17 Ramadhan merupakan antara tarikh penting dalam kalendar Islam kerana kita memperingati peristiwa Nuzul al-Quran, iaitu hari turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW. Selain memahami kepentingan peristiwa ini, pastinya ada di antara kita yang ingin memberi ucapan Salam Nuzul al-Quran kepada rakan-rakan, ahli keluarga, atau sesiapa sahaja.
Di Malaysia, setiap 17 Ramadhan, sambutan ini diraikan dengan pelbagai acara seperti ceramah, tadarus al-Quran, forum ilmiah, dan tazkirah bagi menghayati peristiwa bersejarah ini.
Semoga koleksi ucapan, pantun, dan poster Salam Nuzul al-Quran ini dapat membantu anda memberikan ucapan yang bermakna dan penuh keberkatan kepada sesiapa sahaja.
Lihat Juga: Cuti Nuzul Quran 2025: Negeri Yang Cuti & Tidak Cuti Di Malaysia
Ringkasan Peristiwa Nuzul al-Quran

Apa itu Nuzul al-Quran?
Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril. Wahyu ini berterusan secara berperingkat selama 23 tahun sehingga al-Quran lengkap diturunkan.
Bilakah Berlaku?
17 Ramadhan pada malam Jumaat ketika Nabi Muhammad SAW berusia sekitar 40 atau 41 tahun.
Di Mana?
Gua Hira’, Mekah, tempat Nabi Muhammad SAW sering beribadat dan bertafakur sebelum diangkat sebagai Rasul.

Bagaimana Ia Berlaku?
- Malaikat Jibril datang dan memerintahkan Nabi SAW membaca dengan berkata “Iqra'” (Bacalah).
- Nabi SAW yang tidak tahu membaca merasa terkejut, lalu Jibril mengulangi arahan tersebut sebanyak tiga kali.
- Akhirnya, lima ayat pertama daripada Surah Al-‘Alaq diturunkan sebagai wahyu pertama.
Mengapa al-Quran Diturunkan Berperingkat?
- Mengikut keperluan dan situasi pada zaman Nabi.
- Menjawab persoalan yang timbul dalam masyarakat.
- Mudah difahami dan dihafaz oleh umat Islam.
Peristiwa Nuzul al-Quran adalah titik permulaan penyebaran Islam dan mukjizat terbesar yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW. Sebagai umat Islam, kita harus menghayati dan mengamalkan al-Quran sebagai panduan hidup agar selamat di dunia dan akhirat.
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…” (Surah Al-‘Alaq: 1-5)
Ucapan Salam Nuzul al-Quran 2025 /1446H
Berikut adalah beberapa contoh ucapan Salam Nuzul al-Quran yang boleh digunakan untuk media sosial, mesej peribadi, atau kad ucapan:
Salam Nuzul al-Quran 17 Ramadhan 1446H | 18 Mac 2025 “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah 2:185) |
Salam Nuzul al-Quran! Semoga kita terus berpegang teguh pada al-Quran sebagai panduan hidup dan mendapat keberkatan daripada-Nya. |
17 Ramadhan, peristiwa Nuzul al-Quran mengingatkan kita tentang kepentingan ilmu dan membaca. Semoga al-Quran sentiasa menjadi pedoman hidup kita. Selamat memperingati Nuzul al-Quran! |
SALAM NUZUL AL-QURAN Marilah kita menghayati Nuzul al-Quran dengan membaca, memahami, dan mengamalkan ajarannya. Semoga al-Quran menjadi panduan dan cahaya hidayah dalam kehidupan kita. Selamat memperingati Nuzul al-Quran, semoga ibadah kita diberkati. |
Salam Nuzul Al-Quran 18 Mac 2025 | 17 Ramadan 1446H. Memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran bukanlah sekadar mengetahui sejarah dan tarikh penurunannya. |
Salam Nuzul Al-Quran. Semoga kita menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup dan beroleh keberkahan serta kedamaian selalu. Dengan ingatan setulus ikhlas daripada …. |
SALAM NUZUL QURAN 17 RAMADAN 1446H | 18 MAC 2025M Sesungguhnya Al-Quran itu petunjuk kepada hamba-Nya yang beriman. كِتَٰبٌ أَنْزَلْنَٰهُ إِلَيْكَ مُبَٰرَكٌ لِيَدَّبَّرُوٓا آيَٰتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُوا الْأَلْبَٰبِ Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah As-Sad: 29) |
✨ “17 Ramadhan, hari di mana mukjizat terbesar diturunkan. Mari perbanyakkan membaca dan memahami al-Quran agar hidup kita lebih bermakna dan diberkati.” |
✨ “Al-Quran adalah pedoman hidup yang kekal abadi. Pada hari Nuzul al-Quran ini, marilah kita lebih mendekatkan diri dengan kitab suci dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.” |
🕌 “Ya Allah, pada hari Nuzul al-Quran yang penuh keberkatan ini, kurniakanlah kami kefahaman dalam agamamu dan istiqamah dalam beramal dengan al-Quran. Ameen.” |
Pantun Salam Nuzul al-Quran
Pohon selasih di tepi perigi, Indah berseri di waktu pagi; al-Quran itu mukzijat tertinggi, Marilah sama kita hayati. |
Angin bayu berhembus perlahan, Lembayung senja cahaya berseri; Turunnya wahyu di bulan Ramadan, Cahaya petunjuk sepanjang hari. |
Bunga melur harum mewangi, Lebah berterbangan mencari madu; Al-Quran diturunkan petunjuk hakiki, Membimbing insan ke jalan yang satu. |
Bintang berkilau di langit biru, Sinar rembulan indah berseri; Iqra’ diseru ilmu diburu, Agar insan hidup berbakti. |
Dedaun rimbun menari ke tepian, Hujan menitis membasahi bumi; Hayatilah al-Quran sepenuh keinsafan, Bekalan akhirat sepanjang abadi. |
Burung bayan hinggap di dahan, Mencari makan hingga ke malam; 17 Ramadhan diturunkan al-Qur’an, Sebagai petunjuk sekalian alam. |
Embun menitis di daun kelapa, Angin berbisik mendayu-dayu; Al-Quran cahaya, petunjuk utama, Membimbing hati ke jalan yang satu. |
Burung kedidi mencari makan, Menyusur lalu di tepi perigi; Salam Nuzul Quran saya ucapkan, Semoga hidup sentiasa diberkati. |
Mentari pagi bersinar terang, Burung berkicau di hujung dahan. Turun wahyu petanda gemilang, Membawa petunjuk sepanjang zaman. |
Poster Nuzul al-Quran
Berikut adalah bererapa poster digital yang anda boleh gunakan;




Kredit;
- TheInspirasi (Pantun)
- Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan – JAWI (Infografik)
- Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia – JAKIM (Infografik)
Dah bayar zakat fitrah?, lihat kadar zakat fitrah setiap negeri pada tahun ini;