HomeHari SambutanHari Pekerja 2025: Tema, Sambutan & Anugerah di Malaysia

Hari Pekerja 2025: Tema, Sambutan & Anugerah di Malaysia

Setiap tahun, Malaysia meraikan Hari Pekerja sebagai penghargaan kepada sumbangan besar para pekerja yang menjadi nadi kemajuan negara.

Sambutan di peringkat Kebangsaan ini bukan sahaja meraikan pencapaian mereka, tetapi juga menekankan peranan penting pekerja dalam membina masa depan Malaysia yang lebih makmur dan berdaya saing.

Sejak pengiktirafan Hari Pekerja pada tahun 1955, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memperkasa kebajikan pekerja termasuk pelaksanaan gaji minimum. Kini, perlindungan sosial yang menyeluruh turut menjadi fokus utama dalam memastikan kesejahteraan jangka panjang golongan pekerja di negara ini.

Lihat Juga:

Cuti Umum

05 - Kalendar Kuda Bulan Mei 2025

Hari Pekerja yang disambut pada setiap 1 Mei merupakan Hari Kelepasan Am Persekutuan dan Negeri di Malaysia.

Pada tahun ini, 1 Mei 2025 jatuh pada hari Khamis, sekali gus membuka peluang untuk anda merancang cuti panjang hujung minggu (Kedah, Kelantan, Terangganu) bersama keluarga dan insan tersayang.

Bersempena cuti umum ini, anda boleh merancang pelbagai aktiviti seperti menghadiri Karnival Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, menikmati suasana rumah terbuka Aidilfitri, berlibur di destinasi menarik, ataupun sekadar berehat untuk mengisi semula tenaga selepas kesibukan bekerja.

Tema Hari Pekerja 2025

Setiap tahun, terdapat satu tema istimewa yang dipilih bagi menyemarakkan sambutan Hari Pekerja di Malaysia.

Bagi tahun 2025, tema yang dikekalkan adalah “Pekerja KESUMA Bangsa”, sama seperti tema yang digunakan pada tahun 2024.

Pemilihan tema ini menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berbudaya tinggi, berpegang kepada nilai murni dan aspirasi nasional, serta berkemampuan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu.

Semua ini merupakan faktor utama dalam memperkukuh daya saing dan kemakmuran negara untuk jangka masa panjang.

Sambutan Hari Pekerja 2025

Sambutan Hari Pekerja Malaysia (1 Mei 2025)

Sambutan Hari Pekerja 2025 akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan bakal menghimpunkan ribuan pekerja daripada pelbagai sektor termasuk kesatuan, badan berkanun, sektor awam dan swasta di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pada sambutan ini, YAB Perdana Menteri akan turut menyampaikan beberapa anugerah sebagai penghargaan atas sumbangan cemerlang pekerja kepada pembangunan negara.

Selain itu, beliau juga dijangka mengumumkan beberapa inisiatif penambahbaikan kebajikan pekerja sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan memperkasakan modal insan negara.

Acara kemuncak Hari Pekerja 2025 ini akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti:

  • Pocket Talk bertajuk “Bukan Bebanan Tapi Keperluan – Lebih Banyak Menyimpan, Lebih Banyak Manfaat dengan Simpan SSPN”
  • Demonstrasi Makeup & Urutan Spa, Seni Kulinari, dan Gaya Fesyen Terkini
  • TVET Game dan Rolling Ball Challenge
  • Lawatan Tapak Pameran dan Demonstrasi oleh YAB Perdana Menteri
  • Cabutan Bertuah MEGA dengan pelbagai hadiah luar biasa untuk para pengunjung

Program-program ini diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan hak dan tanggungjawab pekerja, peluang kemahiran teknikal, serta menyemarakkan semangat kerjasama antara pekerja dan majikan dalam membangunkan negara.

Butiran Acara:

  • Tarikh: 1 Mei 2025 (Khamis)
  • Tempat: Axiata Arena, Bukit Jalil
  • Masa: 9.00 pagi – 4.30 petang
  • Kemasukan: Percuma dan terbuka kepada semua!

Anugerah Bersempena Hari Pekerja 2025

Pada sambutan Hari Pekerja tahun lalu (2024), beberapa anugerah istimewa telah diberikan bagi menghargai sumbangan cemerlang individu dan organisasi dalam dunia pekerjaan, termasuk dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU), tokoh pekerja, kesatuan sekerja dan majikan.

Antara anugerah yang telah disampaikan adalah:

  • Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) – (Prof. Dr. Zaidi Embong – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM)
  • Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan dan Profesional) – (Mohd. Yazid Zakaria – Ahli Muzik, Istana Budaya)
  • Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pelaksana) – (Safiq Mohamad – Pegawai Bomba)
  • Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) – (Lee Soch Khim – Usahawan, Wellpoint Group)
  • Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Bukan Eksekutif) – (Suratmin Alwee – Johor Port Berhad)
  • Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Awam – (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia, NUTP)
  • Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Swasta – (Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengurusan Air Paip Pahang Berhad)
  • Anugerah Kesatuan Sekerja Badan Berkanun – (Kesatuan Kakitangan Umum UiTM, KKUUiTM)
  • Anugerah Majikan (Syarikat Besar/Syarikat Bukan Kerajaan) – (Pos Malaysia Berhad)
  • Anugerah Majikan (Perusahaan Kecil dan Sederhana – PKS) – (Shining Continuum Symmetry Sdn Bhd – O’Briens Irish Sandwich Café)
  • Anugerah Media (Individu) – (Mohd Alhafiz Ithnin – Wartawan Harian Metro)

Melihat kepada senarai penerima anugerah tahun lalu, siapakah pula yang akan dinobatkan sebagai ikon pekerja cemerlang dan majikan terbaik sempena Hari Pekerja 2025? Sama-sama kita nantikan!

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments