Program Madani Rakyat Zon Timur bakal berlangsung pada 5 hingga 7 Mei 2024 (Jumaat hingga Ahad).
Program ini merupakan anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kerajaan Negeri Pahang.
Penganjuran Program di Zon Timur merangkumi Negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan, menjadikan program ini sebagai platform penting bagi masyarakat di zon tersebut.
Program Madani Rakyat Zon Timur: Tarikh & Lokasi
Program MADANI Rakyat Zon Timur merangkumi tiga negeri di Timur semenanjung iaitu Negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan.
Pelaksanaan program ini merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian dan agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.
Program ini juga dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia MADANI
Maklumat berkaitan tarikh dan lokasi program ini adalah sebagaimana berikut;
- Tarikh: 5 hingga 7 Mei 2024 (Jumaat hingga Ahad).
- Lokasi: Dataran Sayangi Kuantan, Pahang
- Maps/waze : https://g.co/kgs/R3NLPc7
- Masa:
- Jumaat dan Sabtu -9.00 pagi – 10.00 malam
- Ahad – 9 pagi – 6.00 petang
Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan ini.
Objektif dan Sejarah Program MADANI Rakyat
Program MADANI Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang telah diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lalu.
Matlamat utama program ini adalah untuk memberikan peluang kepada masyarakat setempat memahami, melihat, dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.
Ia bertujuan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Penganjuran di Zon Lain
Sebelum ini, Program MADANI Rakyat 2024 Zon Tengah telah diadakan dari 23 hingga 25 Februari 2024 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, Selangor, dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kerajaan Negeri Selangor.
Manakala Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara berlangsung dari 3 hingga 5 Mei 2024 di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang, melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
Aktiviti dan Fokus Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur
Program MADANI Rakyat Zon Timur akan memberi tumpuan kepada pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, TVET dan karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan.
Selain itu, terdapat pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Kecerdasan Buatan (AI).
Program ini juga akan melibatkan kolaborasi strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pihak swasta.
Aktiviti dan Reruai Tumpuan
Berikut merupakan beberapa aktiviti dan reruai tumpuan anda di Program Madani Rakyat Zon Timur;
50% Diskaun Saman PDRM Terpilih

Bersempena dengan Program ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan kadar kompaun saman terpilih sehingga 50%.
Pembayaran hanya boleh dibuat di tapak program. Tertakluk kepada terma dan syarat.
Inilah masanya untuk anda melunaskan tunggakan saman bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen.
Jualan MADANI dan Pameran Aset Kerajaan

Selain itu, tarikan utama program ini adalah Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa kepada pengunjung.
Pameran aset-aset Kerajaan turut disediakan untuk memberikan maklumat dan hiburan kepada masyarakat setempat.
Program Karnival Kerjaya Myfuturejobs

Bagi anda yang sedang mencari pekerjaan, pastikan untuk mengunjungi booth Karnival Kerjaya MyFutureJobs. Terdapat 26 majikan dengan lebih 1500 kekosongan jawatan yang menanti anda‼
Perasmian oleh Perdana Menteri
Majlis perasmian Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim pada 6 Julai 2024 (Sabtu).
Info Lanjut
Untuk maklumat dan info lanjut program ini, boleh layari;
- Facebook Malaysia Madani – https://www.facebook.com/MalaysiaMADANI.my
- Laman Web – https://malaysiamadani.gov.my/