Sekiranya calon Sekolah Berasrama Penuh (SBP) / Sekolah Khusus tidak berjaya mendapat tempat dalam pemilihan awal, mereka masih mempunyai peluang kedua melalui proses e-Rayuan SBP 2025.
e-Rayuan ini membolehkan pemohon yang gagal dalam saringan pertama untuk memohon semula ke SBP pilihan, bergantung kepada kekosongan yang ada.Â
Walau bagaimanapun, tidak semua sekolah dibuka untuk rayuan, dan pemohon perlu membuat pemilihan berdasarkan sekolah yang masih mempunyai tempat.
Apa Itu e-Rayuan SBP?
e-Rayuan SBP adalah proses rayuan secara dalam talian yang membolehkan pelajar yang gagal dalam pemilihan awal memohon semula ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), tertakluk kepada kekosongan di sekolah yang dipilih.
Walaubagaimanapun, proses ini tidak menjamin kemasukan kerana tawaran hanya akan diberikan sekiranya terdapat kekosongan selepas pendaftaran rasmi.

Tarikh Penting Rayuan SBP 2025
Berikut merupakan tarikh-tarikh penting e-Rayuan SBP 2025;
- Pembukaan e-Rayuan: 31 Januari 2025
- Tarikh Akhir Permohonan: 18 Februari 2025
- Keputusan e-Rayuan: Akan diumumkan selepas 18 Februari 2025 melalui laman web rasmi SBP.
Pastikan pemohon mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan kerana permohonan selepas tarikh akhir tidak akan diproses.
Cara Membuat Rayuan SBP 2025
Permohonan e-Rayuan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi mengikut tingkatan:
- Tingkatan 1: https://spskt1.moe.gov.my
- Tingkatan 4: https://spskt4.moe.gov.my
Langkah-langkah Mengisi e-Rayuan
- Layari laman web SBP mengikut tingkatan yang dipohon.
- Klik “Semakan Tawaran“.
- Masukkan nombor MyKad/MyKid murid serta nombor MyKad penjaga utama.
- Jika permohonan tidak berjaya, paparan rayuan akan muncul.
- Pilih sehingga 3 sekolah pilihan untuk rayuan.
- Klik Hantar untuk melengkapkan permohonan.
Nota: Hanya pemohon yang tidak berjaya dalam pemilihan awal sahaja boleh mengisi e-Rayuan.

Syarat dan Sekatan dalam e-Rayuan
Walaupun e-Rayuan dibuka, terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan:
a) Pemilihan Sekolah Semasa e-Rayuan
- Pemohon boleh memilih sehingga 3 SBP yang masih mempunyai kekosongan.
- Sekolah berikut tidak dibuka untuk rayuan kerana kapasiti penuh:
- Sekolah Seri Puteri (SSP)
- Kolej Tunku Kurshiah (KTK)
- Sekolah Tun Fatimah (STF)
- Sekolah Sultan Alam Shah (SAS)
- Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR)
- Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)
- Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR)
Keputusan ini dibuat kerana data tahun sebelumnya menunjukkan bahawa pelajar yang mendapat tawaran ke sekolah-sekolah ini hampir pasti mendaftar, menyebabkan tiada kekosongan untuk rayuan.
b) Rayuan ke TMUA Tidak Dibenarkan
- Bagi sekolah yang menawarkan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA), hanya pemohon yang lulus temu duga khas sahaja yang akan ditawarkan tempat.
- Rayuan ke sekolah TMUA tidak dibenarkan.
Keputusan e-Rayuan dan Apa yang Perlu Dilakukan Jika Berjaya
- Keputusan e-Rayuan boleh disemak melalui laman web rasmi yang sama selepas 18 Februari 2025.
- Jika berjaya dalam e-Rayuan, pemohon mesti:
- Mencetak Surat Tawaran dan Buku Tawaran.
- Melengkapkan maklumat dalam Buku Tawaran.
- Mendaftar di SBP yang ditawarkan pada 18 Februari 2025.
Nota Penting:
- Tawaran selepas e-Rayuan adalah muktamad, tiada permohonan pertukaran dibenarkan.
- Pemohon yang gagal dalam e-Rayuan tidak akan diberikan peluang rayuan kali kedua.
Oleh yang demikian, e-Rayuan SBP adalah peluang kedua bagi pelajar yang tidak berjaya dalam pemilihan asal untuk mendapatkan tempat di Sekolah Berasrama Penuh.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa peluang ini bergantung sepenuhnya kepada kekosongan tempat di sekolah yang dipilih.
Sekiranya anak anda gagal dalam pemilihan awal, pastikan untuk mengemukakan rayuan sebelum tarikh tutup pada 18 Februari 2025. Semoga berjaya