Setiap calon guru yang memohon di IPG di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), diwajibkan menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG).
Ia bertujuan menilai kesesuaian personaliti, minat, sahsiah dan potensi calon sebagai pendidik masa depan.
Oleh itu, calon perlu memahami format, keperluan, dan strategi untuk berjaya melepasi tapisan awal ini.
Lihat Juga: Biasiswa Perguruan Persekutuan ISMP 2025: Syarat Permohonan
Apa Itu UKCG dan e-UKCG?

Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) ialah ujian saringan psikometrik yang diwajibkan kepada semua pemohon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
UKCG bertujuan menilai personaliti, minat dan sahsiah calon untuk memastikan hanya individu yang benar-benar berpotensi dan berintegriti dipilih sebagai bakal guru.
e-UKCG merujuk kepada pelaksanaan Ujian Kelayakn Calon Guru secara atas talian dari lokasi calon masing-masing. Ia membolehkan penilaian dijalankan secara lebih mudah, sistematik dan meluas melibatkan ribuan calon seluruh negara.
UKCG adalah komponen awal dalam proses pemilihan guru yang sangat penting. Hanya calon yang lulus UKCG sahaja akan dipanggil ke peringkat seterusnya seperti temu duga dan ujian kecergasan fizikal.
Semua calon lepasan SPM yang memohon kemasukan ke IPG bagi program PISMP diwajibkan menduduki e-UKCG. Tanpa kehadiran atau kelulusan ujian ini, permohonan tidak akan dipertimbangkan.
Format Ujian UKCG Terkini 2025
Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) direka dalam format psikometrik yang dijalankan secara atas talian dan disusun bagi menilai pelbagai aspek sahsiah calon secara menyeluruh.
Pemahaman terhadap struktur, jenis soalan, serta cara pemarkahan sangat penting bagi membantu calon membuat persediaan yang lebih mantap dan yakin.
1) Pelaksanaan Secara Dalam Talian (e-UKCG)
Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui sistem khas yang ditetapkan oleh KPM.
Calon perlu menjawab dalam satu sesi sahaja mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan. Sekiranya calon terlepas waktu ujian, tiada peluang ulangan akan diberikan.
2) Struktur Soalan & Masa Ujian
Ujian terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu bahagian A dan B.
Bahagian A mengandungi 120 soalan dengan masa 30 minit, manakala Bahagian B mengandungi 60 soalan dengan masa 15 minit.
Secara keseluruhan, calon perlu menjawab 180 soalan dalam masa 45 minit.
3) Jenis Soalan Psikometrik
Soalan dalam UKCG adalah berbentuk objektif psikometrik dan tidak melibatkan pengetahuan akademik.
Ia bertujuan mengukur aspek personaliti, pemikiran, nilai dan sahsiah calon guru.
Tiada soalan esei atau subjektif; semuanya objektif sama ada dwi-pilihan atau skala Likert. Format ini membolehkan penilaian pantas terhadap sejumlah besar soalan dalam masa singkat.
Lihat Juga: Isu Semasa Pendidikan 2025: Contoh Isu Terkini Di Malaysia
4) Contoh Soalan dan Format Jawapan
Soalan Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) menggunakan dua format jawapan:
- Dwi-pilihan seperti “Ya/Tidak”
- Skala Likert seperti “Sangat Setuju” hingga “Sangat Tidak Setuju”.
Antara contoh pernyataan termasuk sikap terhadap murid, penerimaan kritikan dan keikhlasan melaksanakan tugas.
Contoh soalan UKCG yang lazim termasuk pernyataan-pernyataan berkaitan tugasan guru, sikap terhadap murid, cara kerja dan integriti.
Antaranya:
- “Harapan saya ialah dapat mengajar murid yang cerdik sahaja.” (Pilihan jawapan: Setuju/Tidak Setuju)
- “Jika dikritik, saya akan membalas dengan kritikan yang lebih tajam.” (Pilihan: Setuju/Tidak Setuju)
- “Sebagai guru, saya percaya pendekatan pengajaran paling berkesan adalah memberi tumpuan kepada murid yang cepat faham sahaja.” (Pilihan: Wajar/Tidak Wajar)
Pernyataan seperti di atas bertujuan menguji perspektif calon. Jawapan yang ideal mestilah selari dengan nilai dan etika keguruan.
Contohnya, bagi pernyataan “mengajar murid yang cerdik sahaja”, calon sepatutnya memilih “Tidak Setuju”, menandakan kesediaan mengajar semua murid tanpa mengira tahap pencapaian.
Demikian juga, pernyataan mengenai respon terhadap kritikan – calon guru yang baik harus terbuka menerima teguran, maka jawapan “Tidak Setuju” bahawa akan membalas kritikan dengan lebih pedas menunjukkan sikap yang matang.
Soalan-soalan UKCG direka sedemikian rupa untuk mengenal pasti calon yang berfikiran positif, penyabar, bersikap terbuka dan mempunyai integriti dalam situasi kerjaya guru
5) Tujuan & Penilaian Soalan
Setiap soalan direka untuk menilai pendirian, konsistensi dan kejujuran calon berdasarkan prinsip etika keguruan.
Jawapan yang diberikan perlu mencerminkan nilai-nilai murni yang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Guru serta peranan sebenar seorang pendidik.
6) Kaedah Pemarkahan UKCG
Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) menggunakan kaedah pemarkahan holistik tanpa menetapkan markah minimum rasmi. Prestasi calon dinilai secara perbandingan antara semua pemohon.
Hanya calon dengan markah tertinggi dan konsisten akan disenaraikan sebagai lulus untuk ke peringkat seterusnya.
Tarikh Penting PISMP dan UKCG 2025
- Iklan PISMP 2025 – 23 Februari 2025
(Iklan rasmi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) mula disiarkan oleh KPM.) - Permohonan PISMP Dibuka – 24 Februari – 16 Mac 2025 (Tutup jam 11:59 malam)
(Permohonan PISMP dalam talian dibuka untuk lepasan SPM dan setaraf.) - Semakan Kelayakan UKCG – 18 Mac 2025
(Calon boleh menyemak sama ada layak menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) melalui portal rasmi PISMP.) - Pelaksanaan UKCG (e-UKCG) – 24 – 28 Mac 2025 & 7 – 11 April 2025
(Ujian dijalankan secara dalam talian mengikut tarikh dan sesi yang ditetapkan kepada calon.) - Kemaskini Permohonan (SPM) – 5 – 7 Mei 2025
(Calon boleh mengemaskini maklumat permohonan berdasarkan keputusan sebenar SPM.) - Semakan Layak Temu Duga & UKF – 14 Mei 2025
(Semakan kelayakan ke peringkat Temu Duga dan Ujian Kecergasan Fizikal boleh dibuat melalui portal PISMP.) - Pelaksanaan Temu Duga & UKF – 19 – 23 Mei, 26 – 30 Mei, dan 3 – 4 Jun 2025
(Calon perlu hadir ke sesi temu duga dan UKF mengikut tarikh yang ditetapkan.) - Tawaran (1) – Lepasan SPM – 19 Jun 2025
(Calon yang berjaya ditawarkan tempat di IPG akan menerima keputusan pada tarikh ini.) - Tawaran (2) – Lepasan STPM, STAM & Matrikulasi – 28 Julai 2025
(Tawaran khas kepada calon lepasan prauniversiti diumumkan.) - Pendaftaran IPG – 11 Ogos 2025
(Calon yang menerima tawaran perlu melapor diri ke IPG yang ditetapkan.)

Keperluan & Perkara Penting Sebelum UKCG
- Peranti & Sambungan Internet – Gunakan komputer riba atau desktop dengan sambungan internet stabil. Elakkan guna telefon melainkan tiada pilihan. Pastikan lokasi menjawab mempunyai capaian internet yang baik dan tidak memerlukan pemasangan aplikasi tambahan.
- Akaun Portal & Dokumen Panggilan – Pastikan ID pengguna dan kata laluan portal PISMP aktif. Cetak atau simpan surat panggilan UKCG dan sediakan MyKad untuk pengesahan identiti jika diminta semasa ujian.
- Persediaan Tempat & Masa – Pilih tempat yang sunyi dan bebas gangguan. Cas penuh peranti, tutup aplikasi lain, dan log masuk beberapa minit awal sebelum masa ujian. Elakkan gangguan daripada keluarga atau notifikasi digital.
- Panduan & Latihan Soalan – Muat turun dan baca Panduan Calon e-UKCG yang disediakan KPM. Lakukan latih tubi soalan psikometrik untuk membiasakan diri dengan bentuk dan gaya soalan yang akan ditanya.
- Arahan Semasa Ujian – Baca setiap arahan pada skrin dengan teliti. Jangan gopoh. Fahami maksud setiap pernyataan sebelum menjawab dan jawab secara jujur mengikut personaliti sebenar anda.
- Etika & Integriti – Dilarang berbincang, merujuk orang lain, atau menyalin kandungan ujian. Kandungan UKCG adalah sulit. Jawablah dengan integriti penuh walaupun ujian dijalankan dari rumah.
- Jika Berlaku Gangguan – Jika berlaku masalah seperti internet terputus atau komputer rosak, gunakan butang “Aduan Ralat”. Calon yang sah menghadapi gangguan akan diberi peluang ganti untuk sambung atau ulang semula.
- Persiapan Diri & Pakaian – Tidur cukup, makan ringan sebelum ujian dan pakai pakaian kemas walaupun menjawab dari rumah. Ini bantu anda kekal fokus dan menjiwai etika seorang calon guru profesional.
Apa Berlaku Selepas Lulus UKCG?
1. Saringan Lanjutan Selepas UKCG
Calon yang lulus Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) akan dipanggil ke dua peringkat saringan akhir iaitu Temu Duga dan Ujian Kecergasan Fizikal (UKF). Hanya calon yang melepasi ketiga-tiga peringkat (UKCG, Temu Duga dan UKF) akan dipertimbangkan untuk ditawarkan tempat ke IPG.
2. Temu Duga Calon Guru
Temu duga dijalankan secara bersemuka atau dalam talian. Calon akan dinilai dari aspek komunikasi, personaliti, pengetahuan pendidikan, dan motivasi menjadi guru. Bagi opsyen khas seperti Muzik, Jasmani dan Bahasa Inggeris, ujian amali mungkin dijalankan semasa sesi temu duga.
3. Ujian Kecergasan Fizikal (UKF)
UKF menilai tahap kesihatan dan stamina fizikal calon. Ia dijalankan secara bersemuka atau melalui Video Kecergasan Fizikal (VKF). Calon akan menjalani aktiviti seperti tekan tubi, lompat bintang, dan larian. Laporan kesihatan diperlukan bagi calon yang mempunyai keperluan khas.
4. Pemilihan & Keputusan Akhir
Panel penilai akan menilai prestasi calon berdasarkan UKCG, temu duga, UKF/VKF, pencapaian akademik dan perakuan penemuduga. Hanya calon terbaik yang memenuhi semua kriteria akan menerima tawaran rasmi kemasukan ke IPG, biasanya diumumkan sekitar Jun atau Julai.
5. Jika Tidak Terpilih
Calon yang tidak berjaya tidak akan menerima surat penolakan. Jika tiada makluman dalam tempoh sebulan selepas tarikh pendaftaran, calon boleh menganggap permohonan tidak berjaya. Namun begitu, peluang masih terbuka untuk mencuba semula atau meneroka laluan pendidikan lain.
6. Statistik Kejayaan & Tahap Persaingan
UKCG merupakan ujian saringan yang ketat. Kurang daripada 50% calon biasanya lulus ke temu duga. Hanya sekitar 7–10% daripada jumlah permohonan keseluruhan akan ditawarkan tempat ke IPG. Ini membuktikan bahawa hanya calon yang benar-benar layak akan terpilih.
Tips Lulus UKCG
- Tunjukkan Ciri-Ciri Guru Positif – Soalan UKCG direka untuk menilai sikap, empati, kesabaran, keadilan dan minat mendidik. Tunjukkan keperibadian guru yang penyayang, beretika dan sanggup mengajar semua murid tanpa pilih kasih.
- Jawab Dengan Jujur & Konsisten – Elakkan berpura-pura atau menipu personaliti. Soalan psikometrik ada corak berulang untuk uji konsistensi. Jawablah dengan ikhlas dan kekal selari dengan pendirian diri sendiri sepanjang ujian.
- Fahami Soalan Dengan Teliti – Kenal pasti kata kunci dan nada pernyataan, terutama yang berbelit atau berbentuk negatif. Jangan jawab terburu-buru. Fahami konteks sebenar sebelum memilih jawapan paling sesuai.
- Pantau Masa, Jawab Spontan – 45 minit untuk 180 soalan bermakna sekitar 15 saat bagi setiap soalan. Jangan terlalu lama pada satu soalan. Gunakan naluri dan pastikan jawapan konsisten dengan personaliti anda.
- Kawal Mental & Emosi – Ujian ini bukan akademik tetapi pengukur sahsiah. Datang dengan mindset positif, tenang, dan yakin. Rehat secukupnya, elak tekanan dan jaga keselesaan sebelum mula menjawab.
- Belajar Dari Pengalaman Orang Lain – Rujuk blog, video dan pengalaman calon terdahulu. Kenali bentuk dan gaya soalan UKCG. Latih tubi dari contoh yang tersedia akan bantu tingkatkan keyakinan dan kefahaman.
- Doa & Restu Ibu Bapa – Sentiasa mulakan dengan doa dan mohon restu. Jika gagal, bangkit semula dengan lebih bersedia. Jika lulus, kekalkan momentum untuk ke peringkat temu duga dan UKF dengan semangat yang sama.
Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) bukan sekadar ujian, ia mencerminkan gambaran diri anda sebagai bakal pendidik.
Tampilkanlah yang terbaik dari segi sahsiah dan jati diri. Dengan sikap yang betul dan usaha gigih, anda bukan sahaja boleh lulus UKCG, malah melangkah yakin ke fasa seterusnya dalam merealisasikan cita-cita sebagai “Guru Malaysia” yang berwibawa.
Selamat maju jaya!
Lihat juga artikel