“The Malaya” telah dipilih sebagai Pakaian rasmi atlet Malaysia untuk majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024, melambangkan harapan dan kebanggaan nasional.
Busana ini adalah ciptaan duo pereka fesyen terkenal Malaysia Rizman Ruzaini dengan kebolehan mereka menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan moden.
Set baju ini diperagakan oleh atlet negara dalam acara pembukaan Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai 2024.
Pada penampilan kali ini, Malaysia diwakili oleh 26 atlet untuk acara Akuatik Terjun & Renang, Pelayaran, Menembak, Berbasikal Trek dan Lebuhraya, Angkat Berat, Badminton, Golf, Memanah dan Olahraga.
Misi utama kontinjen negara adalah untuk meraih pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik.
Tema Baju Majlis Perasmian Atlet Malaysia
Busana yang diperagakan oleh atlet wanita dan lelaki Malaysia untuk Sukan Olimpik Paris 2024 mengambil tema ‘Manis dan Sopan‘, mencerminkan nilai-nilai keanggunan dan kesopanan yang mendalam dalam budaya Malaysia.
Para atlet wanita tampil dalam busana tradisional kerubung, yang merupakan simbol keayuan dan kemuliaan wanita Malaya, sementara para atlet lelaki mengenakan baju Melayu Teluk Belanga, sebagai lambang penghormatan dan kasih sayang kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dari Johor.
Pemilihan busana ini bukan hanya mencerminkan tradisi tetapi juga memperkukuhkan identiti nasional di pentas global. Penggabungan elemen-elemen budaya dalam pakaian ini tidak hanya memperkuat jati diri kebangsaan tetapi juga menghormati warisan yang telah lama terpelihara, menjadikan setiap penampilan atlet bukan sekadar pertunjukan tetapi juga perayaan warisan dan sejarah Malaysia.
Warna The Malaya
Olive Green atau hijau zaitun telah dipilih sebagai warna dominan busana ini.
Olive Green dipilih kerana warnanya yang klasik dan elegan serta mampu memancarkan kilauan keemasan di bawah pantulan cahaya. Selain itu, warna hijau juga sering dikaitkan dengan harapan dan keharmonian, sesuai dengan semangat Olimpik.
Detail Busana
- Wanita: Baju kurung songket dengan kelubung, menggambarkan sopan santun dan warisan kaya Malaysia.
- Lelaki: Baju Melayu Teluk Belanga yang juga menampilkan unsur songket, sebagai penghormatan kepada tradisi dan budaya.
Elemen keemasan dalam motif busana menambahkan sentuhan kemewahan dan simbolik, mencerminkan aspirasi untuk kejayaan dan prestasi cemerlang di pentas dunia.
Aspirasi dan Dedikasi Koleksi ‘The Malaya’
Menurut dua pereka itu, koleksi The Malaya yang berona hijau zaitun tanda dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan Tuanku Abdul Rahman.
Pemilihan Warna dan Simbolisme
“’Kami memilih skim warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberi aura klasik dan di bawah pantulan cahaya, ia memancarkan kilauan keemasan.’
“Kilauan keemasan itu simbolik harapan kepada atlet kita membawa pulang pingat emas untuk negara. Rekaan itu juga seperti melihat sebutir berlian yang digilap berkilau dan diikat dengan emas yang dijadikan cincin di jari. Sungguh cantik, sangat sempurna,’ katanya.
“Dengan sosok tubuh tegap atlet, kedua-dua pereka ini berkata ia memberikan kesempurnaan serta menyerlahkan sisi sopan dan klasik pemakainya.”
Sumber: Berita Harian
Lihat Juga:
– Senarai Atlet Malaysia Dan Acara Di Sukan Olimpik 2024 Paris