Solat Sunat Aidiladha merupakan satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam.
Ia dilaksanakan pada pagi 10 Zulhijjah iaitu di mana umat Islam merayakan Hari Raya Aidiladha.
Melalui solat sunat ini, kita diingatkan tentang nilai-nilai pengorbanan, kesabaran, dan ketaatan yang tinggi kepada Allah.
Selain itu, solat ini juga menjadi peluang untuk kita memperkuatkan ukhuwah Islamiah dengan berkumpul bersama ahli keluarga, sahabat, dan masyarakat untuk beribadah dan merayakan hari yang penuh barakah ini.
Hukum Solat Sunat Hari Raya
Hukum Solat Dua Hari Raya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha adalah Sunat Muakkad (sunat yang amat dituntut).
Ianya disunatkan samada secara berjemaah ataupun bagi orang yang bersendirian, bermukim atau bermastautin. (Jabatan Mufti Perak)
Waktu Solat Aidiladha
Solat ini dilaksanakan pada 10 Zulhijjah iaitu pada hari raya Aidiladha. Waktu mengerjakannya ialah antara ketika mula terbit matahari sekadar segalah hingga tergelincirnya matahari (sebelum masuknya waktu zohor).
Kebiasannya di Malaysia, kita memulakan solat raya ini sekitar jam 8.00 atau 8.30 pagi bergantung kepada negeri dan qariah masing-masing.
Para jemaah di nasihatkan untuk menyemak dengan masjid atau qariah masing-masing bagi waktu sebenar pelaksanaan solat ini.
Panduan Menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha
Berikut merupakan kaifiyah menunaikan solat sunat Aidiladha
Niat
أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ (إِمَامًا/مَأْمُومًا) لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku Solat Sunat Aidiladha dua rakaat sebagai imam/makmum kerana Allah SWT.”
Lafaz Tasbih
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ
“Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”
Rakaat Pertama
- Takbiratul Ihram beserta niat Solat Sunat Aidiladha
- Membaca doa iftitah
- Bertakbir sebanyak tujuh (7) kali diselangi dengan lafaz tasbih sebanyak enam (6) kali
- Membaca surah Al-Fatihah
- Membaca surah dari Al-Quran
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama
Rakaat Kedua
- Mengangkat takbir lima (5) kali diselangi dengan lafaz tasbih sebanyak empat (4) kali
- Membaca surah Al-Fatihah
- Membaca surah dari Al-Quran
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua
- Memberi salam
Khutbah Aidiladha
Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan solat Hari Raya. Khutbah Aidiladha sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya.
Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
Syarat Khutbah Hari Raya
- Khatib mestilah suci daripada hadas kecil dan besar
- Khatib hendaklah menutup aurat dengan sempurna.
- Khabit mestilah seorang lelaki.
- Khutbah dibaca setelah selesai solat sunat hari raya.
- Hendaklah berturut-turut di antara 2 khutbah.
- Khatib membaca khutbah dalam keadaan berdiri bagi yang berkemampuan.
Lafaz Takbir Raya
Amalan sunah yang boleh diamalkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha ialah memperbanyakkan takbir. Bilakah kita boleh bertakbir sempena Hari Raya Aidiladha?
Waktu untuk kita bertakbir sempena Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah 9 Zulhijjah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga iaitu 13 Zulhijjah bersamaan 20 Jun 2024.
Ertinya, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.
Walau bagaimanapun bagi jemaah haji, mereka hanya disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, iaitu masuk waktu Zohor Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbitnya fajar sadiq, iaitu masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijjah.
Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.
Amalan Sunat Untuk Diamalkan di Pagi Hari Raya Aidiladha
Pada waktu pagi hari raya Aidul Adha ini, eloklah jika kita mengikut beberapa perkara sunat yang boleh dilakukan antaranya:
- Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
- Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
- Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
- Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
- Sunat menjamah makan-minum selepas pulang dari masjid.
- Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
- Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
- Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
- Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
- Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
- Elakkan menyambut hari raya dengan perkara yang ditegah syarak.
Takbir
Rasulullah SAW menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).” (Hadis riwayat al-Thabrani).
Pada Hari Raya Haji / Aidiladha disunatkan bertakbir (Takbir Muqayyad) setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada hari ke 3 Tasyriq, iaitu 13 Zulhijjah.
Ibadah Korban
Aidiladha disebut juga Hari Raya Korban. Kata Adha’ adalah bentuk jamak daripada kata dahiyah’ yang bererti haiwan korban. Korban atau udhiah bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
“Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban.Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.” Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.
Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.
Hikmah Aidiladha
- Hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
- Meninggalkan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya.
Sumber;
Baca Juga;
– Puasa Arafah 2024: Tarikh Puasa Sunat, Niat dan Kelebihan
– Selamat Hari Raya Aidiladha 2024: Contoh Ucapan & Pantun