HomeInfoSenarai Produk Halal Indonesia Ditarik Balik 2025 (Ada DNA Babi)

Senarai Produk Halal Indonesia Ditarik Balik 2025 (Ada DNA Babi)

[TERKINI] Sebanyak sembilan produk halal telah disahkan mengandungi DNA babi oleh pihak berkuasa Indonesia.

Apa yang mengejutkan, tujuh daripada produk tersebut telah menerima sijil halal daripada pihak berautoriti. 

Penemuan ini telah mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan pengguna Muslim termasuk di Malaysia, khususnya berkaitan tahap ketelusan sistem pensijilan halal antarabangsa.

Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) bertindak pantas dengan mengeluarkan surat pemanggilan rasmi kepada pengeluar dan pengedar produk-produk terlibat untuk segera menarik balik produk tersebut dari pasaran.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengeluarkan kenyataan rasmi pada 22 April 2025 yang menyokong penuh tindakan BPJPH dan BPOM, serta mengambil langkah pemantauan bersama agensi agama negeri untuk memastikan produk-produk terbabit tidak berada dalam pasaran tempatan.

Lihat Juga: Istilah Babi dalam Makanan atau Komposisi Produk

Isu Tular: Produk Halal Indonesia Dikesan Mengandungi DNA Babi

Pada 21 April 2025, pihak Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) bersama Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia mengumumkan penarikan balik beberapa produk halal dari pasaran Indonesia. 

Ini selepas ujian makmal menunjukkan bahawa sejumlah produk mengandungi DNA babi (porcine).

Seramai 9 produk tersenarai, melibatkan 11 batch, termasuk produk yang telah disahkan halal oleh BPJPH. Ini telah menimbulkan kebimbangan serius di kalangan pengguna Muslim, bukan sahaja di Indonesia, malah di seluruh rantau.

Kenyataan Rasmi JAKIM

Sebagai respons segera, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan kenyataan media pada 22 April 2025 yang menyatakan sokongan terhadap tindakan tegas kerajaan Indonesia. Dalam kenyataan itu, JAKIM menegaskan bahawa:

  • Produk yang tersenarai akan dipantau secara menyeluruh bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
  • Pengimport di Malaysia diminta untuk menarik balik produk terbabit dari pasaran serta-merta.
  • Pengguna boleh melaporkan sebarang penemuan melalui Sistem Aduan Awam (SISPAA).

JAKIM turut memberi jaminan untuk memastikan produk halal DNA babi ini tidak berada dalam pasaran tempatan.

KENYATAAN MEDIA JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM) BERKENAAN PENGUMUMAN PENARIKAN BALIK PRODUK MAKANAN YANG DIPERSIJILKAN HALAL DI INDONESIA

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia pada 21 April 2025 berhubung penarikan balik produk makanan daripada pasaran Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi (porcine). JAKIM menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.

2. Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH (https://bpjph.halal.go.id/detail/siaran-pers), hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati sebanyak 11 ‘batch’ daripada 9 produk makanan telah dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal. Daripada jumlah tersebut, 9 ‘batch’ daripada 7 produk memiliki sijil halal, manakala 2 ‘batch’ daripada 2 produk tidak memiliki sijil halal.

3. Sehubungan dengan itu, sebagai langkah pencegahan awal, JAKIM segera melaksanakan tindakan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk-produk berkenaan jika dikesan berada di pasaran tempatan.

4. JAKIM turut mengarahkan pihak-pihak pengimport yang terlibat segera menghubungi JAKIM melalui emel [email protected] dan mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit dari pasaran Malaysia.

5. Langkah ini adalah sejajar dengan prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini. Justeru itu, JAKIM menyeru orang ramai untuk turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sekiranya menjumpai produk-produk tersebut di pasaran. Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM melalui pautan berikut:

https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do

6. JAKIM amat komited dalam memastikan produk yang benar-benar mematuhi piawaian halal dibenarkan berada di pasaran, demi memelihara hak dan kepentingan pengguna Muslim di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

Kenyataan Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berkenaan Pengumuman Penarikan Balik Produk Makanan Yang Dipersijilkan Halal Di Indonesia

Senarai Produk Halal Yang Ditarik Balik

Berikut ialah 9 produk yang telah dikenal pasti oleh BPJPH dan BPOM:

Produk Mempunyai Sijil Halal:

  1. Corniche Fluffy Jelly – Marshmallow pelbagai rasa (Filipina)
  2. Corniche Marshmallow Teddy Apel – Bentuk beruang rasa epal (Filipina)
  3. ChompChomp Car Mallow – Marshmallow bentuk kereta (China)
Senarai Produk Corniche Dikesan Mengandungi DNA Babi (Filipina)
  1. ChompChomp Flower Mallow – Bentuk bunga berwarna-warni (China)
  2. ChompChomp Mini Marshmallow – Bentuk tabung/tabung kecil (China)
  3. Hakiki Gelatin – Gel pembentuk makanan tambahan (Indonesia)
  4. Larbee TYL Marshmallow – Dengan isi selai vanila (China)
Senarai Produk ChompChomp dan Hakiki Gelatin dalam Penarikan Balik BPJPH

Produk Tanpa Sijil Halal:

  1. AAA Marshmallow Rasa Jeruk (China)
  2. SWEETIME Marshmallow Rasa Coklat (China)
Dokumen Rasmi BPJPH- 9 Produk Ditarik Balik Termasuk Yang Tiada Sijil Halal

Kesemua produk di atas disahkan mengandungi DNA babi walaupun beberapa daripadanya telah disijilkan halal — isu utama dalam kes produk halal DNA babi ini.

Tindakan Segera: Apa Yang Anda Perlu Buat?

  1. Semak label dan nombor batch — elakkan 9 produk yang disenaraikan.
  2. Lapor kepada JAKIM melalui: https://islam.spab.gov.my
  3. Tingkatkan kesedaran — kongsi info ini dengan keluarga dan komuniti Muslim lain.

Rujukan Rasmi

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments