘Asyura. Baginda berkata: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah hari yang Allah menyelamatkan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut”. Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari tersebut”. (Riwayat al-Bukhari) 

Begitu juga galakan yang sama dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah bahawa Rasulullah bersabda: 

Maksudnya: “Hari Asyura adalah hari orang- orang Quraisy berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Rasulullah  juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi  berpuasa pada Hari Asyura dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardukan puasa Ramadan, Baginda meninggalkan (puasa) Hari Asyura, barangsiapa yang ingin berpuasa, maka lakukanlah (puasa Hari Asyura), dan barangsiapa yang tidak mahu maka dia boleh meninggalkannya”. (Riwayat al-Bukhari) 

Kedua-dua hadis sahih ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah  menggalakkan umatnya untuk berpuasa sunat pada hari tersebut kerana puasa Hari Asyura merupakan sunnah yang dituntut. (Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan).

Amalan-Amalan lain

Menurut pandangan Mufti Wilayah lagi, selain berpuasa, terdapat amalan-amalan lain yang disebutkan pada asalnya hukum melaksanakan ialah sunat dan berpahala berdasarkan hadis-hadis lain bersikap umum. Mungkin juga itu adalah amalan para ulama silam. Tidak ada masalah untuk melakukannya selagi mana tidak disandarkan kepada Nabi SAW seperti fadilat khusus di dalam Hari Asyura. 

Berikut adalah amalan lain yang boleh dilakukan;

  • Melakukan sembahyang sunat
  • Berpuasa
  • Menghubungkan silaturrahim
  • Bersedekah
  • Membersihkan diri (mandi sunat)
  • Memakai celak (bagi lelaki)
  • Menziarahi orang-orang alim
  • Menziarahi orang-orang sakit
  • Menyapu kepala anak-anak yatim
  • Meluaskan makanan kepada ahli keluarga
  • Memotong kuku
  • Membaca surah al-Ikhlas 1000x

Puasa Asyura & Tasu’a –  Kelebihan Puasa 10 dan 9 Muharram

Anjuran Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram

Kita dianjurkan berpuasa Sunat Asyura (10 Muharram) dan Puasa Sunat Tasu’ (9 Muharram). Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang menyebut tentang keutamaan berpuasa pada dua hari tersebut.

Hadis Mengenai Puasa Asyura

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Berpuasa pada Hari Asyura, aku berharap kepada Allah agar Dia menghapuskan dosa setahun sebelumnya.”(Hadis Riwayat Muslim, No. 1162)

Berdasarkan hadis ini, ia menunjukkan bahawa berpuasa pada Hari Asyura (10 Muharram) dapat menghapuskan dosa-dosa kecil yang telah dilakukan sepanjang tahun sebelumnya, menjadikannya salah satu amalan yang sangat digalakkan dalam Islam.

Hadis Mengenai Puasa Tasu’a

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Andai aku masih hidup lagi pada tahun depan, aku akan berpuasa pada hari ke-9 bulan Muharram.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 1134)

Niat Puasa Muharram Tasu’a Dan ‘Asyura

Puasa Asyura adalah puasa sunat yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Puasa ini dilakukan pada hari ke-10 bulan Muharram dan diiiringi dengan puasa pada hari ke-9 yang dikenali sebagai puasa Tasu’a. Niat puasa Tasu’a (9 Muharram) dan Asyura (10 Muharram) adalah seperti berikut:

  • “Nawaitu sauma ghadin ‘an ada’i sunnati tasu’a lillahi ta’ala” (9 Muharram)
  • “Nawaitu sauma ghadin ‘an ada’i sunnati asyura lillahi ta’ala” (10 Muharram)
Niat Puasa Muharram Tasu'a Dan 'Asyura

Adakah Puasa Asyura Perlu Disertai dengan Hari Sebelum atau Selepasnya?

Mengikut pandangan ulama, puasa Asyura adalah lebih baik jika disertakan dengan puasa pada hari sebelum atau selepasnya. Ini adalah untuk membezakan amalan puasa umat Islam dengan amalan puasa yang dilakukan oleh orang Yahudi pada hari Asyura.

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan bezakanlah diri kamu dengan orang Yahudi dengan berpuasa sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.(Riwayat Ahmad).

Adakah Puasa Asyura Perlu Disertai dengan Hari Sebelum atau Selepasnya?

Doa Hari Asyura

Secara khususnya, tidak terdapat doa yang disandarkan kepada al-Quran dan hadis yang sahih untuk hari tersebut.

Walaupun begitu, kita boleh berdoa berdasarkan pandangan umum tentang galakan melakukan amalan-amalan baik. 

Amalan-amalan lain yang disebutkan pada asalnya adalah sunat dan berpahala, berdasarkan hadis-hadis lain yang bersikap umum.

Berikut adalah beberapa doa yang anda boleh baca pada Hari Asyura dan juga hari-hari lain;

  • Doa Agar Diperbaiki Diri
  • Doa Diilhamkan Kecerdasan
  • Doa Dikurniakan Sifat Lemah Lembut
  • Doa Nabi Ayub A.S Memohon Kesembuhan Dari Penyakit
  • ‎Doa Berlindung dari Kejahatan
  • Doa Agar Tidak Dihilangkan Nikmat
  • Doa Berlindung Dari Fitnah Dajjal
  • DOA Mohon Taqwa
  • Doa Dimurahkan Rezeki
  • DOA Mohon Perlindungan Dari Penyakit Berbahaya
Doa Agar Diperbaiki Diri boleh baca pada Hari Asyura
Doa Diilhamkan Kecerdasan (JAKIM)
Doa Dikurniakan Sifat Lemah Lembut boleh baca pada Hari Asyura
Doa Nabi Ayub Memohon Kesemuhan Penyakit boleh baca pada Hari Asyura
Doa Agar Tidak DIhilangkan Segala Nikmah (JAKIM)
Doa Berlindung Dari Kejahatan  boleh baca pada Hari Asyura
Doa berlindung dari fitnah Dajjal (JAKIM)
Doa Memohon Takwa (JAKIM)
Doa Dimurahkan Rezeki (JAKIM)
Doa Mohon Perlindungan dari Penyakit Berbahaya boleh baca pada Hari Asyura

Bubur Asyura – Tradisi Di Malaysia

Bubur Asyura adalah salah satu hidangan yang sangat sinonim dengan perayaan Hari Asyura di Malaysia. Dimasak dan dinikmati pada 10 Muharram, bubur ini bukan sahaja sekadar makanan tetapi juga lambang tradisi dan kebersamaan dalam masyarakat Melayu.

Setiap tahun, keluarga dan komuniti berkumpul untuk menyediakan bubur ini secara bergotong-royong Ia melambangkan semangat gotong-royong dan persaudaraan dalam komuniti masyarakat kita dan mengeratkan persaudaraan.

Asal Usul dan Makna 

Menurut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, ada yang mendakwa bahawa amalan ini disandarkan kepada kisah Nabi Nuh AS dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman, namun kisah ini tidak terdapat nas yang sahih yang dinyatakan dalam al-Quran atau hadis Baginda Nabi SAW dan ia merupakan kisah yang diceritakan oleh ulama sirah.

Namun, bukanlah menjadi satu kesalahan sekiranya mengambil iktibar dan pedoman dengan dengan kisah ini, kerana ia merupakan riwayat sirah. Secara asasnya, ulama memberi kelonggaran dalam penerimaan dan penilaian riwayat ini, selagi mana tidak menyentuh soal akidah dan hukum hakam sehingga perlu dinilai dengan satu piawaian yang ketat.

Malah adat yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia tidaklah bertentangan dengan syarak, bahkan ia merupakan perkara yang terpuji kerana tujuan majlis pada hari tersebut disertakan dengan memasak bubur secara beramai-ramai dapat mengeratkan tautan silaturrahim di samping dapat membudayakan amalan sedekah dalam kalangan masyarakat.

Variasi Bubur Asyura di Malaysia

Setiap negeri di Malaysia mungkin mempunyai variasi Bubur Asyura yang berbeza. Sebagai contoh:

  • Kelantan: Bubur Asyura Kelantan biasanya lebih manis dan pekat, dengan penggunaan gula melaka dan santan yang banyak.
  • Terengganu: Di Terengganu, Bubur Asyura mungkin lebih cair dan mengandungi lebih banyak sayur-sayuran dan kekacang.
  • Kedah dan Perlis: Bubur Asyura di Kedah dan Perlis mungkin lebih sederhana dengan penggunaan bahan-bahan yang mudah didapati di kampung.

Lihat Juga:
Jadual Puasa Sunat Bulan Muharram 1446 Hijrah (2024)

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments