Mpox, yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, telah menarik perhatian global sekali lagi apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern – PHEIC) pada 14 Ogos 2024.Â
Pengisytiharan ini adalah kali kedua selepas kali pertama dilakukan pada 23 Julai 2022. Wabak ini telah mencetuskan kebimbangan serius di kalangan masyarakat antarabangsa kerana penularan varian baharu yang lebih cepat, clade 1b, khususnya di Afrika.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam siaran media bertarikh 18 Ogos turut mengeluarkan kenyataan mengenai Virus ini.
Apa Itu Mpox?

Mpox, yang dahulunya dikenali sebagai monkeypox, adalah sejenis jangkitan virus yang boleh merebak antara individu, terutamanya melalui kontak rapat. Virus ini tergolong dalam genus Orthopoxvirus, yang juga merangkumi virus cacar (smallpox).
Mpox boleh menyebabkan ruam yang menyakitkan, pembengkakan kelenjar limfa, dan demam. Penyakit ini tersebar melalui titisan pernafasan, kontak kulit dengan kulit, atau melalui objek yang tercemar dengan virus.
Ruam yang dialami biasanya bermula pada muka sebelum merebak ke bahagian lain badan, dan gejala ini boleh menjadi sangat menyakitkan bagi pesakit. Walaupun jarang berlaku, komplikasi serius boleh timbul, terutamanya pada individu dengan sistem imun yang lemah.
Negara-Negara Dikesan Kes Mpox 2024

Laporan Buletin Utama menunjukan bahawa pada tahun 2024, kes Mpox telah dikesan di pelbagai negara di seluruh dunia, merangkumi tiga benua utama:
Afrika:
- Uganda
- Burundi
- Kenya
- Cameroon
- Gabon
- Ghana
- Liberia
- Rwanda
- Nigeria
- Congo
- Côte d’Ivoire
- Republik Demokratik Congo
- Republik Afrika Tengah
Eropah:
- Sweden
Asia:
- Pakistan
- Filipina
- Thailand
Bagaimana Mpox Menular Antara Manusia?

Mpox boleh menular melalui beberapa cara:
- Sentuhan Rapat – Penularan berlaku apabila seseorang berhubung rapat dengan individu yang mempunyai gejala Mpox seperti ruam atau lepuh.
- Titisan Pernafasan – Virus juga boleh tersebar melalui titisan pernafasan ketika berada dalam jarak dekat dengan individu yang dijangkiti.
- Kontak Secara Langsung – Virus boleh tersebar melalui kontak langsung dengan cecair dari ruam atau lepuh di badan individu yang dijangkiti, atau melalui peralatan yang tercemar seperti pakaian dan tempat tidur.
Simptom dan Gejala Mpox

Gejala Mpox biasanya muncul antara 6 hingga 13 hari selepas pendedahan kepada virus, tetapi boleh mengambil masa sehingga 21 hari. Antara simptom utama termasuklah:
- Demam tinggi
- Sakit kepala yang teruk
- Kelemahan otot
- Sakit belakang
- Pembengkakan kelenjar limfa (lymphadenopathy)
- Ruam kulit yang biasanya bermula pada muka dan kemudian merebak ke bahagian lain tubuh. Ruam ini akan berkembang menjadi lepuh dan akhirnya mengeras dan mengelupas.
Rawatan
Sehingga kini, tiada rawatan khusus yang tersedia untuk Mpox. Rawatan yang ada lebih kepada melegakan gejala yang dihadapi oleh pesakit.
Vaksin cacar (smallpox) telah menunjukkan keberkesanan sekitar 85% dalam mencegah Mpox, dan vaksin khusus untuk Mpox kini sedang dalam pembangunan.
Pengurusan kes juga melibatkan rawatan simptomatik, penghidratan, dan pencegahan jangkitan sekunder seperti jangkitan bakteria.
Langkah Pencegahan Mpox

Untuk mengurangkan risiko jangkitan dan penularan virus ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan beberapa langkah pencegahan:
- Segera cuci tangan: Pastikan tangan dicuci dengan segera jika tersentuh dengan objek atau permukaan yang mungkin tercemar.
- Elakkan sentuhan langsung: Hindari kontak dengan luka individu atau haiwan yang dijangkiti, serta objek seperti pakaian yang tercemar dan digunakan oleh pesakit.
- Pantau status kesihatan diri: Pantau kesihatan diri setiap hari untuk tanda-tanda dan gejala Mpox bagi tempoh 21 hari dari tarikh yang disyaki terdedah kepada kes Mpox.
Tindakan Kerajaan Malaysia
KKM akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan serta hospital dan klinik swasta dalam memantau dan menguruskan kes Mpox secara bersepadu.
Pemantauan situasi ini di dalam dan luar negara akan dilakukan secara berterusan, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
- Meningkatkan Pemantauan di Pintu Masuk Antarabangsa: Semua pengembara dari negara yang melaporkan kes Mpox perlu memantau status kesihatan mereka setiap hari selama 21 hari selepas ketibaan di Malaysia.
- Nasihat kepada Individu Berisiko: Mereka yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko atau gejala seperti ruam atau lepuh harus segera menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengelakkan kontak dengan orang lain.
- Pemberitahuan Kes: Pengamal perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta mesti melaporkan kes yang disyaki serta-merta ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.
- Pengujian dan Diagnostik: Memastikan makmal bersedia untuk menjalankan ujian PCR bagi pengesahan Mpox.
- Peningkatan Kesedaran: Mengedarkan bahan pendidikan dan meningkatkan kesedaran tentang Mpox kepada kumpulan berisiko dengan kerjasama badan bukan kerajaan.
- Kebersihan di Premis Berisiko: Premis yang menyediakan perkhidmatan seperti spa dan urutan perlu memastikan kebersihan dijaga dan segera memeriksa pekerja atau pelanggan yang menunjukkan gejala.
Sumber
Siaran Media KKM



Lihat Juga:
– 8 Langkah Pencegahan Terbaik Mengelakkan Obesiti