HomeAgamaMalam 27 Ramadhan 2025: Amalan & Doa Mustajab Lailatul Qadar

Malam 27 Ramadhan 2025: Amalan & Doa Mustajab Lailatul Qadar

Malam 27 Ramadhan adalah malam paling istimewa kerana ia berkemungkinan besar malam Lailatul Qadar. 

Ada banyak tanda, dalil dan pendapat ulama yang mengaitkannya dengan malam seribu bulan ini.

Jangan lepaskan peluang untuk memburu malam Lailatul Qadar yang berkemungkinan jatuh pada malam 27 Ramadhan.

Apa Itu Lailatul Qadar?

Lailatul Qadar adalah malam yang disebut dalam Surah al-Qadr sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. 

Pada malam ini, para malaikat turun ke bumi dengan izin Allah membawa ketenangan dan rahmat. 

Sesiapa yang menghidupkan malam ini dengan penuh keikhlasan akan mendapat keampunan dan ganjaran yang luar biasa.

Bila Malam 27 Ramadhan Tahun 2025?

Malam 27 Ramadhan tahun 2025 jatuh pada Khamis malam Jumaat, bersamaan dengan malam 27 Mac 2025. 

Tarikh malam 27 Ramadhan tahun 2025

Rasulullah SAW bersabda:

 “Carilah malam al-Qadr pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.”
(Riwayat Ahmad, No Hadith 85)

Ringkasan Malam Ganjil Ramadhan 2025:

  • Malam ke-21 – Jumaat, 21 Mac 2025
  • Malam ke-23 – Ahad, 23 Mac 2025
  • Malam ke-25 – Selasa, 25 Mac 2025
  • Malam ke-27 – Khamis, 27 Mac 2025
  • Malam ke-29 – Sabtu, 29 Mac 2025

Adakah Malam 27 Ramadhan Lailatul Qadar?

Tarikh sebenar Lailatul Qadar tidak dinyatakan secara pasti dalam mana-mana hadis. 

Namun, Rasulullah SAW bersabda supaya kita mencari malam tersebut pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadhan. Ini bermaksud malam ke-21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan. 

Bilakah Lailatul Qadar (Infografik JAKIM)

Hikmahnya, agar umat Islam terus konsisten dan bersungguh-sungguh beribadah sepanjang 10 malam terakhir, tanpa hanya menanti satu malam tertentu.

Malam 27 Ramadhan sering dikaitkan sebagai malam yang paling diharapkan kehadiran Lailatul Qadar. Ini berdasarkan beberapa riwayat yang menyatakan bahawa para sahabat dan salafussoleh berpegang kepada malam ini sebagai malam yang utama untuk meningkatkan ibadah.

Antara dalilnya ialah hadis daripada Ubay bin Ka’ab r.a. yang berkata:

“Demi Allah, sungguh aku mengetahuinya. Sepengetahuanku, Lailatul Qadar adalah malam yang Rasulullah SAW telah memerintahkan kami untuk mendirikannya (dengan solat dan ibadah), tepatnya adalah malam ke-27 Ramadhan.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 762)

Malam 27 Ramadhan Antara Malam Yang Diharapkan Berlakunya LAILATUL QADR.
Kredit Dr Abu Anas Madani

Bahkan dalam pengamatan Ibn Abbas r.a., beliau menjumpai bahawa dalam Surah Al-Qadr terdapat 30 perkataan, dan perkataan ke-27 ialah “Hiya” (iaitu merujuk kepada Lailatul Qadar). Ini dikuatkan lagi dengan hadis lain:

“Carilah Lailatul Qadar pada malam ke-27 Ramadhan.”
(Hadis Riwayat Ahmad & Abu Dawud)

Pun begitu, terdapat juga pandangan lain seperti:

  • Imam Syafie dan Imam Malik menyebut kemungkinan malam ke-23.
  • Riwayat lain menunjukkan malam ke-21, 24, atau bahkan malam terakhir Ramadhan (malam ke-29 atau 30).
  • Pendekatan Imam al-Ghazali berdasarkan hari pertama Ramadhan 2025 (Ahad), menjangkakan Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-29 (29 Mac 2025).

Berdasarkan pandangan majoriti ulama, malam ke-27 Ramadhan memiliki kecenderungan yang sangat kuat sebagai malam Lailatul Qadar

Tanda-Tanda Lailatul Qadar

Berikut ialah tanda-tanda utama yang sering dikaitkan dengan malam Lailatul Qadar 

Tanda-tanda Lailatul Qadar
  • Suasana pagi yang tenang: Pagi selepas malam Lailatul Qadar biasanya sangat damai, tidak bising, dan memberi ketenangan jiwa yang luar biasa.
    Matahari cerah tapi tidak panas: Matahari terbit dengan sinaran yang lembut, tidak menyilaukan, seolah-olah cahayanya terlindung atau tertapis.
  • Udara terasa tenang: Malam tersebut terasa nyaman, tidak terlalu panas atau sejuk, dan udara berasa ringan serta menyenangkan.
  • Bulan terlihat separuh: Dalam beberapa riwayat dan pemerhatian, bulan pada malam tersebut kelihatan seperti separuh penuh, menambah keindahan suasana malam.
  • Datang di hari ganjil: Berdasarkan hadis, Lailatul Qadar berkemungkinan besar berlaku pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadhan (21, 23, 25, 27, atau 29).

Doa Mustajab Malam 27 Ramadhan

Doa Mustajab di Malam Lailatul Qadar 27 Ramadhan

Antara doa yang paling digalakkan dibaca pada malam ini ialah doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah RA:

Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni

Yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, dan Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku.”

Doa ini pendek tetapi sangat bermakna, dan boleh dibaca berulang kali sepanjang malam.

Amalan Disarankan Pada Malam 27 Ramadhan

  1. Solat Sunat Qiyamullail dan Tahajjud – Cuba bangun lebih awal untuk solat malam dengan penuh khusyuk.
  2. Membaca al-Quran – Walaupun hanya beberapa ayat, pastikan ia dibaca dengan tadabbur.
  3. Zikir dan Istighfar – Perbanyakkan ucapan Subhanallah, Alhamdulillah, Laa ilaaha illallah, dan Allahu Akbar.
  4. Doa dan Munajat – Ambil masa untuk bermunajat secara peribadi, terutama ketika sujud terakhir.
  5. Sedekah Senyap – Hulurkan sedekah walau kecil dengan niat meraih rahmat malam Lailatul Qadar.

Panduan ringkas qiyam, boleh rujuk infografik di bawah yang disediakan oleh Azlina Hasan

Panduan Ringkas Qiyam Lailatul Qadar


RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments