Valentine’s Day yang disambut pada 14 Februari dengan nama Hari Kekasih dianggap hari keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang bercinta. Pada hari tersebut, pasangan yang bercinta akan mengisytiharkan ketulusan cinta dengan cara yang tersendiri seperti memakai pakaian yang berwarna merah, memberikan bunga, bertukar-tukar hadiah dan sebagainya.
Pada hari tersebut juga kita akan menyaksikan sama ada media-media, syarikat-syarikat jualan seperti bunga, hadiah dan seumpamanya akan galak mempromosikan hari kekasih ini dengan pelbagai tawaran, promosi dan lain-lain lagi bagi memeriahkan sambutan hari tersebut.
Namun begitu, kita sebenarnya terperangkap dengan sambutan Valentine’s Day yang menganggap pada 14 Februari tersebutlah hari paling sesuai buat pasangan kekasih untuk meluahkan perasaan masing-masing perasaan cinta dan tulus kasih sayang terutamanya bagi pasangan yang sedang bercinta dan belum berkahwin.
Sejarah Valentine’s Day
Ramai orang beranggapan dan bertanya “Apa salahnya kita menyambut hari kekasih dalam Islam?”, Bukankah Islam juga menganjurkan umatnya berkasih sayang antara satu sama lain?
Hakikat yang kita perlu ketahui, sambutan yang dilakukan untuk meraikan Valentine’s day mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Tidak seperti sambutan hari guru, hari ibu, hari bapa, hari pekerja, hari kebangsaan dan seumpamanya, Valentine’s day berkaitan dengan upacara keagamaan yang dikaitkan dengan Saint Valentine yang menjadi simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan bagi umat Kristian.

Siapa Saint Valentine?
Dalam lagenda barat Kristian, terdapat 3 lagenda yang dikaitkan dengan individu yang bernama Saint Velentine.
Namun sejarah yang paling popular tentang Saint Valentine adalah di mana ia dikaitkan dengan St. Valentine’s Day yang juga dikenali sebagai The Feast of Saint Valentine iaitu asal perayaan untuk penganut agama kristian mengenangkan kembali seorang tokoh Kristian bernama Valentinus yang dipercayai hidup pada zaman Roman Empire. Tarikh keramat 14 Februari merupakan hari kematiannya.
Oleh kerana Valentine’s Day dikaitkan dengan cinta dan kasih sayang disebabkan St. Valentine mengkahwinkan Christians yang dilarang berkahwin masa Roman Empire. Akhirnya sejarah hari tersebut bertukar menjadi hari di mana pasangan yang bercinta menyatakan cinta mereka dengan hadiah, bunga atau coklat. Ada yang beranggapan ianya adalah perayaan sesetengah mazhab dalam agama Kristian di mana ia bertujuan bagi mengenang dan mengagungkan St. Valentine.
Namun hakikat yang kita perlu sedar bahawa terdapat dalil agama yang melarang kita menyambut perayaan tersebut. Ayat al-Quran dalam Surah al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud “Bagi Kamu Agama Kamu, Bagi Aku Agamaku” dan Hadis yang bermaksud “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka”.
Kedua dalil ini adalah jelas menunjukkan kita tidak wajar menjadikan sejarah agama lain untuk diraikan dalam Islam.
Oleh yang demikian, sejarah munculnya hari Kekasih ini adalah cukup panjang untuk diceritakan disini. Cukuplah kita memahami asas kemunculan hari tersebut yang akhirnya dikaitkan dengan perayaan agama kristian sama seperti perayaan agama kristian yang lain iaitu Hari Krismas, Good Friday dan sebagainya.
Fatwa Tentang Hari Kekasih
Valentine day adalah haram dalam Islam untuk disambut, diraikan, diucapkan dan mengaitkan sesuatu dengannya. Fatwa di Malaysia secara jelas menyatakan Hukum menyambut Valentine Day adalah Haram.
Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day ini telah dinyatakan dengan jelas dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 November 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. “
“Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”
Bahkan beberapa jawatankuasa negeri yang lain juga seperti Melaka, Pahang, Johor dan sabah turut mengeluarkan fatwa pengharaman sambutan hari kekasih ini.
Dalam hal ini, Mufti wilayah melalui BAYAN LINNAS SIRI KE- 84: KE MANA ARAH TUJU HARI KEKASIH yang diterbitkan pada 13 February 2017 turut sama menyatakan:
“Kami cenderung untuk menyatakan bahawa sambutan ini adalah diharamkan di dalam Islam berdasarkan data-data yang jelas menunjukkan bahawa ia memang membawa kepada budaya maksiat dan perzinaan disamping menyerupai budaya yang buruk yang luar daripada ajaran Islam. Bahkan, hubungan luar nikah yang menjadi fokus utama bagi anak muda tatkala Hari Kekasih turut ditegah oleh agama-agama lain yang wujud di Malaysia.”
Oleh yang demikian jelas bahawa fatwa di Malaysia telah mengharamkan sambutan hari kekasih ini berdasarkan sebab-sebab yang tertentu. APakah sebab yang menyebabkan kita dilarang untuk menyambut Valentine’s Day?
Sebab Kita Dilarang Menyambut Valentine’s Day
1) Meniru Perbuatan Agama Lain
Perayaan Valentine’s Day yang disambut dengan berkasih-kasih antara pasangan bukanlah ajaran Islam. Ia adalah bersumberkan daripada ajaran Kristian sebagaimana yang disebutkan di atas.
Islam melarang keras umatnya meniru atau menyerupai cara serta budaya hidup orang bukan Islam termasuklah mana-mana perayaan. Ini berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” Riwayat Abu Daud)
Hadith yang lain:
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2) Mendorong Ke Arah Perbuatan Maksiat
Kebanyakan pasangan yang meraikan Valentine’s Day adalah dengan melakukan aktiviti tidak bermoral yang dilarang oleh Islam. Sambutan aktiviti hari kekasih secara berdua-duaan ataupun berkumpulan yang bukan mahram boleh menjurus kepada perbuatan maksiat yang lain.
Pada 14 Februari jugalah pusat-pusat hiburan atau kelab-kelab malam akan menawarkan acara maksiat yang boleh mengundang kepada keruntuhan akhlak dan menjurus kepada gejala sosial yang lain.
Pergaulan bebas ini akan terdedah kepada perbuatan bersentuh-sentuhan, minum arak, terlibat dengan dadah yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak Islam.
Oleh yang demikian, aktiviti seperti ini yang sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.
3) Merosakkan Akidah Islam
Selain merosakkan akhlak, Islam juga menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana ia boleh menggugat akidah Islam berdasarkan unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya.
Hal ini kerana sambutan hari Valentine’s Day mempunyai ritual dan amalan dalam agama Kristian. Ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam.
Dalam penghayatan dan pengalaman kehidupan seharian, islam mempunyai tatacara hidupnya yang tersendiri berdasarkan panduan al-Qur’an dan al-Hadith. Penghayatan dalam agama hendaklah berteraskan kedua-dua panduan ini samaada dalam ibadah, muamalah ataupun akhlak.
Oleh kerana itu, amatlah jelas sekali kenapa melarang meraikan Valentine’s day kerana ia akan membawa kepercayaan yang boleh mendorong kepada suatu kepercayaan lain yang seterusnya boleh memesong dan menyeleweng dari aqidah Islamiah yang suci.
4) Mendorong Kepada Perlakuan Zina dan Melahirkan Anak Luar Nikah
Memang benar Islam menggalakkan umatnya agar berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi cara yang dibenarkan iaitu melalui saluran yang betul dengan perkahwinan yang sah.
Namun perbuatan berkasih sayang sebelum perkahwinan boleh mendorong kepada perlakuan zina dan melahirkan anak luar nikah. Perlakuan zina merupakan perbuatan yang keji dan buruk di dalam Islam. Ia merosakkan keturunan, kehidupan, menjatuhkan maruah seseorang dan membawa kepada pelbagai lagi gejala sosial yang buruk.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’: 32)
Dalam Surah lain Allah berfirman yang bermaksud:
Maksudnya: “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,” (Surah al-Furqan: 68-69)
5. Larangan Agama Untuk Meraikannya
Sejarah Valentine’s Day bukan bersumberkan daripada ajaran Islam. Amalan, budaya serta sambutannya adalah bercanggah dengan Islam. Bahkan cara meraikan sambutan pada 14 Februari yang dilakukan kini jelas sekali bertentangan dengan amalan dan cara hidup yang dianjurkan oleh agama.
Terdapat larangan daripada baginda S.A.W. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut.
Sabda Nabi S.A.W. maksudnya:
“Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Hadis Nabi S.A.W yang lain bermaksud:
“Sesiapa yang reda dengan kufur maka dia menjadi kufur”
Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine’s Day juga perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang terkandung di dalam Valentine’s Day.
Sebagai kesimpulannya sebagai Umat Islam, hendaklah kita menjauhkan diri daripada amalam menyambut Valentine’s day yang diraikan saban tahun di Malaysia mahupun seluruh dunia
Say No to Valentine’s Day!