HomePanduanPanduan Dan langkah Mengurus Jenazah di Awal Kematian

Panduan Dan langkah Mengurus Jenazah di Awal Kematian

Sekiranya ada ahli keluarga yang meninggal dunia, perkara penting yang perlu dilakukan adalah cara mengurus jenazah yang betul di peringkat awal kematian. 

Sebagai waris atau ahli keluarga, terdapat beberapa langkah dan tindakan awal yang boleh dilakukan untuk menguruskan jenazah. 

Ramai yang tidak tahu cara mengurus jenazah di peringkat awal sehingga menyebabkan mayat sukar untuk diuruskan selepas itu. 

1) Tanggalkan Baju Si Mati

Perkara pertama yang ahli keluarga kena buat adalah tanggalkan baju si mayat selepas pengesahan dibuat tentang kematiannya. 

Ini kerana apabila sendi-sendi kaki atau tangan sudah menjadi keras, pakaian tersebut sukar untuk dibuka. 

2) Urut Tulang Sendi Jenazah

Seterusnya ahli keluarga boleh mengambil peranan untuk mengurut mana-mana tulang sendi jenazah dengan menggunakan minyak. 

Ini bagi mengelakkan sendi menjadi keras sekiranya mayat disimpan semalaman terutamanya simati yang meninggal pada awal malam dan urusan pengebumian dilakukan keesokan paginya. 

Namun sekiranya mayat tersebut ingin terus dimandikan, tak perlu lagi urut dengan minyak kerana akan menyebabkan sukar untuk di bilas. 

3) Jangan Pakaikan Kain Batik Lepas

Penting untuk diingatkan selepas pakaian simati di tanggalkan, jangan gunakan kain batik lepas untuk menutup jenazah. 

Ini kerana kain batik lepas adalah jenis helaian yang nipis dan boleh menampakkan lekuk badan jenazah terutamanya bagi jenazah wanita. 

Sebagai alternatif, boleh guna selimut yang jenis tebal dan boleh letak kain batik di atas jenazah tersebut. 

4) Jangan Beri Sesiapa Melihat Jenazah Sebelum Dimandikan 

Ramai yang terlepas pandang perkara ini. Sebelum jenazah dimandikan, jangan beri sesiapapun untuk melihat wajah simati. Ini kerana pada waktu ini aurat mayat akan terdedah. 

5) Tutup mata Jenazah dengan Sesuatu

Kebiasaannya bagi menutup mata jenazah, boleh gunakan wang syiling seperti 50 sen atau seumpamanya. 

Kenapa guna wang syiling? Sebab ia mudah didapati. Namun ada kalanya mata jenazah sukar juga untuk ditutup.

Jadi, ahli keluarga boleh urutkan sedikit demi sedikit kelopak mata supaya dapat ditutup. 

6) Buat Ikatan Untuk Ikat Sendi Jenazah 

Terdapat tiga bahagian utama sendi jenazah yang perlu diikat. Ia boleh diikat dengan menggunakan kain perca. 

  1. Bahagian Kepala : agar tidak dimasuki oleh binatang atau serangga  Jangan ikat pada bahagiab dagu. Ikat pada bawah bawah rahang.
  2. Bahagian Tangan : Lipat seperti individu yang tengah solat.
  3. Bahagian Kaki : Rapatkan kaki dan ikat antara kedua-dua betis.

Bagi jenazah yang sakit atau mengalami luka pada mana-mana anggota, jangan buka  tampalan kalau ada tebukan yang dibuat di hospital. Contoh di leher (dialisis), perut, dan sebagainya. 

Namun sekiranya tampalan tersebut dibuka ketika mandi, perlu diingatkan agar ditutup semula bahagian tersebut. 

Ini bagi mengelakkan selepas mayat dikafankan, darah keluar dari anggota yang luka tersebut. Maka penting untuk ditampal semula bagi mengelakkan aib pada jenazah.

Oleh yang demikian ahli keluarga perlu tahu asas pengurusan jenazah di peringkat awal ini. Ia bagi menjaga maruah keluarga dan simati serta menutup segala aib yang ada padanya.

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments