Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril.
Peristiwa bersejarah ini berlaku pada malam 17 Ramadhan di Gua Hira’, menandakan permulaan penyebaran Islam dan menjadi titik perubahan besar dalam sejarah umat manusia.
Dalam peristiwa ini, Allah SWT menurunkan lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq (1-5) yang membawa seruan “Iqra'” (Bacalah), menekankan kepentingan ilmu dan pendidikan dalam Islam. Al-Quran bukan sekadar kitab suci, tetapi juga panduan hidup yang merangkumi akidah, syariah, dan akhlak bagi umat Islam sepanjang zaman.
Di Malaysia, Nuzul al-Quran disambut setiap 17 Ramadhan dengan pelbagai program keagamaan seperti ceramah, tadarus, dan tadabbur al-Quran. Bahkan ada sesetengah negeri yang cuti bersempena Hari Nuzul al-Quran.
Lihat: Cuti Nuzul Quran: Negeri Yang Cuti & Tidak Cuti Di Malaysia
Definisi Nuzul al-Quran (Apa itu Nuzul al-Quran?)
Nuzul al-Quran berasal daripada bahasa Arab, di mana “Nuzul” bermaksud penurunan, dan “al-Quran” merujuk kepada kitab suci umat Islam. Kamus Kamus Dewan Edisi Keempat pula mendefinisikan Nuzul Quran sebagai “hari peringatan turunnya Quran (pada 17 Ramadan)”.
Secara keseluruhan, Maksud Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril di Gua Hira’.
Ia menjadi titik permulaan bagi penyebaran ajaran Islam, dengan lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq (1-5) diturunkan sebagai wahyu pertama.

Bilakah berlaku Nuzul al-Quran?
Nuzul al-Quran berlaku dalam bulan Ramadhan, tetapi terdapat beberapa pandangan berbeza mengenai tarikh sebenar wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Menurut Ibnu Ishak dalam kitab Al-Bidayah wa an-Nihayah, Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadhan, berdasarkan firman Allah SWT:
“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran.” (Surah al-Baqarah: 185)
Namun, Ibnu Hajar al-Asqalani pula berpendapat bahawa wahyu pertama diturunkan pada 24 Ramadhan, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad & Baihaqi yang menyebut bahawa suhuf dan kitab terdahulu seperti Taurat dan Injil juga diturunkan dalam bulan Ramadhan.
Walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan tarikh sebenar, para ulama sepakat bahawa peristiwa Nuzul al-Quran berlaku dalam bulan Ramadhan.
Di Malaysia dan beberapa negara lain, 17 Ramadhan dijadikan sebagai tarikh rasmi untuk memperingati peristiwa bersejarah ini.
Lihat Juga: Kalendar Islam 2025 JAKIM: Tarikh-Tarikh Penting 1446-1447
Sejarah Nuzul al-Quran
Peristiwa Nuzul al-Quran, iaitu turunnya wahyu pertama pada malam 17 Ramadhan kepada Nabi Muhammad SAW, berlaku dalam konteks masyarakat Arab yang unik sebelum kedatangan Islam.
Untuk memahami latar belakang peristiwa ini, mari kita telusuri keadaan masyarakat Arab ketika itu dan peranan Nabi Muhammad SAW sebelum diangkat menjadi Rasul.
Keadaan Masyarakat Arab Sebelum Turunnya al-Quran
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab hidup dalam Zaman Jahiliah, iaitu zaman yang penuh dengan kejahilan dan ketidakadilan. Penyembahan berhala menjadi amalan utama, di mana setiap suku mempunyai tuhan mereka sendiri. Kepercayaan tahyul dan adat yang tidak berlandaskan wahyu juga berleluasa.
Dalam aspek sosial, golongan kaya menindas golongan miskin tanpa belas kasihan. Wanita tidak dihormati dan sering menjadi mangsa ketidakadilan, malah bayi perempuan dibunuh hidup-hidup kerana dianggap membawa malang.
Masyarakat Arab ketika itu juga sering terlibat dalam perang antara puak, yang berlaku hanya kerana perselisihan kecil tetapi berlarutan selama bertahun-tahun. Dari sudut ekonomi, perniagaan di Mekah berkembang pesat tetapi berasaskan riba dan penipuan, yang menambahkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
Zaman Jahiliah mencerminkan masyarakat yang kehilangan nilai moral dan spiritual, sehinggalah Islam datang membawa perubahan besar dengan ajaran tauhid dan keadilan sosial.
Peranan Nabi Muhammad SAW Sebelum Menjadi Rasul
Nabi Muhammad SAW dilahirkan dalam keluarga Bani Hasyim, salah satu kabilah yang dihormati dalam masyarakat Quraisy. Baginda membesar sebagai anak yatim setelah kehilangan ayah sebelum kelahirannya dan ibunya ketika masih kecil.
Baginda dikenali dengan gelaran Al-Amin (Yang Dipercayai) kerana kejujuran, amanah, dan keperibadiannya yang mulia. Dalam kehidupan seharian, baginda bekerja sebagai penggembala kambing dan kemudian menjadi pedagang yang berjaya kerana kejujurannya dalam urusan perniagaan.
Sebelum diangkat menjadi Rasul, Nabi Muhammad SAW sering menyendiri di Gua Hira’, mencari ketenangan dan berfikir tentang keburukan yang berlaku dalam masyarakat Arab. Dalam kesunyian itu, baginda bertafakur dan mencari kebenaran sehingga akhirnya menerima wahyu pertama daripada Allah SWT melalui Malaikat Jibril.
Peristiwa Nuzul al-Quran pada 17 Ramadhan
Peristiwa Nuzul al-Quran bukan sekadar catatan sejarah, tetapi satu peristiwa yang membawa perubahan besar dalam kehidupan umat Islam.
Ia menjadi permulaan bagi penyebaran wahyu Ilahi yang menjadi panduan hidup bagi seluruh manusia.
Oleh itu, peristiwa ini perlu dihayati oleh setiap Muslim dengan memahami nilai, hikmah, dan tujuan sebenar penurunan al-Quran.
Kejadian di Gua Hira’
Pada malam 17 Ramadhan, Nabi Muhammad SAW sedang beribadat dan bertafakur di Gua Hira’, sebuah gua kecil di Jabal Nur yang terletak sekitar 3km dari Mekah. Ketika itu, baginda berusia sekitar 40 tahun, usia matang yang menandakan permulaan tugas kerasulan baginda.
Baginda sering beruzlah di tempat ini untuk mencari kebenaran dan menjauhkan diri daripada amalan jahiliah yang berleluasa dalam masyarakat Arab ketika itu.
Malaikat Jibril Menyampaikan Wahyu Pertama
Tiba-tiba, Malaikat Jibril muncul dan mendekati Nabi Muhammad SAW. Jibril memeluk baginda dengan kuat dan berkata “Iqra'” (Bacalah).
Nabi Muhammad SAW yang tidak tahu membaca menjawab bahawa baginda tidak mampu membaca. Jibril mengulangi perintah ini sebanyak tiga kali sebelum menyampaikan wahyu pertama daripada Allah SWT.
Ayat Pertama yang Diturunkan (Surah Al-Alaq 1-5)
Ayat yang diturunkan ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq, yang menekankan kepentingan ilmu dan membaca:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. (1) Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. (2) Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar manusia dengan pena. (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (5)
Reaksi Pertama Nabi Muhammad SAW Selepas Menerima Wahyu
Selepas menerima wahyu, Nabi Muhammad SAW berasa sangat takut dan cemas kerana ini adalah pengalaman luar biasa yang tidak pernah baginda alami. Dengan hati yang gementar, baginda segera pulang ke rumah dan meminta isterinya, Siti Khadijah, untuk menyelimutinya sambil berkata, “Selimutkan aku! Selimutkan aku!”
Siti Khadijah menenangkan baginda dan membawa baginda berjumpa dengan Waraqah bin Naufal, seorang pendeta Nasrani yang memahami kitab-kitab terdahulu.
Waraqah mengesahkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah menerima wahyu daripada Allah SWT dan meramalkan bahawa baginda akan menghadapi ujian besar dalam menyampaikan risalah Islam.
Peristiwa ini menjadi titik permulaan bagi penyebaran Islam dan penurunan al-Quran secara beransur-ansur selama 23 tahun untuk membimbing umat manusia ke jalan yang benar.

Bagaimanakah Proses Nuzul al-Qur’an (Penurunan al-Qur’an) Berlaku?
Proses Nuzul al-Quran tidak berlaku sekaligus tetapi melalui tiga peringkat utama, seperti yang disebut dalam sumber-sumber Islam.
Setiap peringkat mempunyai peranannya yang tersendiri dalam memastikan al-Quran sampai kepada manusia sebagai wahyu Allah SWT yang kekal hingga ke hari ini.
Berikut adalah gambaran visual tentang proses penurunan al-Quran yang berlaku dalam tiga peringkat utama.

1. Peringkat Pertama: Dari Lauh Mahfudz ke Baitul Izzah (Langit Dunia)
Al-Quran pada asalnya berada di Lauh Mahfudz, iaitu tempat di mana segala ketetapan Allah SWT telah ditulis dan dipelihara.
Dalam peringkat ini, al-Quran diturunkan sekali gus dari Lauh Mahfudz ke Baitul Izzah, iaitu di langit dunia, sebagai persediaan untuk penurunannya secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar.”
(Surah Al-Qadr: 1)
Peringkat ini menandakan kedudukan dan kemuliaan al-Quran sebagai wahyu Allah SWT yang terpelihara daripada sebarang perubahan atau penyelewengan.
2. Peringkat Kedua: Dari Baitul Izzah ke Nabi Muhammad SAW Secara Beransur-ansur
Selepas berada di Baitul Izzah, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun melalui Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW.
- Di Mekah: Selama 12 tahun 5 bulan 13 hari, ayat-ayat al-Quran lebih menekankan kepada akidah, keimanan, dan ketauhidan.
- Di Madinah: Selama 9 tahun 9 bulan 9 hari, wahyu yang diturunkan banyak berkaitan dengan hukum-hakam, syariah, dan kehidupan bermasyarakat.
“Dan orang-orang kafir berkata: Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)? Al-Quran diturunkan dengan cara beransur-ansur kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.”
(Surah Al-Furqan: 32)
Penurunan secara berperingkat ini membolehkan para sahabat memahami, menghafaz, dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan mereka.
3. Peringkat Ketiga: Penyebaran kepada Umat Islam
Selepas wahyu terakhir diturunkan, al-Quran disampaikan kepada umat Islam melalui hafazan dan tulisan. Para sahabat seperti Zaid bin Thabit bertanggungjawab dalam penulisan al-Quran, yang kemudiannya dikumpulkan menjadi satu mushaf pada zaman Khalifah Abu Bakar dan disempurnakan oleh Khalifah Uthman bin Affan.
Proses ini memastikan bahawa al-Quran yang ada hari ini tetap asli dan tidak berubah sejak zaman Nabi Muhammad SAW hingga kini.
Hikmah Diturunkannya Al-Quran Secara Beransur-Ansur
- Mengikut peristiwa.
- Menjawab persoalan.
- Lebih mudah difahami.
- Mudah untuk dihafaz.
Perbezaan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran adalah dua peristiwa penting dalam Islam yang berlaku dalam bulan Ramadan, tetapi mempunyai perbezaan dari segi maksud dan kepentingannya.
- Lailatul Qadr – ialah malam penuh keberkatan yang berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan, khususnya pada malam-malam ganjil.
- Nuzul al-Quran – merujuk kepada peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril di Gua Hira’ pada 17 Ramadhan.
Berikut adalah ringkas perbezaan antara Lailatul Qadr dan Nuzul al-Quran;

Kepentingan, Hikmah dan Pengajaran dari Peristiwa Nuzul al-Quran
Peristiwa Nuzul al-Quran membawa pelbagai hikmah dan pengajaran penting yang menjadi panduan hidup bagi umat Islam.
Berikut adalah 10 kepentingan, hikmah, dan pengajaran utama yang boleh dihayati daripada peristiwa ini:
1. Al-Quran Sebagai Panduan Hidup
Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia dalam aspek akidah, ibadah, akhlak, dan muamalat. Ia mengandungi hukum dan nilai-nilai kehidupan yang menjadi pedoman bagi umat Islam sepanjang zaman.
2. Kepentingan Ilmu dan Membaca
Wahyu pertama yang diturunkan ialah “Iqra’” (Bacalah), menekankan pentingnya ilmu dalam kehidupan. Umat Islam digalakkan untuk membaca, memahami, dan mengamalkan ilmu agar menjadi umat yang maju dan berilmu.
3. Al-Quran Sebagai Pelindung daripada Kesalahan dan Dosa
Al-Quran berfungsi sebagai peringatan dan pelindung agar manusia tidak terjerumus dalam maksiat dan kesesatan. Membaca dan mengamalkan al-Quran dapat menghapus dosa serta memberikan ketenangan jiwa.
4. Kesabaran dan Ketabahan dalam Dakwah
Nabi Muhammad SAW menghadapi pelbagai cabaran selepas menerima wahyu pertama. Islam mengajar kita bersabar dan istiqamah dalam menyampaikan kebaikan walaupun menghadapi tentangan.
5. Mengukuhkan Ukhuwah dan Perpaduan
Al-Quran menggalakkan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam. Islam menolak perkauman dan ketidakadilan serta menyeru kepada kesamarataan dan kasih sayang sesama manusia.
6. Berpegang Teguh pada Tauhid dan Menolak Syirik
Al-Quran menegaskan bahawa hanya Allah SWT yang layak disembah. Islam menghapuskan penyembahan berhala dan segala bentuk syirik yang berlaku dalam masyarakat Arab Jahiliah.
7. Islam Sebagai Agama Rahmat dan Petunjuk
Al-Quran membawa rahmat dan hidayah kepada seluruh manusia. Islam bukan hanya untuk satu bangsa, tetapi untuk seluruh umat di dunia, membawa keadilan dan kesejahteraan kepada semua.
8. Keutamaan Bulan Ramadhan
Al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan, menjadikannya bulan yang penuh keberkatan. Umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah, membaca al-Quran, dan mendekatkan diri kepada Allah dalam bulan ini.
9. Mukjizat Terbesar Nabi Muhammad SAW
Nuzul al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW. Al-Quran tetap kekal tanpa perubahan walaupun beribu tahun berlalu, menjadikannya mukjizat yang hidup hingga ke hari ini.
10. Menegakkan Keadilan dan Syariah Islam
Al-Quran menjadi asas dalam pembentukan hukum Islam yang adil dan seimbang. Ia menyediakan prinsip keadilan sosial, ekonomi, dan perundangan yang menjamin kesejahteraan umat manusia.
Sumber
- Nuzul al-Quran (MAIS)
- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI
- IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 228: PERSOALAN AL-QURAN DITURUNKAN PADA MALAM NUZUL AL-QURAN ATAU MALAM LAILATULQADAR
- IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-142: QURAN TURUN SEKALIGUS ATAU BERPERINGKAT
Bacaan lain: