HomeAgamaBulan Muharram: Kelebihan, Puasa Asyura & Fakta Menarik

Bulan Muharram: Kelebihan, Puasa Asyura & Fakta Menarik

Bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Islam dan merupakan salah satu daripada empat bulan yang dihormati dalam Islam. 

Muharram berasal daripada perkataan ‘haram’, yang bermaksud suci. Dalam bulan ini, umat Islam dilarang melakukan peperangan dan dianjurkan untuk meningkatkan amalan ibadah. 

Bulan Muharram mempunyai banyak kelebihan dan amalan yang dianjurkan, termasuk puasa sunat Asyura. 

Bulan Muharram: Fakta Menarik yang Perlu Diketahui

Muharram adalah salah satu daripada empat bulan suci dalam Islam selain Zulkaedah, Zulhijjah, dan Rejab. 

Dalam bulan ini, peperangan dan pertumpahan darah dilarang. Umat Islam dianjurkan untuk meningkatkan ibadah dan menghindari dosa. 

Terdapat pelbagai peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Muharram khususnya pada 10 Muharram yang memberikan banyak pengajaran dan hikmah kepada umat Islam.

Berikut adalah beberapa fakta yang perlu kita ketahui mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku khususnya pada 10 Muharram:

Pertama: Hari Yang Dicari Fadhilatnya

Kata Ibn Abbas R.Anhuma apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura” (Riwayat al-Bukhari).

Kedua: Hari Nabi Musa AS Diselamatkan Manakala Firaun dan Pengikutnya Ditenggelamkan

Di dalam al-Sahihain dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata: “Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW: Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim).

Ketiga: Diampunkan Dosa Setahun Yang Lalu

Dari Abu Qatadah: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW: “Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.” (Riwayat Muslim).

Keempat: Hari Diterimanya Taubat Adam AS

Disebut di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karya Al-Imam Al-Suyuthi sebuah riwayat dari Abdul Wahhab Al-Khaffaf, dari Sa’id, dari Qatadah beliau berkata: Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari ‘Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari ‘Asyura.

Mengapa Bulan Muharram Dikenali sebagai Bulan Haram?

Bulan-bulan haram dalam Islam  adalah bulan Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Ini berdasarkan sebuah hadis nabi yang bermaksud;

Sesungguhnya masa itu beredar seperti keadaan asalnya pada hari Allah menciptakan langit-langit dan juga bumi. Setahun itu ada dua belas bulan, dan ada empat bulan-bulan haram. Tiga yang berturut-turut, iaitu Zul Qa’dah, Zulhijjah, dan Muharram, serta bulan Rejab Mudhar yang berada di antara Jumada (al-Akhir) dan juga Sya’ban. Riwayat Al-Bukhari (184).

Bulan-bulan haram membawa maksud dua iaitu;

  • Pertama: bulan-bulan yang diharamkan untuk berperang di dalamnya. 
  • Kedua: bulan haram membawa maksud bulan yang sangat dihormati lagi dimuliakan.

Kelebihan dan Keutamaan Bulan Muharram

Bulan Muharram mempunyai kelebihan yang besar dalam Islam. 

Kelebihan di Bulan Muharam

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, antara kelebihan bulan Muharram adalah seperti berikut:

  • Bulan Muharram adalah termasuk empat bulan-bulan haram yang sangat dihormati.
  • Segala amalan soleh menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga menjadi lebih besar hitungannya di dalam bulan-bulan haram.
  • Bulan Muharram adalah bulan paling afdhal berpuasa sunat setelah bulan Ramadan.
  • Antara amalan yang digalakkan ialah berpuasa pada 10 Muharram (Asyura).

Hadis daripada Abu Hurairah R.A menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail)” (Riwayat Abu Daud).

Amalan-amalan dalam Bulan Muharram

Terdapat pelbagai amalan yang dianjurkan dalam bulan Muharram.

Antara amalan yang disarankan adalah puasa sunat pada hari Asyura (10 Muharram) dan Tasu’a (9 Muharram). Puasa pada hari Asyura adalah sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW kerana ia dapat menghapuskan dosa-dosa kecil setahun yang lalu. 

Selain itu, umat Islam juga dianjurkan untuk meningkatkan ibadah seperti solat sunat, membaca Al-Quran, dan berdoa. 

Puasa Bulan Muharram

Antara amalan yang dianjurkan  dalam bulan Muharram ialah berpuasa sunat terutamanya pada 9, 10 dan 11 Muharram. Ini berdasarkan dalil berikut;

1. Kelebihan Puasa 10 Muharram

“Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada Hari Asyura, maka baginda menjawab, “Puasa itu boleh menghapuskan pada setahun yang terdahulu.” [Riwayat Muslim (1162]

2.  Kelebihan Puasa 9 Muharram

“Kalau aku masih hidup sampai ke tahun akan datang, nescaya aku akan berpuasa pada Hari Tasu`a. (Namun baginda wafat terlebih dahulu.)” [Riwayat Muslim (1134]

Antara hikmah digandingkan puasa 9, 10 dan 11 Muharram ialah:

  1. Mengambil langkah ihtiyat (berhati-hati) terhadap kekeliruan yang mungkin berlaku pada penentuan awal bulan. Justeru, turut disunatkan berpuasa pada hari kesebelas Muharram jika seseorang itu tidak berpuasa pada hari ke-sembilan. Di dalam kitab al-Umm dan dalam kitab selainnya ada menyebut bahawa disunatkan berpuasa tiga hari kerana berhati-hati.
  2. Menyelisihi dengan amalan keagamaan kaum Yahudi kerana mereka berpuasa hanya pada hari Asyura
  3. Langkah berjaga-jaga jika puasa Asyura jatuh hari Jumaat maka berpuasa secara tunggal pada hari Jumaat  itu makruh (tidak disukai). Namun disebut dalam kitab al-Umm, hal itu tidak mengapa bagi puasa Hari Asyura.

Imam al-Ghazzali menyebutkan dalam Ihya Ulum al-Din (1/237) bahawa disunatkan berpuasa pada sepuluh hari terawal dalam bulan Muharram, sama seperti keutamaan dalam bulan Zulhijjah.

Tarikh Puasa Tasu’a Dan ‘Asyura

  • 15 Julai 2024 (Isnin) – 9 Muharam 1446H (Hari Tasu’a)
  • 16 Julai 2024 (Selasa) – 10 Muharam 1446H (Hari Asyura)

Niat Puasa Muharram Tasu’a Dan ‘Asyura

Puasa Asyura adalah puasa sunat yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Puasa ini dilakukan pada hari ke-10 bulan Muharram dan diikuti dengan puasa pada hari ke-9 yang dikenali sebagai puasa Tasu’a. Niat puasa Tasu’a (9 Muharram) dan Asyura (10 Muharram) adalah seperti berikut:

  • “Nawaitu sauma ghadin ‘an ada’i sunnati tasu’a lillahi ta’ala” (9 Muharram)
  • “Nawaitu sauma ghadin ‘an ada’i sunnati asyura lillahi ta’ala” (10 Muharram)
Niat Puasa Muharram Tasu'a Dan 'Asyura

Adakah Puasa Asyura Perlu Disertai dengan Hari Sebelum atau Selepasnya?

Mengikut pandangan ulama, puasa Asyura adalah lebih baik jika disertakan dengan puasa pada hari sebelum atau selepasnya. Ini adalah untuk membezakan amalan puasa umat Islam dengan amalan puasa yang dilakukan oleh orang Yahudi pada hari Asyura.

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan bezakanlah diri kamu dengan orang Yahudi dengan berpuasa sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.(Riwayat Ahmad).

Adakah Puasa Asyura Perlu Disertai dengan Hari Sebelum atau Selepasnya?

Peristiwa-Peristiwa yang Berlaku pada 10 Muharram

Terdapat beberapa fakta yang perlu kita ketahui mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram. Antaranya:

Pertama: Pembunuhan Al-Husayn RA 

Tragedi menyayat hati ini benar-benar berlaku dalam kalendar Islam sepertimana yang telah dikhabarkan oleh para ulama’.

Al-Imam al-Zahabi (wafat 748H) Rahimahullah di dalam kitabnya al-Siyar menyebut: “Terbunuh pada hari ‘Asyura tahun 61 hijrah”. [Siyar A’lam al-Nubala’. 1985. Muassasah al-Risalah, 3/318].

Begitu juga telah berkata Ibn Taimiyah (wafat 728H): “dan al-Husayn semoga Allah meredhainya dan melaknat siapa yang membunuhnya terbunuh pada hari ‘Asyura, tahun 61 hijrah.” [Majmu’ al-Fatawa. 1995. Majma’ al-Malik Fahd li Tiba’ah al-Mashaf al-Syarif, 4/505].

Kita sebagai Ahli Sunnah wa al-Jama’ah pasti merasa sedih dengan musibah yang melanda umat Islam ini yang mana dengannya juga telah terbuka pintu-pintu fitnah yang lebih besar buat umat Islam. Namun, kesedihan kita ini perlulah didasari dengan aqidah yang benar agar kesedihan ini tidak meletakkan kita ke dalam kancah kesesatan.

Kedua: Kisah Nabi Nuh AS & Bubur ‘Asyura 

10 Muharram juga tidak terlepas dalam memperkatakan tentang bubur ‘Asyura yang mana kisahnya itu diambil daripada peristiwa Nabi Nuh AS selepas diselamatkan dari banjir besar.

Apa yang ingin bincangkan di sini adalah keabsahan dan kesahihan kisah tersebut dan bukanlah bubur ‘Asyura itu sendiri. Adakah benar kisah itu disandarkan kepada Nabi Nuh AS?

Didapati bahawa kisah ini ada disebutkan di dalam kitab semisal Nihayah al-Zain karangan Syeikh Nawawi al-Bantani, ada di dalam kitab Nuzhatil Majalis karangan Syeikh Abdul Rahman al-Ushfuri serta ada di dalam kitab Jam’ul Fawaid oleh Syeikh Daud al-Fathoni.

Didalamnya menyebut bila mana kapal Nabi Nuh A.S berlabuh di Bukit Juudiy pada hari ‘Asyura, berkata Nabi Nuh AS kepada umatnya: “Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S: “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, kisah seperti ini amat perlu kepada kajian yang mendalam agar kesahihannya dapat dibuktikan. Setakat ini kami tidak menjumpai lagi sebarang petunjuk dalam bentuk hadis ataupun athar mengenai kisah ini.

Jika ada para ilmuan yang dapat tahu, bantuan kalian amat kami hargai dan kami akan kemukakan pendapat yang lain jika thabit kisahnya. Namun terdapat sarjana-sarjana Islam yang menilai kisah ini sebagai palsu.

Sumber:


Lihat Juga:
Awal Muharam 2024: Tarikh Cuti Umum & Sambutan Maal Hijrah

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments