HomeKewanganSenarai Pelepasan Cukai Individu 2024 Bagi Tahun Taksiran 2023

Senarai Pelepasan Cukai Individu 2024 Bagi Tahun Taksiran 2023

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah menyenaraikan 21 senarai pelepasan cukai individu pemastautin untuk tahun taksiran 2023.

Jika pendapatan tinggi, tak perlu runsing sebab ada banyak jenis pelepasan cukai yang boleh kita claim untuk kurangkan cukai.

Terdapat beberapa senarai pelepasan cukai yang telah ditawarkan bagi mengurangkan jumlah cukai yang kita perlu bayar. Dengan kata lain, pelepasan cukai adalah amaun yang boleh ditolak daripada pendapatan yang akan dicukai.

Tarikh 1 Mac setiap tahun menjadi kelaziman bagi individu yang layak dikenakan cukai untuk mengisytiharkan cukai masing-masing.

Jadi sebelum anda membuat pembayaran cukai menerusi sistem e-Filing, kami kongsikan senarai pelepasan cukai pendapatan untuk individu pemastautin 2023.

Senarai Pelepasan Cukai Individu Pemastautin

Berikut adalah senarai pelepasan cukai individu pemastautin bagi tahun taksiran 2023.

Pelepasan Individu

  1. Individu dan saudara tanggungan = RM9,000
  2. Individu kurang upaya (OKU) = RM6,000
  3. Suami / isteri kurang Upaya = RM5,000
  4. Suami / isteri / alimoni kepada bekas isteri = RM4,000
  5. Yuran pengajian (Diri sendiri) = RM7,000
    • Peringkat selain sarjana atau doktor falsafah – Bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi;
    • Peringkat sarjana atau doktor falsafah – Sebarang bidang atau kursus pengajian
    • Kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri (Terhad RM2,000)

Caruman dan Sumbangan

  1. PERKESO / Sistem Insurans Pekerja = RM350
  2. Insurans nyawa dan KWSP – Kategori penjawat awam skim berpencen, selain penjawat awam skim berpencen dan bekerja sendiri:
    • Caruman wajib kepada skim yang diluluskan atau caruman sukarela kepada KWSP (tidak termasuk skim persaraan swasta) atau caruman di bawah mana-mana undang-undang bertulis (Terhad RM4,000)
    • Bayaran premium insurans hayat atau sumbangan takaful keluarga atau caruman sukarela tambahan kepada KWSP (Terhad RM3,000)
  3. Skim persaraan dan anutiti tertangguh = RM3,000
  4. SSPN (Tabungan bersih) = RM8,000
  5. Insuran pendidikan dan perubatan (Individu / pasangan / anak) = RM3,000

Gaya Hidup, Perubatan dan Peralatan Berkaitan

  1. Perbelanjaan bayaran pemasangan, sewaan, pembelian termasuk sewa-beli peralatan atau langganan bagi penggunaan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik bagi kenderaan sendiri (Bukan untuk kegunaan perniagaan) (Terhad RM2500)
  2. Gaya hidup = RM2,500
    • Pembelian bahan bacaan
    • Pembelian komputer peribadi, telefon pintar/tablet
    • Bayaran langganan internet
    • Pembelian peralatan sukan & bayaran keahlian gimnasium
  3. Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius (individu/suami/isteri/anak) & perbelanjaan rawatan kesuburan (diri sendiri atau pasangan) = RM8,000
  4. Pembelian peralatan penyusuan = RM1,000
    • Pembayar cukai wanita sahaja
    • Anak berumur kurang 2 tahun dan ke bawah
    • Tuntutan dibuat sekali setiap 2 tahun
  5. Peralatan alat sokongan asas (Individu/suami/isteri/anak/ibubapa OKU) – RM6000
  6. Tambahan gaya hidup berkaitan aktiviti sukan = RM500
    • – Pembelian peralatan sukan
    • – Sewaan / fi di mana-mana fasiliti sukan
    • – Fi pendaftaran penyertaan pertandingan
  7. Rawatan keperluan khas dan penjagaan Ibubapa – RM8000

Pelepasan Anak

  1. Anak berumur 18 tahun dan ke bawah (belum berkahwin) = RM2,000
    • Belum berkahwin
  2. Anak berumur 18 tahun dan ke atas = RM2,000
    • Belum berkahwin
    • Belajar sepenuh masa
  3. Anak berumur 18 tahun dan ke atas = RM8,000
    • Belum berkahwin
    • Belajar di IPT (Diploma dan ke atas di Malaysia)
  4. Yuran taman asuhan kanak-kanak / tadika berdaftar = RM3,000
    • Berumur 6 tahun dan ke bawah
    • Dibenarkan tuntutan sama ada suami atau isteri
  5. Anak kurang upaya = RM6,000
  6. Tambahan bagi anak kurang upaya = RM8,000
    • Belum berkahwin
    • Belajar di IPT (Diploma dan ke atas)
Pelepasan Cukai Individu Pemastautin 2023
Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Siapa Yang Di Kenakan Cukai?

2 kategori individu yang dikenakan cukai adalah sebagaimana berikut;

  1. Individu Yang Mempunyai Pendapatan Penggajian
  2. Individu Yang Mempunyai Pendapatan Perniagaan

1) Individu: Pendapatan Penggajian

Mereka yang dikenakan cukai adalah individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM 34,000 dan mereka yang mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB) layak dikenakan cukai.

Pengiraan ambang jumlah pendapatan individu yang TIDAK DIKENAKAN CUKAI adalah mengambil kira pendapatan kasar tahunan ditolak dengan pelepasan asas individu dan rebat cukai yang layak

Pelepasan asas yang diambil kira adalah pelepasan individu dan saudara tanggungan serta pelepasan suami / isteri dan anak (di bawah umur 18 tahun) bagi individu yang telah berkahwin. Manakala tolakan rebat individu (RM400) serta pasangan (RM400 jika berkenaan) dibenarkan sekiranya pendapatan bercukai individu tersebut tidak melebihi RM35,000.

Berikut merupakan ambang jumlah pendapatan individu TIDAK DIKENAKAN CUKAI mengikut jenis taksiran:

ambang-pendapatan-tak-kena-cukai-2023_flyers-size_page-0001
Sumber: LHDNM

Nota:

  • * Jumlah pelepasan individu dan saudara tanggungan adalah RM9,000
  • ** Jumlah pelepasan anak di bawah umur 18 tahun adalah RM2,000 bagi seorang anak
  • *** Jumlah kelayakan rebat (diri sendiri dan suami / isteri) terhad kepada pendapatan bercukai individu sehingga RM35,000

2) Individu Pendapatan Perniagaan

Keuntungan yang diperolehi daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion adalah merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai (termasuk sebarang bentuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa (Ekonomi Bayangan).

——-

Perniagaan terdiri daripada:

  • Milikan Tunggal / Bekerja Sendiri
    • Individu yang menjalankan perniagaan secara perseorangan
  • Perkongsian
    • Meliputi sebarang bentuk kerjasama antara dua atau lebih pihak bagi menyatukan hak, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan dan mewujudkan perkongsian keuntungan. Perkongsian mungkin wujud di antara :
      • Individu-individu
      • Dua syarikat
      • Individu dan syarikat
      • Individu dan pemegang amanah bagi sesuatu penyelesaian

Contoh Perniagaan :

  • Perniagaan Runcit
  • Perniagaan Pasar Malam / Gerai
  • Perniagaan Melalui Internet (Ekonomi Digital)
  • Bidang Lakonan / Nyanyian / Duta Produk / Ulasan Produk
  • Komisen / Kelas Tuisyen / Penceramah
  • Perniagaan Jualan Langsung / Stokis
  • Bidang Penulisan / Youtuber / Blogger
  • Pertanian dan Penternakan
  • Klinik, Firma Guaman atau Lain-Lain Pengamal Profesional
  • Pemandu Teksi / e-hailing

Kadar Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2023

Jadual di bawah membolehkan anda membuat pengiraan awal mengenai kadar cukai 2024 bagi tahun taksiran 2023.

Kadar cukai bagi pendapatan bagi tahun taksiran 2023

Cara Melaporkan Cukai

Pelaporan cukai boleh dibuat dengan 2 kaedah iaitu;

  1. SECARA MANUAL dengan menghantar Borang Nyata ke Bahagian Pengurusan Rekod & Maklumat Percukaian, HASiL.
  2. SECARA ONLINE iaitu  penghantaran Borang Nyata secara dalam talian melalui platform e-Filing dalam sistem MyTax, https://mytax.hasil.gov.my.

Sekiranya penghantaran dibuat secara MANUAL, anda disarankan untuk merujuk kepada buku panduan / nota penerangan sebelum mengisi Borang Nyata.

Borang Nyata dan  buku panduan / nota penerangan boleh diakses di portal rasmi HASiL, www.hasil.gov.my > Borang > Muat Turun > Individu > pilih Tahun Taksiran. Seterusnya, rujuk Buku Panduan / Nota Penerangan mengikut jenis borang yang berkaitan.

Tempoh Pelaporan Cukai

1. Pelaporan Secara Manual

  • Bagi penggajian (Borang BE) – sebelum atau pada 30 April setiap tahun
  • Bagi perniagaan (Borang B) – sebelum atau pada 30 Jun setiap tahun

2. Pelaporan Secara Dalam Talian 

  • Bagi penggajian (Borang e-BE) – sebelum atau pada 15 Mei setiap tahun
  • Bagi perniagaan (Borang e-B) – sebelum atau pada 15 Julai setiap tahun

(Tarikh pengemukaan secara online adalah tertakluk kepada keadaan semasa. Semakan boleh dibuat di Program Memfail Borang Nyata di Portal Rasmi HASiL)

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

Soalan Lazim (FAQ) 

Berikut merupakan soalan lazim mengenai pelepasan cukai individu pemastautin untuk tahun taksiran 2023.

Siapa Yang Dikenakan Cukai?

Cukai pendapatan dikenakan terhadap setiap individu bagi pendapatan yang terakru atau terbit di Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar Malaysia bagi setiap tahun taksiran.

Seseorang individu yang mempunyai jumlah pendapatan MELEBIHI nilai ambang yang ditetapkan, yang boleh dikenakan cukai perlu mendaftar fail cukai pendapatan.
Skop pengenaan cukai seseorang individu adalah bergantung kepada taraf mastautinnya.

Individu bermastautin dikenakan cukai mengikut kadar cukai berskala serta layak menuntut potongan menurut seksyen 45A ACP hingga seksyen 49 ACP. Manakala individu bukan pemastautin dikenakan cukai pada kadar tetap 30% dan tidak layak menikmati sebarang potongan.
Sebarang punca pendapatan daripada luar Malaysia yang dibawa masuk ke Malaysia adalah dikecualikan cukai.

Bilakah Tarikh Mula Isi efiling 2023?

1 Mac 2024

Bilakah Tarikh Akhir e-Filing 2023?

– Bagi penggajian (Borang e-BE) – sebelum atau pada 15 Mei setiap tahun
– Bagi perniagaan (Borang e-B) – sebelum atau pada 15 Julai setiap tahun

Bagaimana cara melaporkan cukai secara online?

https://mytax.hasil.gov.my.

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments