Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempelawa pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi di Universiti Awam (UA) melalui saluran perdana sahaja untuk memohon Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF1) Tahun 2025.
Program ini ditawarkan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU), dengan kadar bayaran balik yang berbeza bergantung kepada status pekerjaan pemohon selepas tamat pengajian.
Apakah Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF1) JPA 2025?
Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF1) adalah inisiatif penajaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang khas untuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi di Universiti Awam (UA) melalui saluran perdana sahaja.
Tujuan utama program ini adalah untuk memastikan akses pendidikan tinggi berkualiti dalam bidang kritikal ini, serta menyokong pembangunan modal insan negara dengan melahirkan lebih ramai profesional dalam sektor kesihatan.
Program ini ditawarkan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU), di mana jumlah bayaran balik bergantung kepada status pekerjaan pemohon selepas tamat pengajian.
Maksud Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Bagi PPF1 JPA 2025
Tajaan diberikan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) dengan syarat pembayaran balik seperti berikut:
- Biasiswa penuh – Pelajar dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian.
- Bayaran balik 25% – Pelajar hanya perlu membayar 25% daripada jumlah pinjaman sekiranya berkhidmat dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian.
- Bayaran balik 50% – Pelajar perlu membayar 50% daripada jumlah pinjaman sekiranya berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian.
- Bayaran penuh – Pelajar dikehendaki membayar sepenuhnya nilai pinjaman sekiranya tidak memenuhi mana-mana syarat di atas.
Tarikh permohonan:
- Dibuka: 28 Februari 2025 (10.00 pagi).
- Ditutup: 9 April 2025 (5.00 petang).
Syarat Permohonan
Calon yang ingin memohon Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF1) 2025 perlu memenuhi syarat umum dan syarat khusus seperti berikut:
Syarat Umum
- Warganegara Malaysia.
- Bebas daripada penyakit kronik atau berjangkit serta berupaya mengikuti pengajian sehingga tamat.
- Ibu, bapa, dan pemohon tidak disenarai hitam oleh JPA atau dalam tindakan undang-undang JPA.
- Tidak pernah dikenakan tindakan penamatan tajaan akibat pelanggaran syarat perjanjian JPA sebelum ini.
- Tidak menerima bantuan kewangan atau tajaan daripada mana-mana agensi lain untuk peringkat pengajian yang sama.
- Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
- Umur tidak melebihi 23 tahun pada tahun permohonan (24 tahun bagi pelajar peralihan).
Syarat Khusus
- Sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama sebelum tarikh iklan ditutup.
- Bagi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), hanya pelajar selain pegawai kadet yang layak memohon.
- Tidak pernah gagal atau mengulang mana-mana subjek dalam mana-mana semester sebelum membuat permohonan.
- Tiada penangguhan pengajian sebelum calon memohon.
Memenuhi Syarat Akademik Berikut Akademik;
1) Bagi pelajar semester pertama Ijazah Pertama yang belum memperoleh keputusan:
- Perlu memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 3.50 di peringkat Asasi Universiti Awam, Matrikulasi KPM, STPM, atau STAM.
2) Bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Pertama:
- Lulus dalam bidang Perubatan dan Pergigian.
- PNGK sekurang-kurangnya 3.30 bagi bidang Farmasi.
- Mempunyai baki sekurang-kurangnya 12 bulan pengajian, tidak termasuk semester semasa.
Institusi Pengajian Yang Ditaaja
Tajaan PPF1 JPA 2025 hanya terbuka kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi di Universiti Awam (UA) melalui saluran perdana sahaja.
Senarai Universiti Awam yang menawarkan tajaan PPF1 JPA 2025 adalah sebagaimana berikut:
- Universiti Malaya (UM)
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
- Universiti Sains Malaysia (USM)
- Universiti Putra Malaysia (UPM)
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
- Universiti Teknologi MARA (UiTM)
- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
- Universiti Malaysia Sabah (UMS)
- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Bidang Pengajian Yang Ditaja
Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF1) JPA 2025 hanya menaja pengajian sepenuh masa di satu institusi sahaja dalam bidang Perubatan (0912), Pergigian (0911), dan Farmasi (0916) berdasarkan Kod Pendidikan Nasional 2020 (NEC-2020).
Program pengajian yang layak mestilah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia, Majlis Pergigian Malaysia, dan Lembaga Farmasi Malaysia.
Bidang Pengajian Yang Tidak Ditaja
- Program francais Universiti Awam.
- Program berkembar atau double degree, kecuali yang dibenarkan oleh JPA.
- Program separuh masa, jarak jauh, atau atas talian.
- Program tanpa subsidi yuran pengajian (private wing, saluran komersial, atau saluran alternatif).
Cara Memohon
Permohonan bagi Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF1) JPA 2025 dibuka secara dalam talian melalui portal rasmi JPA di https://bmipenajaan.jpa.gov.my/ms/ bermula pada 28 Februari 2025 (10.00 pagi) hingga 9 April 2025 (5.00 petang). Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan.
Calon dibenarkan untuk mendaftar, mengemaskini, atau meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan. Hanya pindaan terkini sahaja yang akan diambil kira untuk tujuan penyimpanan data.
Calon juga perlu memastikan bahawa permohonan telah disempurnakan dengan mencetak Slip Pengesahan Permohonan Penajaan Program PPF1 Tahun 2025 sebagai bukti permohonan telah dibuat.
Tawaran penajaan ini akan diumumkan melalui laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di http://www.jpa.gov.my atau melalui portal penajaan di https://bmipenajaan.jpa.gov.my/ms/.
Calon boleh merujuk Frequently Asked Questions (FAQ) yang disediakan di portal rasmi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan.
Tarikh Penting PPF1 JPA 2025
Aktiviti | Tarikh / Hari / Masa |
Permohonan Dibuka | 28 Februari 2025 (Jumaat) |
Permohonan Ditutup | 9 April 2025 (Rabu) |
Jangkaan Keputusan | Minggu kedua September 2025 |
Sesi Mula Tajaan | September 2025 |
Tarikh tertakluk kepada perubahan berdasarkan keputusan JPA.
Maklumat Lanjut & Pertanyaan
Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh dikemukakan melalui:
- Talian Hotline (Waktu Pejabat): 03-8885 3297
- E-mel: [email protected] (Aktif sepanjang tempoh permohonan dibuka sahaja)
Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi JPA:
Iklan Rasmi

Lihat Juga:
– Dermasiswa B40 (DB40) JPA 2025: Syarat dan Cara Permohonan
– PIDN JPA 2025: Program Ijazah Dalam Negara – Syarat & Biasiswa