Hari TVET Negara adalah satu acara tahunan yang dinantikan ramai, terutamanya mereka yang terlibat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Acara ini tidak hanya menghargai pencapaian pelajar dan tenaga pengajar dalam bidang teknikal dan vokasional, tetapi juga memberi peluang kepada industri untuk berinteraksi dengan bakal tenaga kerja mahir.
Pada tahun 2024, Hari TVET Negara dijangka membawa pelbagai aktiviti menarik yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara pendidikan TVET dan industri.
Apa itu TVET?
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah satu bentuk pendidikan yang berfokus kepada penyediaan pelajar dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan teknikal yang diperlukan dalam pelbagai industri.
TVET merangkumi latihan dalam bidang seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, hospitaliti, pertanian, dan banyak lagi. Objektif utama TVET adalah untuk memastikan graduan mempunyai kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja, sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Tarikh Sambutan Hari TVET Negara 2024
Kerajaan telah mengisytiharkan tarikh 2 Jun sebagai Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara sebagai menghargai jasa, sumbangan dan kejayaan bidang TVET dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Sambutan Hari TVET Negara pada tahun ini akan diadakan seperti ketetapan berikut:
- Tarikh: 7 Jun 2024 (Jumaat) dan 8 Jun 2024 (Sabtu)
- Tempat: Institut Latihan Perindustrian, Kuala Langat, Selangor
- Waktu: 8.30 pagi – 5.30 petang
- Tema: “TVET Pilihan Utama Kerjaya”
Hari TVET Negara merupakan peluang terbaik untuk kita memahami dan menerokai bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang kini telah menjadi pemacu serta pemangkin pembangunan negara.
Pelaksanaan Sambutan Hari TVET Negara 2024 juga sebagai peningkatan kesedaran masyarakat dan kebolehcapaian TVET bagi menjadikan TVET sebagai pilihan utama masyarakat.
Program ini juga selari dengan peranan Sekretariat Majlis TVET Negara yang bertindak untuk menyelaras pelaksanaan aktiviti dan program sambutan Hari TVET Negara yang mampan antara kementerian kepada kumpulan sasar. Usaha ini juga dapat mengukuhkan Kerjasama strategik antara semua kementerian dan agensi yang terlibat dengan TVET di negara ini.
Objektif Penganjuran
- Mewujudkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai dasar, inisiatif dan bidang TVET yang ditawarkan di Malaysia di mana Sambutan Hari TVET Negara 2024 adalah merupakan salah satu daripada elemen promosi dan publisiti;
- Menarik lebih ramai belia yang berpotensi menceburi bidang kemahiran sebagai pilihan untuk pendidikan dan kerjaya dan memberi peluang kepada agensi awam dan swasta untuk mempromosikan produk dan kursus kemahiran yang ditawarkan kepada umum;
- Menyalurkan maklumat kepada masyarakat berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya serta insentif-insentif yang disediakan oleh kerajaan berkaitan TVET;
- Menghubungkan antara pelajar/belia/pencari kerja dengan industri sama ada dalam mencari peluang pekerjaan mahupun mendapatkan penempatan bagi menjalani Latihan Industri
- Menjalinkan kerjasama strategik di antara kementerian, agensi dan pihak industri yang berkaitan dengan satu matlamat yang sama untuk memperkasakan TVET di Malaysia;
- Memberi peluang kepada pelajar sekolah dan komuniti setempat untuk lebih dekat kepada TVET melalui aktiviti-aktiviti yang dirangka seperti pameran, demonstrasi, kuiz dan try a skill
Aktiviti Menarik
Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang untuk Hari TVET Negara 2024. Antaranya termasuk:
- Pameran Teknologi
- Pameran Institusi TVET
- Aviation Show
- TVET Robotic Challenge
- Pameran Industri dan Usahawan
- Seminar
- Food Truck dan Jualan FAMA
Maklumat lanjut aturcara program boleh diperolehi di laman web https://www.tvet.gov.my/tvet2024.
Pameran Institusi TVET
Pameran TVET (TVET Exhibition) merupakan komponen utama Hari TVET Negara 2024, menghimpunkan kesemua 12 kementerian yang terlibat dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Malaysia.
Pelawat boleh menerokai teknologi terkini yang dipamerkan oleh rakan kongsi industri, menyertai hari terbuka TVET dan menyaksikan demonstrasi kemahiran yang mengagumkan dari Institusi TVET yang mengambil bahagian. Jangan lepaskan peluang ini untuk terlibat dengan perkembangan terkini dalam TVET.
Seminar TVET
TVET Seminar akan berlangsung pada 7 Jun 2024, di Dewan Lavender ILP Kuala Langat, di mana masa depan pendidikan terbentang.
Antara aktiviti utama bagi Hub ini adalah Bengkel Pembangunan TTT oleh HRD Corp dan seminar untuk pelajar lepasan SPM yang akan membincangkan merit laluan ‘TVET atau Akademik’.
Panel yang terlibat yang pelbagai terdiri daripada pakar industri, pemimpin akademik, wakil institusi TVET, NGO dan agensi kerajaan akan memberikan gambaran menyeluruh tentang peluang dalam TVET dan akademik kepada lepasan SPM.
Turut terlibat sama adalah industri untuk memberikan pandangan bagi dunia pekerjaan. Wakil daripada pelbagai kementerian juga akan hadir untuk menghebahkan tawaran kemasukan ke program TVET mereka. Jangan lepaskan peluang ini untuk menemui potensi anda dan mengukir laluan kerjaya yang gemilang.
TVET Job Fair (Temuduga Terbuka Industri)
Bersempena sambutan ini juga, terdapat lebih 2000 kekosongan jawatan yang ditawarkan kepada calon-calon yang berkelayakan bagi menghadiri temuduga terbuka industri.
Dapatkan maklumat bagi kerjaya masa depan anda di Hub 3 : TVET Job Fair. Dibawakan khas ke Hari TVET Negara 2024 oleh PERKESO.
Dengan penyertaan daripada 20 syarikat terkemuka, pameran ini merupakan peluang keemasan bagi pencari kerja dan graduan TVET untuk berhubung dengan majikan yang menawarkan lebih 2000 kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang terutamanya yang berkaitan TVET.
Sama ada anda baru bermula atau ingin memajukan kerjaya anda, Hub 3 : TVET Job Fair ialah tempat yang sesuai untuk mencari kerjaya yang sesuai dengan anda dan mengambil langkah seterusnya dalam kareer profesional anda.
TVET Entrepreneur
TVET Entrepreneur menampilkan ‘Kisah Kejayaan TVET’, menonjolkan perjalanan individu yang telah berkembang maju melalui laluan TVET. Selain itu melalui ‘Pameran Produk Usahawan TVET’, produk dan perkhidmatan inovatif yang dibangunkan oleh graduan TVET akan dipamerkan kepada pengunjung.
Terokai inovasi di Hub 4 : TVET Entrepreneur, di mana inspirasi bertemu peluang. Sertai program ini untuk meraikan pencapaian dan meneroka potensi dalam dunia keusahawanan TVET.
TVET Challenge
Alami keseronokan inovasi dan cabaran di Hub 5 : TVET Challenge. Hub ini akan menampilkan ‘TVET Drone Soccer Challenge’ mendebarkan serta ‘TVET Robotic Challenge’, di mana kemahiran peserta dan teknologi bergabung dalam paparan ketangkasan udara dan kehebatan robotik. Selain itu, ‘Pertandingan Junior Skills Malaysia (JSM)’ akan menonjolkan bakat pelajar TVET dalam kedua-dua bidang pengendalian dron dan robotik mudah alih.
Peluncuran Dasar TVET Negara 2030
YAB Perdana Menteri akan merasmikan sambutan ini pada 8 Jun (Sabtu) sekaligus membuat Peluncuran Dasar TVET Negara 2030.
Dasar TVET Negara 2030 bermatlamat membawa Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui pelaksanaan program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif ini menggariskan lima teras strategik dan 23 strategi utama.
Dasar TVET Negara 2030 sebagai rujukan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan TVET secara holistik.
Berpandukan kekuatan itu, Dasar TVET Negara 2030 menggariskan kepentingan kerjasama kolektif antara kerajaan, institusi TVET awam dan swasta serta industri dalam memacu pembangunan modal insan berkemahiran negara.
Kejayaan pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 pasti sangat signifikan untuk mengekalkan daya saing global terutama dalam bidang TVET bermatlamat melahirkan pekerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi.
Peranan TVET dalam Meningkatkan Ekonomi Negara
TVET memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi negara dengan menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh industri. Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong inisiatif kerajaan dalam memperkukuh TVET dan melihatnya sebagai satu cara untuk mengubah landskap ekonomi negara.
Dengan sokongan dana yang mencukupi dan promosi yang berterusan, TVET dapat menarik lebih banyak belia untuk menceburi bidang ini dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Cabaran dan Peluang dalam TVET
Meskipun terdapat banyak manfaat dalam pendidikan TVET, terdapat juga beberapa cabaran yang perlu diatasi. Salah satu cabaran utama adalah memastikan kualiti latihan yang konsisten di semua institusi TVET.
Selain itu, terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan minat dalam kalangan belia terhadap TVET sebagai pilihan kerjaya utama. Usaha promosi yang berterusan dan kerjasama erat antara kerajaan, industri, dan institusi pendidikan adalah penting untuk mencapai matlamat ini.
Hari TVET Negara 2024 adalah platform penting untuk mengiktiraf kepentingan pendidikan teknikal dan vokasional dalam pembangunan negara. Dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang, sambutan ini bukan sahaja akan memberikan pendedahan kepada pelajar tentang prospek kerjaya dalam bidang TVET tetapi juga memperkukuh hubungan antara pendidikan dan industri.
Melalui usaha berterusan dan sokongan daripada semua pihak, TVET dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam memacu ekonomi negara ke arah yang lebih maju dan berdaya saing.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai TVET boleh diperoleh di laman web https://www.tvet.gov.my/