Hai, peminat durian! Siapa yang tak kenal dengan durian, raja segala buah di Malaysia. Bagi kita rakyat Malaysia, durian bukan sekadar buah biasa. Ia adalah satu simbol budaya dan kekayaan kita. Setiap kali musim durian tiba, kita pasti teruja menantikan kehadiran buah berduri ini.
Durian bukan sahaja menyatukan kita dengan aroma dan rasa yang memukau, tetapi juga menyumbang besar kepada ekonomi negara.
Dari gerai tepi jalan hingga ke pasar tani, durian sentiasa menjadi tumpuan utama. Tak kiralah di mana anda berada – Pahang, Perak, Johor atau Pulau Pinang, masing-masing ada musim durian yang tersendiri.
Kalendar Musim Durian 2024 di Malaysia
MARDI telah mengeluarkan Kalendar Musim Durian di Malaysia untuk rujukan penggemar durian. Kalendar ini memberikan panduan tentang bila dan di mana anda boleh menikmati durian sepanjang tahun.
Berikut adalah maklumat musim durian mengikut negeri-negeri utama di Malaysia:

Perlis:
- Berbuah pada bulan Julai, dan Ogos.
Kedah:
- Berbuah pada bulan Jun, Julai, dan Ogos.
Pulau Pinang:
- Berbuah pada bulan Mei, Jun, Julai, Ogos, November dan Disember.
Perak:
- Berbuah pada bulan un, Julai, Ogos, November dan Disember.
Selangor:
- Berbuah pada bulan Julai dan OgosNovember dan Disember.
Negeri Sembilan:
- Berbuah pada bulan Februari, Jun dan Julai
Melaka:
- Berbuah pada bulan Jun dan Julai.
Johor:
- Berbuah pada bulan Mei, Jun, Julai, Ogos, September dan Disember.
Pahang:
- Berbuah pada bulan Januari, Februari, Jun, Julai, Ogos, September dan Disember.
Terengganu:
- Berbuah pada bulan Julai, Ogos, September dan Oktober.
Kelantan:
- Berbuah pada bulan Julai, Ogos, September dan Oktober.
Sarawak:
- Berbuah pada bulan Januari, Julai, Ogos, dan September.
Sabah:
- Berbuah pada bulan Julai, Ogos, dan September.
Pakej Pelancongan Durian (Durian Tourism Packages 2024/2025)
Pada 27 Jun 2024 yang lalu, Tourism Malaysia telah melancarkan “Durian Tourism Packages” bagi tahun 2024/2025.
Pakej ini direka khusus untuk menggabungkan pengalaman mencuba durian dengan pelbagai aktiviti pelancongan menarik di seluruh Malaysia.
Terdapat 62 pakej agropelancongan Durian Tourism 2024/2025 melalui kerjasama dengan 27 pengendali pelancongan tempatan. Harga pakej bermula serendah RM70 seorang untuk aktiviti makan durian di Relau, Kedah, sehingga RM4,450 bagi itinerari 3 Hari 2 Malam di Bentong Bilut Hills, Pahang.
Antara pakej yang anda boleh cuba adalah;
Durian Tour Northern Malaysia
- Tempoh: 2 hari, 1 malam
- Termasuk: Pengangkutan, insurans perjalanan, bufet durian, penginapan, dan pemandu pelancong berlesen.
- Harga: Dari RM 420/seorang (minimum 10 orang)
Pengalaman Golf dan Durian Penang
- Tempoh: 4 hari, 3 malam
- Termasuk: Penginapan, sarapan, pusingan golf, pemindahan lapangan terbang dan bandar, serta lawatan membeli-belah.
- Harga: Dari RM 3,450 (Penginapan Berkongsi Kembar)
Durian Relau Fiesta
- Tempoh: 2 hari, 1 malam
- Termasuk: Penginapan, sarapan, set durian untuk makanan dan minuman, serta aktiviti seperti melawat Ladang Agro dan menunggang ATV.
- Harga: Dari 40 USD/seorang -+RM180
Jom Pi Dusun
- Tempoh: 1 hari
- Termasuk: Pengangkutan, bufet buah, makan tengah hari, minuman percuma, dan pemandu pelancong tempatan.
- Harga: Dari RM 250/seorang (minimum 2 orang)
Maklumat lanjut pakej anda boleh rujuk;
https://www.malaysia.travel/storage/files/pdf/Durian-Tourism-Packages-2024.pdf
Selain daripada itu, anda juga boleh melawat ke Duriotourism @ MARDI Kuala Kangsar, Perak untuk menikmati durian premium hasil penyelidikan MARDI.

10 Jenis Durian Yang Popular Di Malaysia
Kampung
- Asal: Melaka dan Perak
- Ciri-ciri: Pelbagai rupa dan bentuk dengan rasa yang tidak konsisten namun paling murah dan mudah untuk dijumpai.
D2-Dato’ Nina
- Asal: Ayer Molek, Melaka (1934)
- Ciri-ciri: Buah sederhana besar dan kulit berwarna gangsa, isi tebal berwarna kuning keemasan.
D7
- Asal: Kajang, Selangor (1934)
- Ciri-ciri: Buah sederhana besar dan berbentuk lonjong, kulit berwarna kuning dan isinya lemak manis.
D24-Sultan
- Asal: Bukit Merah, Perak (1937)
- Ciri-ciri: Terdapat ruang pangsa tidak sempurna di tengah-tengah, isinya tebal & berwarna kuning, mengeluarkan rasa manis berlemak dan sedikit pahit.
D96
- Asal: Sedang, Selangor (1955)
- Ciri-ciri: Buah sederhana besar dan berwarna gangsa, isinya tebal dan berwarna oren selain rasanya lemak manis.
D160-Tekka
- Asal: Banting, Selangor (1987)
- Ciri-ciri: Buah besar dan bujur panjang, ada ruang di tengah, isinya berwarna oren, rasa sedikit pahit dan berlemak.
D168/101
- Asal: Muar, Johor (1989)
- Ciri-ciri: Buah sederhana besar, bulat dan kulit berwarna hijau perang, isi berwarna oren dan rasanya lemak manis dan sedikit pahit.
D198-Golden Phoenix
- Asal: Batu Pahat, Johor (2013)
- Ciri-ciri: Buah sederhana besar, bujur, pangsa nipis dan isinya berwarna kuning pucat, rasa manis, sedikit pahit dan berlemak.
D197-Musang King
- Asal: Tanah Merah, Kelantan (1993)
- Ciri-ciri: Buah sederhana besar, bulat dan kulit berwarna hijau perang, isi berwarna kuning terang, mempunyai garisan bintang 5 ketara di bawah hujung pangsa, isi berkrim dan banyak, rasanya manis, sedikit pahit dan berlemak.
D175-Udang Merah
- Asal: Balik Pulau, Pulau Pinang (1990)
- Ciri-ciri: Buah sederhana besar dan bujur, kulit berwarna hijau perang, isi berwarna oren kemerahan yang tebal, isinya lembut dan berlemak dengan rasa yang manis.

8 Tips Beli Buah Durian Agar Tidak Tertipu
Berikut dikongsikan tips beli buah durian daripada MFA di Facebook;
1. Pilih Durian Berbentuk Bulat
Kalau nak beli durian, pilih yang bulat. Peniaga kata durian bulat ni isinya lagi banyak berbanding yang lonjong.

2. Pilih Yang Lebih Ringan
Biasanya, semakin berat buah, semakin besar bijinya. Jadi, isinya pun lebih nipis. Kalau nak banyak isi, pilihlah durian yang lebih ringan kalau saiznya lebih kurang sama.

3. Lihat Pada Tangkai Durian
- Pilih Tangkai Pendek & Tebal: Tangkai yang pendek dan tebal biasanya tanda isi yang tebal dan banyak.
- Pilih Tangkai Tak Terlalu Kering: Tangkai yang dah kering dan kecut tu tandanya durian tu dah lama.

4. Berbunyi Bila Digoncang
Kalau ada bunyi getaran bila digoncang, tu tandanya isi buah dah matang dan kering. Isi durian yang lembik dan lembap melekat kat kulit, jadi kurang bunyi bila digoncang.

5. Hidu Bau Durian
Durian yang bagus dan dah masak akan keluarkan bau manis dengan kombinasi sedikit pahit.

6. Duri Yang Besar, Pendek & Jarang-Jarang
Jangan beli durian yang durinya panjang dan rapat-rapat. Durian yang durinya pendek, besar, dan jarang-jarang biasanya isi dia lagi bagus.

7. Pilih Durian Belah 5
Bawah durian boleh nampak berapa jumlah belahan. Biasanya ada 5-6 belah. Pilih yang belah 5 sebab isinya lebih banyak.

8. Elak Beli Ketika Musim Hujan
Waktu musim hujan yang berangin, banyak buah durian gugur walaupun belum cukup masak. Tapi, peniaga tetap jual buah tu walaupun belum matang betul.

Lihat Juga:
– Percutian Ala Kampung: Menghargai Keindahan Kehidupan Desa
– Senarai Tempat Menarik Di Kedah 2024: Sesuai Percutian Family
– Senarai Tempat Menarik Di Selangor (Percutian Hujung Minggu)