Setiap kali menjelang Aidiladha, antara persoalan paling popular ialah: “Macam mana cara bahagi dan agih daging korban yang paling afdal?”
Walaupun kelihatan mudah, pembahagian daging korban sebenarnya memerlukan kefahaman terhadap hukum dan sunnah Rasulullah SAW.
Bahagian Dakwah JAKIM melalui Facebook rasminya telah mengeluarkan satu nota penting bertajuk “Nota Korban: Pembahagian Daging Korban Paling Afdal” bagi menjawab kekeliruan umum dalam masyarakat.
Lihat Juga: 13 Amalan Sunnah Hari Raya Aidiladha Yang Dianjurkan
Hukum Korban Mengikut Mazhab Syafi’i
Dalam Mazhab Syafi’i, hukum ibadah korban adalah sunat muakkad, sangat digalakkan bagi yang mampu.
Ia bukan wajib, tetapi kelebihannya sangat besar. Seolah-olah seperti promosi pahala, “beli satu, percuma pahala berganda.”
Maka, sesiapa yang berkemampuan sangat disarankan untuk melaksanakan ibadah ini.
Cara Bahagi Daging Korban Sunat Mengikut Panduan JAKIM
Berikut ialah panduan rasmi yang dikongsikan oleh Bahagian Dakwah, JAKIM bagi pembahagian korban sunat:
a. Agihan 1/3 + 2/3 (Paling Umum)
- 1/3 untuk diri sendiri – boleh dimasak dan dinikmati sekeluarga.
- 2/3 untuk fakir miskin – sebaiknya diedarkan dalam bentuk mentah kepada mereka yang layak.
Contoh: Jika dapat 3kg daging, 1kg untuk keluarga, 2kg untuk disedekah.

b. Agihan Tiga Sama Rata
- 1/3 makan sendiri
- 1/3 diberikan kepada fakir miskin
- 1/3 sebagai hadiah kepada jiran atau sahabat (tidak miskin)
Ini juga dibolehkan, namun keutamaan tetap diberikan kepada fakir miskin.
c. Cara Paling Afdal (Sunnah Nabi SAW)
- Semua daging korban disedekahkan kepada fakir miskin.
- Kita hanya makan sedikit sekadar ambil berkat, cukup sekeping dua untuk lauk tengah hari.
Cara ini menunjukkan keikhlasan, kerendahan hati dan kesungguhan mencontohi sunnah Rasulullah SAW. Ini jugalah amalan Baginda ketika berkorban.
Cara Agihan Daging Korban Nazar (Wajib)
Untuk korban nazar, peraturannya lebih ketat:
- Semua daging korban wajib disedekahkan kepada fakir miskin.
- Tidak dibenarkan makan sendiri walau sedikit pun.
- Tidak boleh dijadikan hadiah kepada orang kaya atau digunakan untuk kenduri.
Ini kerana korban nazar adalah ibadah yang diniatkan sebagai janji kepada Allah. Maka, pemilik korban tidak boleh mengambil manfaat daripadanya.
Rujukan Fiqh: al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485
Kesilapan Lazim Dalam Pembahagian Korban
Berikut beberapa kesilapan yang sering berlaku dan perlu dielakkan:
- Menyimpan terlalu banyak untuk keluarga sehingga tiada bahagian cukup untuk golongan miskin.
- Memberi kepada orang yang tidak layak (contohnya, orang kaya) tanpa mendahulukan golongan fakir.
- Menggunakan daging korban untuk jamuan besar-besaran tanpa sedekah mencukupi terlebih dahulu.
Akhirnya, apa yang lebih utama dalam agihan daging korban ialah niat dan keikhlasan. Jika korban itu sunat, berilah sebanyak mungkin kepada mereka yang memerlukan. Makan sedikit pun sudah memadai untuk meraih keberkatan sunnah.
Dan jika korban itu nazar, maka tunaikanlah dengan penuh amanah tanpa ambil walau secebis daging pun.
Elakkan berkorban hanya untuk konten media sosial atau sekadar menunjuk. Sebaliknya, biarlah korban kita menjadi bukti pengabdian kepada Allah SWT dan kasih sayang terhadap sesama insan.
Berapa Kilo Daging Saya Dapat Jika Ambil 1/3 Dari Bahagian Korban?
Formulanya:
- Dapatkan berat lembu terlebih dahulu.
- Dari situ, baru boleh anggar berat karkas (iaitu berat daging + tulang; tidak termasuk kepala, organ dalaman, kulit dan kaki).
- Berat karkas biasanya sekitar 50–55% daripada berat lembu.
- Berat daging pula adalah 70% daripada berat karkas. Manakala paru, limpa dan babat ialah sekitar 10% daripada berat karkas.
Contoh Kiraan:
- Lembu bersaiz besar: 300kg, harga sekitar RM6,300.
- Berat karkas: 150kg (anggaran 50% daripada 300kg).
- Berat daging: 105kg (70% daripada 150kg).
- Jika dibahagikan kepada 7 bahagian korban, setiap bahagian bersamaan lebih kurang 15kg daging.
Kesimpulan:
- Jika kita ambil 1/3 bahagian, maka kita akan dapat sekitar 5kg daging.
- Ini untuk lembu besar. Di masjid bandar yang ambil lembu sederhana, biasanya 1/3 bahagian hanya sekitar 3–4kg sahaja.
📷 Sumber: Faisal Rahim

Artikel Berkaitan: