Setiap tahun, negara kita akan meraikan hari pekerja dan mengadakan sambutan di peringkat Kebangsaan bagi menghargai sumbangan setiap pekerja kepada negara kerana mereka merupakan nadi utama bagi pertumbuhan Malaysia.
Sejak pengiktirafan Hari Pekerja pada tahun 1955, pelbagai tuntutan telah dikemukakan bagi meningkatkan kebajikan pekerja, termasuk pelaksanaan gaji minimum. Walau bagaimanapun, aspek lain yang turut penting untuk dipertimbangkan ialah perlindungan sosial.
Lihat Juga:
Cuti Umum
Hari Pekerja yang jatuh pada setiap 1 Mei merupakan Hari Kelepasan Am Persekutuan dan Negeri di Malaysia.
Pada tahun ini 1 Mei 2024 jatuh pada pertengahan minggu hari bekerja iaitu pada hari Rabu.
Bersempena cuti umum ini juga anda boleh merancang aktiviti cuti sama ada bersiar-siar, mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dan sebagainya. Oleh yang demikian, manfaatkan cuti pada hari tersebut dengan sebaiknya.
Tema Hari Pekerja 2024
Setiap tahun, terdapat satu tema yang dipilih bersempena sambutan hari yang bermakna ini.
Pada tahun ini, tema yang dipilih adalah “Pekerja Kesuma Bangsa”
Pemilihan tema ini adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama di samping berkompetensi untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baru yang merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara.
Sambutan Hari Pekerja 2024
Sambutan Hari Pekerja 2024 akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang akan dihadiri oleh lebih daripada 3,000 pekerja yang terdiri dari kesatuan, badan berkanun, sektor awam dan swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pada sambutan ini juga, Perdana Menteri akan mengumumkan cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam.
YAB Perdana Menteri Malaysia juga akan menyampaikan beberapa Anugerah pada perhimpunan tersebut sebagai usaha menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara.
Terdapat 12 Anugerah akan dikurniakan kepada pekerja, majikan, kesatuan, media dan kontinjen. Selain menyampaikan anugerah, YAB Perdana Menteri juga akan melancarkan Kerangka Dasar Sumber Manusia 2030.
Beberapa aktiviti sempena Hari Pekerja turut dirancang seperti 4 Siri Pocket Talk, Larian Hari Pekerja, Perhimpunan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan, Khutbah Jumaat, Forum Perdana dan Karnival Kerjaya yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dan pameran jabatan dan agensi kerajaan.
Program-program ini anjurkan untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai hak dan tanggungjawab pekerja dan majikan, peluang pekerjaan serta kursus kemahiran teknikal yang ditawarkan kepada anak-anak muda.
Pada sambutan ini juga, anda semua dijemput untuk menghadiri temu duga secara langsung bersama majikan di Karnival Kerjaya @ Hari Pekerja KESUMA 2024 yang akan diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 30 April sehingga 1 Mei 2024.
Butiran adalah seperti berikut:
- Tarikh: 30 April – 1 Mei 2024 (Selasa-Rabu)
- Masa: 9.00 pagi – 4.00 petang
- Tempat: Putrajaya International Convention Centre (PICC)
Anugerah Pekerja Contoh
Pada tahun lalu, Dr Malar Santhi Santherasegapan, menjadi penerima Anugera Pekerja Contoh pada sambutan tahun 2023.
Dr Malar merupakan pempengaruh media sosial melalui ‘Celoteh Dr Malar’ yang sering berkongsi tips mengenai COVID-19 dan vaksin.
Beliau juga merupakan doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras.
Pada tahun ini, siapakah yang akan menerima anugerah ini?