Gangguan seksual adalah salah satu perlakuan tidak bermoral yang dilakukan oleh seseorang terhadap seseorang yang lain.
Kebiasaannya perlakuan ini dilakukan oleh individu yang lebih berkuasa dan mengalami ketidaksejahteraan psikologi. Kelompok ini biasanya mengalami permasalahan hidup, keluarga dan perhubungan yang kurang stabil.
Gangguan seksual memberi kesan negatif kepada mangsa yang mungkin boleh menyebabkan mangsa mengalami trauma, fobia, ketakutan dan menjejaskan rutin harian. Ini secara tidak langsung menjejaskan produktiviti dan keberhasilan kerja seseorang individu.
Oleh yang demikian, kesedaran masyarat mengenai isu gangguan seksual amatlah penting kerana perkara ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada mangsa.
Apakah Maksud Gangguan Seksual?
Definisi gangguan seksual mungkin berlainan antara negara disebabkan faktor budaya dan faktor setempat. Namun secara umumnya ia dapat difahami sebagai perlakuan berbaur seks yang tidak disenangi dan tidak munasabah.
Bagi maksud ini, gangguan seksual boleh ditakrifkan sebagai sebarang kelakuan berunsur seksual yang tidak diingini sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal, atas sebab yang munasabah setelah mengambil kira segala hal keadaan, akan menyebabkan seseorang yang waras berasa tersinggung, terhina atau terugut.
Gangguan seksual boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sama ada berlainan atau sesama jantina.
Insiden ini boleh berlaku sama ada di tempat kerja atau tempat awam seperti di kedai dalam pengangkutan awam seperti bas awam, teksi, kenderaan e-hailing, LRT, keretapi komuter dan sebagainya.
Ia juga boleh berlaku secara atas talian (melalui Facebook, Instagram, WhatsApp, SMS dan lain-lain). Bahkan juga perkara ini turut berlaku di institusi pendidikan seperti sekolah, universiti atau kolej.
Jenis-Jenis Gangguan
Persekutuan Majikan Kerja dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membahagikan gangguan seksual kepada beberapa jenis iaitu;
Berbentuk Fizikal
Mendekati individu dalam jarak yang terlalu dekat dan/ atau melakukan sentuhan yang tidak wajar seperti memegang, menyentuh, menggesel, mengeletek, memeluk, menepuk, mengusap, menggosok, mencubit, memicit, mencium, meraba atau sebarang bentuk sentuhan lain yang berunsur seksual yang tidak diingini sehingga menyebabkan pengadu berasa tersinggung, terhina atau terugut.
Gangguan Berbentuk Lisan
Bentuk gangguan ini dapat dilihat melalui penggunaan bahasa/ unsur lucah dalam perbualan, pujian, jenaka, pertanyaan dan sebagainya ke atas penampilan, tingkah laku atau tubuh badan individu.
Contoh yang biasa digunakan adalah seperti pernyataan, komen, usikan tentang rupa paras atau tubuh badan wanita. Memberi komen tentang saiz buah dada atau punggungnya. Permintaan, cadangan untuk hubungan atau layanan seksual.
Isyarat (Bukan Lisan)
Sikap atau perlakuan yang mempamerkan keinginan berunsurkan seksual seperti menjeling, merenung, mengintai, penggunaan bahasa badan dan lain-lain perbuatan yang dirasakan mengganggu dan membuat seseorang merasa kurang selesa samada berunsur lucah, seksual dan menimbulkan rasa yang tidak menyenangkan serta mengganggu emosi,
Visual
Menghantar gambar, video, nota atau sebarang kandungan yang berunsur seksual melalui apa sahaja medium atau peralatan komunikasi.
Psikologi
Perbuatan seperti mendorong, mendesak, atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksual melalui sebarang bentuk medium atau peralatan komunikasi yang mempengaruhi mental dan emosi individu.
Kesan Kepada Mangsa
- Kesan mental – Kemurungan, kurang keyakinan,
- Menjejaskan kesihatan – kesan pada pemakanan/tidur
- Kesan sosial – Kurang berinteraksi
- Kesan kepada kerja – Tidak dapat menumpukan perhatian dan mengekalkan prestasi
Cara Mengatasi
Sekiranya anda merasakan mengalami salah satu gangguan sebagaimana yang dinyatakan di atas, terdapat pelbagai langkah untuk mengatasi masalah ini iaitu;
- Mengemukakan Aduan – melalui Unit Integriti (UI) atau HR jabatan tempat bertugas masing-masing;
- Membuat laporan polis; atau sekiranya tidak pasti sama ada ia adalah gangguan seksual
- Mengumpulkan bukti iaitu membuat catatan atau merekod kejadian (tarikh, tempat, masa dan sebagainya);
- Menyimpan apa-apa nota, surat, emel elektronik (e-mel), sms, vide, gambar, poster, objek atau bahan bacaan atau visual yang berunsur seksual yang telah diedarkan menerusi media elektronik, blog, vlog, atau platfom media sosial seperti WhatsApp, Twitter atau apa-apa aplikasi.
Rujukan:
- Faridah Awang, Raja Kamariah Raja Mohd Khalid dan Azyyati Mat Zam, “PEMAHAMAN DAN PENGALAMAN GANGGUAN SEKSUAL DALAM KALANGAN MASYARAKAT MALAYSIA” Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia https://www.kpwkm.gov.my/ .
- “Gangguan Seksual Di Tempat Kerja”, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).