HomeAgama10 Malam Terakhir Ramadhan: Jadual, Doa & Zikir Lailatul Qadar

10 Malam Terakhir Ramadhan: Jadual, Doa & Zikir Lailatul Qadar

Sedar tak sedar, kita sudah masuk 10 malam terakhir Ramadhan. 

Inilah masa untuk menggandakan ibadah, berdoa dengan penuh keikhlasan, dan mencari malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Malam Lailatul Qadar adalah satu anugerah luar biasa yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Ia merupakan malam yang penuh dengan keberkatan dan keampunan. 

Namun, bilakah malam ini akan berlaku? Bagaimana cara terbaik untuk mencarinya?

Dah Bayar Zakat Fitrah? Lihat
Kadar Zakat Fitrah 2025 Mengikut Negeri & Cara Bayaran Online

Maksud Lailatul Qadar

Malam Lailatul Qadar adalah malam paling istimewa dalam Ramadhan kerana ia lebih baik daripada seribu bulan.

Pada malam ini, Allah SWT menetapkan takdir tahunan makhluk-Nya serta mencurahkan keberkatan dan keampunan kepada hamba-Nya yang beribadah dengan ikhlas. Ia juga merupakan malam di mana Al-Quran pertama kali diturunkan.

Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada malam sepuluh terakhir melebihi daripada malam-malam sebelumnya.

MENGHIDUPKAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN

Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada malam sepuluh terakhir melebihi daripada malam-malam sebelumnya.

Marilah sama-sama kita berazam dan bertekad untuk menggunakan malam-malam yang berbaki di bulan Ramadan ini dengan mengisinya dengan ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT. Semoga kita berjaya dan dikurniakan ketaqwaan serta keampunan dari-Nya. Amin.

Keistimewaan Lailatul Qadar

  • Malam penuh keberkatan dan rahmat.
  • Amalan kebaikan dilipatgandakan pahalanya.
  • Malam pengampunan bagi mereka yang beribadah dengan ikhlas.
  • Waktu mustajab untuk berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah.

Nama-Nama Lain bagi Lailatul Qadar

  • Lailatul Mubarakah – Malam yang Diberkati
  • Lailatul Rahmah – Malam Rahmat
  • Lailatul Taqdir – Malam Ketetapan
  • Lailatul ‘Itq – Malam Pembebasan
  • Lailatul Salam – Malam Kesejahteraan

Dalil dari Al-Quran dan Hadis

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qadr:

“Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah Al-Qadr: 1-3)

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mendirikan solat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Ini adalah peluang luar biasa bagi umat Islam untuk meraih pahala berlipat ganda dan keampunan daripada Allah SWT.

Kelebihan 10 Malam Terakhir Ramadhan

  1. Malam Lailatul Qadar: Malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, di mana Al-Quran pertama kali diturunkan dan segala amalan dilipatgandakan pahalanya.
  2. Malam Penuh Keampunan: Rasulullah ﷺ bersabda bahawa sesiapa yang beribadah dengan penuh keimanan dan harapan kepada Allah pada malam ini, dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan.
  3. Doa Mustajab & Rahmat Allah: Waktu terbaik untuk berdoa, terutama doa اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي yang dianjurkan oleh Rasulullah ﷺ bagi memohon keampunan.
  4. Amalan Rasulullah ﷺ dalam 10 Malam Terakhir: Rasulullah ﷺ lebih bersungguh-sungguh dalam ibadah, menghidupkan malam, membangunkan ahli keluarga, dan beriktikaf di masjid untuk mendekatkan diri kepada Allah.
  5. Iktikaf – Mengasingkan Diri untuk Allah: Sunnah Rasulullah ﷺ untuk beriktikaf di masjid dalam 10 malam terakhir bagi meningkatkan fokus kepada ibadah, doa, dan muhasabah diri.
  6. Turunnya Para Malaikat Membawa Keberkatan: Para malaikat turun ke bumi dengan izin Allah membawa rahmat, ketenangan, dan kesejahteraan sehingga terbit fajar.
  7. Pintu Langit Dibuka, Pintu Neraka Ditutup: Pada malam-malam ini, pintu-pintu syurga dibuka luas dan pintu-pintu neraka ditutup, memberi peluang besar untuk meraih rahmat dan keampunan Allah.
  8. Peluang Meraih Syurga & Jauh dari Neraka: Allah SWT membebaskan ramai hamba-Nya dari azab neraka setiap malam Ramadhan, terutama dalam 10 malam terakhir bagi mereka yang bersungguh-sungguh dalam ibadah.

Tarikh dan Jadual 10 Malam Terakhir Ramadhan 2025

Hadis Nabi ﷺ menyebut:


“Carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil iaitu pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam perkiraan tarikh Hijri, sesuatu hari dalam Islam bermula apabila masuknya waktu Maghrib. Oleh itu, pengiraan 10 malam terakhir Ramadhan dan malam-malam ganjil bagi tahun 2025 / 1446H adalah seperti berikut:

Tarikh dan Jadual 10 Malam Terakhir Ramadhan 2025

Cara mudah untuk mengingat malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadhan 2025 adalah dengan menyamakan tarikh malam ganjil dengan tarikh hari ganjil dalam bulan Mac, iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29 Mac 2025.

Contoh, jika hari ini adalah 21 Mac, malam ini adalah macam ganjil 21 Ramadhan. Mudah kan?

Malam-malam ganjil ini adalah waktu terbaik untuk mencari Lailatul Qadar dengan memperbanyakkan ibadah seperti solat malam, membaca Al-Quran, berzikir, dan berdoa memohon keampunan serta keberkatan dari Allah SWT.

Doa untuk 10 Malam Terakhir Ramadhan

Doa yang sahih dan dianjurkan untuk dibaca pada 10 malam terakhir Ramadhan ialah doa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ kepada Aisyah رضي الله عنها ketika beliau bertanya apakah doa yang perlu dibaca jika bertemu dengan malam Lailatul Qadar:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya:
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memberi keampunan, maka ampunilah aku.”
(HR Tirmizi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Doa untuk 10 Malam Terakhir Ramadhan

Perbanyakkan membaca doa ini pada setiap malam 10 malam terakhir, mudah-mudahan kita dipertemukan dengan malam istimewa yang lebih baik daripada 1000 bulan, Insya-Allah.

Doa Malam Lailatul Qadar (Rumi)

Bagi anda yang sukar membaca dalam tulisan Arab, berikut adalah doa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ dalam transliterasi Rumi:

Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni

Makna doa:
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memberi keampunan, maka ampunilah aku.”

Doa ini adalah amalan terbaik yang dianjurkan untuk dibaca sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan, terutama pada malam-malam ganjil, kerana ia adalah doa yang ringkas tetapi mempunyai makna yang mendalam.

Dengan memahami maknanya, kita dapat membaca doa ini dengan lebih khusyuk dan penuh pengharapan, memohon keampunan serta rahmat daripada Allah SWT.

Zikir 10 Malam Terakhir Ramadhan

Menurut Ustaz Dr. Kamilin Jamilin, yang memetik pandangan Syeikh ‘Abd al-‘Azīz al-Ťarīfi, antara amalan yang paling afdal dan mudah dilakukan dalam 10 malam terakhir Ramadhan adalah berzikir dengan kalimah yang memiliki fadilat khusus.

Zikir yang paling utama adalah kalimah tauhid atau dikenali juga Zikir Tahlil, dan lafaznya yang terbaik ialah:

لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya:
“Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

Zikir 10 Malam Terakhir Ramadhan Zikir Lailatul Qadar

Hadis dalam al-Sahihayn (Bukhari & Muslim) menyebut bahawa sesiapa yang mengucapkan zikir ini sebanyak 100 kali, pahalanya bersamaan dengan memerdekakan 10 orang hamba.

Jika diamalkan setiap malam dalam 10 malam terakhir, dan salah satu daripadanya adalah Lailatul Qadar, maka ganjarannya menyamai memerdekakan lebih daripada 300,000 orang hamba.

Hadis tentang fadilat memerdekakan hamba:
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang memerdekakan seorang hamba sahaya yang mukmin, Allah pasti akan memerdekakan setiap tubuh anggotanya seperti setiap anggota hamba sahaya yang dimerdekakan itu daripada api neraka.”
(HR Bukhari & Muslim)

Zikir Tahlil (Infografik JAKIM)
Kredit infografik: JAKIM

Fadilat yang luar biasa ini adalah peluang besar untuk meraih pahala yang berlipat kali ganda. Namun, ramai yang lalai daripada amalan mudah tetapi besar ganjarannya ini.

Oleh itu, marilah kita memanfaatkan 10 malam terakhir Ramadhan dengan memperbanyakkan zikir dan doa, agar kita mendapat keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT.

Jadual Lengkap Ibadah Malam Lailatul Qadar: Pecutan 10 Malam Terakhir Ramadhan 

10 malam terakhir Ramadhan adalah waktu kemuncak ibadah, di mana umat Islam mempertingkatkan usaha untuk beribadah secara maksimum sebelum Ramadhan berlalu.

Rasulullah ﷺ sendiri menggandakan ibadahnya pada malam-malam ini, membangunkan ahli keluarga, dan beri’tikaf di masjid.

Berikut adalah jadual perancangan ibadah yang boleh diamalkan pada 10 malam terakhir Ramadhan, terutamanya pada malam-malam ganjil, berdasarkan kemampuan masing-masing.

WaktuAmalan Ibadah
Selepas Berbuka Puasa– Berniat untuk menghidupkan malam dengan ibadah.
– Berdoa memohon kekuatan untuk beribadah.
Maghrib– Solat Maghrib berjemaah.
– Membaca Al-Quran atau berzikir.
Antara
Maghrib
& Isyak
– Berzikir & beristighfar.
– Membaca Surah Al-Mulk, Al-Waqiah, atau Yasin.
Isyak– Solat Isyak berjemaah.
– Berdoa memohon keampunan dan keberkatan.
Selepas
Isyak
– Solat Sunat Rawatib.
– Solat Tarawih (8 atau 20 rakaat).
– Membaca Al-Quran dan tadabbur ayat.
– Beristighfar & selawat.
Sepertiga
Malam (Qiyamullail)
– Solat Sunat Tahajud.
– Solat Sunat Taubat.
– Solat Sunat Hajat.
– Solat Sunat Tasbih.
– Solat Witir.
– Berzikir & doa mustajab (terutamanya اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي).
– Bersedekah secara senyap.
Menjelang Sahur– Membaca Al-Quran & tadabbur.
– Sahur dengan niat ibadah.
Subuh– Solat Fardu Subuh berjemaah.
– Berzikir selepas solat.
– Membaca Surah Al-Kahfi (jika malam Jumaat).

Tip Penting:

  • Fokus pada malam-malam ganjil (21, 23, 25, 27, 29 Ramadhan).
  • Jika letih, rehat sebentar dan sambung semula ibadah.
  • Amalan kecil tetapi istiqamah lebih baik daripada amalan besar yang dilakukan sekali-sekala.

Artikel Berkaitan:

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments