PERMOHONAN PERTUKARAN LESEN MEMANDU PERCUBAAN (PDL) KEPADA LESEN MEMANDU KOMPETEN (CDL) KINI MELALUI APLIKASI MyJPJ
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia sentiasa menambah baik penyampaian perkhidmatan JPJ secara digital dengan memperkenalkan fungsi baharu iaitu Permohonan Pertukaran Lesen Memandu Percubaan (PDL) Kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) melalui aplikasi MyJPJ.
Fungsi ini boleh diakses oleh para pemegang Lesen Memandu Percubaan (PDL) yang layak untuk membuat pertukaran kepada lesen CDL bermula 17 Februari 2025 (Isnin).
Pengenalan fungsi baharu ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai membuat permohonan CDL secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.
Dengan adanya fungsi ini, seramai 2,383,043 pemegang lesen PDL boleh melaksanakan permohonan CDL melalui Aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa dan di mana sahaja menggunakan telefon pintar mereka.
Apa itu Lesen PDL dan CDL?
Sebelum kita ke proses pertukaran, penting untuk memahami perbezaan antara Lesen Memandu Percubaan (PDL) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL).
Lesen PDL (Lesen Memandu Percubaan)
Lesen Memandu Percubaan (PDL) di Malaysia adalah lesen sementara yang diberikan kepada pemandu baharu yang telah lulus ujian amali Bahagian 2 dan 3. Tempoh percubaan bagi PDL adalah selama 2 tahun.
Sepanjang tempoh ini, pemandu mesti mematuhi peraturan jalan raya dan tidak boleh mengumpul lebih daripada 20 mata demerit di bawah sistem KEJARA; jika tidak, lesen mereka boleh dibatalkan.
Selepas tamat tempoh 2 tahun dan dengan rekod pemanduan yang bersih, pemegang PDL layak untuk menaik taraf kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL). Proses pertukaran ini kini boleh dilakukan dengan lebih mudah melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu hadir ke pejabat JPJ.
Kesimpulannya Lesen PDL adalah:
- Lesen PDL diberikan kepada pemandu baru lulus ujian JPJ.
- Tempoh sah selama 2 tahun.
- Pemandu mesti mematuhi semua peraturan trafik dan tidak boleh mengumpul lebih daripada 20 mata demerit di bawah sistem KEJARA.
- Wajib memaparkan pelekat ‘P’ pada kenderaan.
Lesen CDL (Lesen Memandu Kompeten)
Lesen Memandu Kompeten (CDL) adalah lesen memandu penuh yang diberikan kepada pemandu di Malaysia selepas mereka berjaya menyelesaikan tempoh percubaan selama dua tahun dengan Lesen Memandu Percubaan (PDL). CDL membolehkan pemandu memandu tanpa sekatan yang dikenakan ke atas pemegang PDL.
Lesen jenis ini tidak mempunyai sekatan ‘P’ dan boleh digunakan untuk tempoh lebih lama. Pemilik lesen CDL mempunyai lebih banyak kelebihan termasuk menjadi pemandu e-hailing seperti Grab atau AirAsia Ride.
Syarat dan Dokumen Permohonan Lesen CDL
Syarat Permohonan CDL
- Tempoh Permohonan: Permohonan boleh dibuat dalam tempoh tujuh hari sebelum tamat tempoh percubaan PDL dan sehingga satu tahun selepas tarikh tamat PDL.
- Status Pemohon: Pemohon tidak disenaraihitamkan oleh JPJ.
- Tempoh Lesen: CDL boleh dipohon untuk tempoh antara satu hingga lima tahun.
Dokumen Diperlukan
- MyKad atau pasport asal pemohon.
- Jika diwakili, salinan MyKad atau pasport pemohon dan pengenalan diri asal wakil.
- Satu gambar berwarna berukuran 25mm x 32mm dengan latar belakang putih (pilihan).
- Pasport yang masih sah bagi warga asing.
- Bayaran yang ditetapkan:
- RM20.00 setahun untuk kelas B2, B, dan C.
- RM30.00 setahun untuk kelas D dan ke atas.
Kelebihan Fungsi Baharu Permohonan CDL Melalui Aplikasi MyJPJ
Anda kini tidak perlu bersusah payah beratur di kaunter JPJ bagi permohonan pertukaran Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL). Semuanya kini boleh dibuat melalui aplikasi MyJPJ.
Kelebihan fungsi baharu ini adalah;
- Mudah dan Cepat: Proses permohonan CDL menjadi lebih mudah dan cepat dengan hanya beberapa langkah di aplikasi MyJPJ.
- Jimat Masa:Pemohon tidak perlu lagi meluangkan masa untuk pergi ke kaunter JPJ.
- Fleksibel: Permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
- Mesra Pengguna: Aplikasi MyJPJ direka dengan antara muka yang mesra pengguna, memudahkan semua golongan untuk menggunakan fungsi baharu ini.
Cara Memohon Pertukaran Lesen PDL ke CDL Melalui Aplikasi MyJPJ
Berikut adalah langkah-langkah mudah untuk menukar PDL ke CDL menggunakan MyJPJ:
1. Muat Turun dan Kemas Kini Aplikasi MyJPJ
Pastikan anda telah memuat turun atau mengemas kini aplikasi MyJPJ di:
- Google Play Store (Android): Muat turun di sini
- Apple App Store (iOS): Muat turun di sini
- Huawei AppGallery:
2. Log Masuk ke Akaun MyJPJ
Masukkan ID Pengguna dan kata laluan untuk mengakses aplikasi.
3. Pilih Menu “Permohonan CDL”
Pada skrin utama aplikasi, cari dan klik menu “Permohonan CDL”.
4. Pilih “Tempoh Pembaharuan”
Anda boleh memilih tempoh pembaharuan lesen yang sesuai dengan keperluan anda. (1 hingga 5 tahun)
5. Pilih “Mod Pembayaran” dan Buat Bayaran
Pilih kaedah pembayaran seperti FPX atau kad kredit/debit dan buat bayaran fi permohonan.
6. Permohonan Diproses dan Notifikasi Diterima
Selepas pembayaran berjaya, permohonan anda akan diproses. Anda akan menerima notifikasi status permohonan dalam aplikasi.

Info Lanjut
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) berinteraksi dengan orang ramai melalui pelbagai platform media sosial rasmi. Berikut adalah saluran rasmi JPJ:
- Facebook: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
- Twitter (X): @JPJ_Malaysia
- Instagram: @jpjmalaysia
- Youtube: JPJ Malaysia
- Laman web: https://www.jpj.gov.my/
Lihat Juga:
– Lesen B Penuh (Full): Syarat dan Cara Memohon