Salah satu perkara yang paling ditunggu-tunggu setiap kali Aidilfitri ialah suasana meriah dengan hidangan istimewa melalui pelbagai menu raya rumah terbuka yang mampu memikat selera setiap tetamu.
Sudah menjadi budaya masyarakat kita untuk menganjurkan open house sebagai tanda kesyukuran dan meraikan Aidilfitri bersama keluarga, jiran serta rakan taulan.
Melalui suasana inilah, pelbagai juadah disediakan bukan sahaja untuk menjamu selera, malah menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat dan penuh makna.
Setiap hidangan yang disediakan membawa cerita, aroma dan rasa yang mampu mengeratkan silaturrahim, mencetuskan perbualan hangat, dan mencipta memori indah dalam suasana penuh keceriaan Aidilfitri.

Konsep Rumah Terbuka (Open House Hari Raya)
Di Malaysia, sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak terhenti pada 1 Syawal sahaja. Kita beraya selama sebulan, dan sepanjang tempoh itu, pelbagai rumah terbuka atau open house diadakan – sama ada di rumah persendirian, pejabat, masjid atau dewan komuniti.
Sama ada dianjurkan oleh individu, organisasi, syarikat korporat atau agensi kerajaan, semuanya bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim, meraikan Syawal dengan penuh kesyukuran serta memperkenalkan budaya murni masyarakat Malaysia kepada semua lapisan masyarakat.
Menariknya, ada majlis yang dijalankan secara potluck, di mana setiap tetamu membawa satu jenis makanan untuk dikongsi bersama.
Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah menambahkan kemesraan melalui semangat tolong-menolong dan keterlibatan semua.
Antara elemen utama yang menjadikan suasana open house begitu istimewa termasuklah:
- Hidangan tradisional & moden: Seperti rendang, lemang, laksa, kek batik, dan pasta raya moden.
Hiasan bertemakan Hari Raya: Lampu pelita, bunga rampai, hiasan hijau emas, dan sudut bergambar. - Tetamu pelbagai kaum, latar belakang dan agama: Melambangkan perpaduan dan keterbukaan masyarakat Malaysia.
- Suasana mesra dan inklusif: Tuan rumah menyambut dengan senyuman, muzik lembut raya, dan keramahan sepanjang majlis.
Panduan Penyediaan Menu Raya Rumah Terbuka
Sama ada menganjurkan secara kecil-kecilan atau berskala besar, penyediaan menu yang terancang mampu menjadikan rumah terbuka lebih tersusun, menjimatkan masa, dan menggembirakan tetamu.
1. Tentukan Bajet & Jumlah Tetamu Awal
Langkah pertama dalam merancang menu rumah terbuka ialah mengetahui bilangan tetamu. Ini penting untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan setiap orang dapat menikmati juadah.
2. Pilih Hidangan Ikonik & Disukai Ramai
Antara pilihan popular untuk menu open house raya termasuk rendang, lemang, lontong, dan nasi impit kuah kacang.
Hidangan ini bukan sahaja tradisional, malah sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk bagi menu jamuan raya sekolah anak.
3. Tambahkan Sentuhan Moden dan Kreatif
Bagi mempelbagaikan rasa, anda boleh sediakan variasi seperti spaghetti rendang, popia karipap, atau cucur viral — antara pilihan yang sesuai untuk menu raya simple yang menjimatkan masa tetapi tetap sedap dan menarik.
4. Pencuci Mulut Wajib Ada
Hidangan penutup seperti kek batik, agar-agar koktel, dan puding roti sangat sesuai dijadikan sebagai sebahagian daripada menu jamuan raya atau sajian tambahan untuk memikat hati tetamu kecil dan dewasa.
5. Minuman Penyegar Suasana
Pastikan anda sediakan air sejuk dan panas seperti air sirap bandung, teh tarik, dan kopi kampung.
Boleh juga tambah variasi seperti infused water untuk mereka yang mementingkan kesihatan – sesuai untuk dimasukkan dalam kategori menu sihat.
6. Pilihan Potluck Untuk Jimat & Mesra Komuniti
Jika anda menganjurkan majlis bersama jiran atau rakan kerja, konsep menu potluck atau lebih spesifik menu potluck raya sangat digalakkan.
Tetamu membawa satu hidangan masing-masing untuk dikongsi — ini bukan sahaja menjimatkan bajet, tapi mencipta suasana mesra yang menyeronokkan.
7. Lengkapkan Dengan Sentuhan Personal
Akhir sekali, anda boleh letakkan label makanan, hiaskan sudut bergambar, dan sediakan ruang mesra OKU atau warga emas. Ini menjadikan menu open house anda lebih inklusif dan dihargai semua lapisan tetamu.
Senarai Idea Menu Raya Jamuan Rumah Terbuka & Open House Raya Office
Terdapat pelbagai pilihan menu raya rumah terbuka yang boleh anda sediakan sama ada untuk jamuan sekolah, open house office atau rumah terbuka sendiri.
Sama ada ingin membelinya, upah catering atau memasak sendiri di rumah, yang paling penting ialah hidangan tersebut digemari oleh tetamu dan mudah dinikmati oleh semua lapisan masyarakat
Menu yang dipilih boleh disusun mengikut kategori seperti hidangan utama, lauk pelengkap, mee dan berkuah, snek ringan, pencuci mulut, serta minuman bagi memastikan variasi dan keseimbangan rasa untuk semua tetamu.
Antara idea menu yang boleh anda pilih atau sediakan ialah:
Hidangan Utama (Main Course)
- Nasi Beriani Ayam / Daging
- Ketupat / Lemang / Ketupat Pulut Palas
- Nasi Kerabu
- Nasi Lemak Sambal Bilis
- Nasi Minyak
- Nasi Tomato
- Nasi Ayam
- Nasi Ulam & Ikan Masin / Ayam Goreng Berempah
- Lempeng Sambal / Lempeng Kelapa
- Nasi Goreng Kampung / Nasi Goreng Simple
- Nasi Impit & Kuah Kacang
Lauk Pelengkap & Berkuah
- Rendang Daging
- Kuah Lodeh
- Sambal Tumis Bilis (Sambal Nasi Lemak)
- Kuah Kacang
- Ayam Masak Merah
- Kurma Ayam
- Dalca Sayur / Dalca Daging
- Acar Rampai / Jelatah
- Masak Lemak Cili Api Daging / Ayam / Ikan
- Ayam Masak Halia
- Sup Ayam Simple
- Daging Dendeng / Daging Hitam Manis
- Sambal Nasi Lemak
Mee & Hidangan Berkuah
- Mee Kuah Daging + Tulang
- Laksa Utara
- Bihun Sup
- Lontong
- Laksa Johor
- Bihun Goreng
- Laksa Sarawak
- Kue Tiaw
- Mee Goreng
- Soto
- Laksam
- Roti Jala & Kari Ayam
- Mee Kari
- Mee Bandung
- Mee Rebus
- Spaghetti Goreng
- Mihun Kari
- Sup Tulang Merah
Menu Ringan, Kuih & Snek
- Sate ayam/daging/rusa/arnab
- Spaghetti Bolognese
- Tahu Bergedil
- Murtabak Mini
- Kuih Cara Berlauk
- Popia Goreng
- Karipap Pusing / Karipap Mini
- Cucur Udang / Cucur Jagung
- Samosa Mini
- Roti John Mini
- Donut Mini / Bomboloni
- Pizza Raya Mini
- Pulut Panggang
- Kuih Talam Berlauk
- Apam Polkadot
Pencuci Mulut & Kuih Raya
- Aneka Kuih Raya
- Bubur Chacha
- Buah-buahan Tempatan
- Puding Laici Susu
- Puding Karamel
- Puding Sumi
- Kek Batik
- Dodol
- Kuih Seri Muka
- Kuih Lapis
- Tapai Pulut / Tapai Ubi
- Kuih Lopes / Onde-Onde (Buah Melaka)
- Agar-Agar Gula Melaka / Santan
- Cheesekut / Puding Oreo
- Cendol Cup / Cendol Mini
- Salad Buah
- Kek Coklat Moist Kukus
Minuman Raya
- Coconut Shake / Mango Float
- Air Minuman Sejuk & Panas
- Sirap Selasih Laici
- Air Sirap Bandung
- Teh Tarik Kaw
- Air Jagung
- Air Soda Herbal
- Jus Tembikai Limau
- Air Asam Boi
- Air Mata Kucing
- Teh O Limau Ais
- Lemon Pudina Segar
- Kopi Kampung
- Aiskrim Malaysia (Pelbagai Perisa)
Resepi Rendang Daging Terhebat (Untuk 2 kg Daging)

Sumber: Baizura Kadir
Rendang adalah menu popular untuk rumah terbuka hari raya Aidilfitri. Berikut adalah resepi rendang untuk 2 kg daging
Bahan Kisar:
- 5 biji bawang merah
- 3 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 5 cm halia
- Kunyit segar sepanjang ibu jari
- 3 batang serai – dihiris halus
- ½ inci lengkuas
Bahan-Bahan Lain:
- 2 kg daging – potong sederhana
- 2 senduk lada kisar (lebih jika suka pedas)
- 2 senduk minyak masak
- 500 ml santan kotak (contoh: Kara)
- ½ biji gula Melaka (saiz besar)
- Air secukupnya
- 3 senduk kerisik (lebih jika suka)
- 2–3 keping asam keping
- Garam, gula & perasa secukup rasa
- Daun kunyit – dihiris halus
- Opsyenal: 2–3 sudu besar rempah kari daging
Cara Penyediaan:
- Dalam kuali besar, masukkan daging, lada kisar, bahan kisar dan minyak.
- Masak sehingga rempah mendidih dan naik bau.
- Tambahkan santan, gula Melaka dan air secukupnya. Kacau rata.
- Tutup kuali dan biarkan daging empuk. Tambah air jika perlu hingga daging lembut.
- Apabila daging empuk, buka penutup kuali. Masukkan kerisik dan asam keping.
- Masukkan garam, gula dan perasa apabila kuah hampir kering untuk elakkan termasin.
- Akhir sekali, masukkan daun kunyit yang telah dihiris.
- Teruskan mengacau perlahan hingga kuah kering dan pecah minyak.
- Jika mahu, boleh masukkan rempah kari daging ketika awal tumisan untuk lebih rasa berempah.
Nota: Minyak akan keluar sendiri hasil daripada lemak santan dan kerisik — itu tanda rendang hampir siap.
SUmber: Baizura Abdul Kadir
Resepi Laksa Kedah (Menu Raya Rumah Terbuka)

Laksa Kedah adalah menu popular untuk rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri. Berikut adalah resepi lengkap untuk menyediakan hidangan ini dengan enak.
Bahan-bahan:
- 1 bungkus laksa – direndam dan direbus
- 1 kg ikan sardin + ikan kembung (ikan termenung) – direbus bersama asam keping
- 2–3 labu bawang besar – dikisar
- Sedikit belacan bakar
- 15–20 tangkai cili kering + 3 tangkai cili padi (ikut tahap kepedasan)
- 3–4 keping asam keping (ikut rasa kemasaman yang diingini)
- 2–3 tangkai daun kesum
- 2 kuntum bunga kantan – dibelah dua
- Segenggam ikan bilis dikisar atau serbuk pati ikan bilis
- 3–4 ekor udang saiz sederhana
Bahan tabur atas laksa:
- Telur rebus
- Limau kasturi
- Daun salad
- Timun
- Cili padi
- Cili merah
- Bawang besar
- Bunga kantan – dihiris halus
Cara Penyediaan:
- Asingkan isi dan tulang ikan yang telah direbus.
- Kisar isi ikan hingga halus.
- Tulang ikan dikisar bersama air rebusan ikan, kemudian tapis beberapa kali sehingga hanya tinggal tulang putih.
- Kisar bawang besar, cili padi, cili kering dan belacan.
- Satukan isi ikan, air tapisan tulang, dan bahan kisar dalam periuk. Tambah air mengikut kepekatan kuah yang diingini.
- Masukkan serbuk bilis dan udang.
- Tambah asam keping dan garam secukup rasa. Apabila mula mendidih, masukkan daun kesum dan bunga kantan.
- Biarkan kuah mendidih dan mesra.
- Sediakan bahan tabur dan hidangkan bersama laksa yang telah direbus.
Resepi Lontong Kuah Lodeh By Khairul Aming
Selain itu, Lontong Kuah Lodeh adalah menu popular untuk rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri. Berikut adalah Resepi Lontong Kuah Lodeh oleh Khairul Aming yang lengkap dan sedap.
Bahan Untuk Kuah Lodeh:
- 3 biji bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 3 cili padi merah
- 2 ketul kunyit hidup
- 4 sudu udang kering (direndam air)
- 1 liter air
- 2 batang serai
- Lengkuas sebesar ibu jari
- 3 kotak kecil santan
- Udang secukupnya
- Kubis
- Lobak merah
- Kacang panjang
- Fucuk
- Suhun
- Garam, gula & serbuk perasa
Bahan-Bahan Sambal Ikan Bilis:
- 3 biji bawang merah
- Segenggam cili kering (direbus)
- 3 ulas bawang putih
- 2 biji lada merah
- Sedikit belacan
- Air secukupnya
- Sedikit air asam jawa
- Garam, gula & serbuk perasa
- Ikan bilis
Bahan-Bahan Lain:
- Nasi impit
- Tempe
- Tauhu
- Telur
Cara Penyediaan Kuah Lodeh:
- Rendam fucuk dan suhun dalam air hingga kembang.
- Kisar bawang merah, bawang putih, cili padi merah, kunyit hidup, dan udang kering yang telah direndam.
- Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama serai, lengkuas, dan air. Masak hingga mendidih.
- Tambah santan dan kacau rata.
- Masukkan udang dan masak hingga udang bertukar warna.
- Tambah sayur-sayuran (kubis, lobak merah, kacang panjang) serta fucuk dan suhun yang telah direndam.
- Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa. Masak hingga sayur lembut.
Cara Penyediaan Sambal Ikan Bilis:
- Kisar bawang merah, cili kering yang direbus, bawang putih, lada merah, dan belacan hingga halus.
- Tumis bahan kisar dalam minyak panas hingga pecah minyak.
- Tambah sedikit air asam jawa, garam, gula, dan serbuk perasa. Kacau rata.
- Masukkan ikan bilis dan masak hingga sambal pekat dan pecah minyak.
Penyediaan Bahan Lain:
- Rebus nasi impit hingga masak.
- Goreng tempe dan tauhu hingga garing.
- Rebus telur hingga masak.
Resepi Puding Sumi

Puding Sumi turut menjadi pencuci mulut popular dalam rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri. Berikut adalah resepi lengkap untuk menyediakan hidangan ini dengan mudah dan sedap.
Bahan-Bahan:
- 20 gram agar-agar tali – rendam selama 10 minit
- 3 tin air (guna tin susu cair sebagai sukatan)
- ½ tin susu pekat manis
- 1 tin susu cair
- 2 sudu besar tepung kastard – larutkan dengan ½ cawan air
- Secubit garam
- Beberapa biji sumi jelly berwarna-warni
Cara Penyediaan:
- Masukkan agar-agar dan air ke dalam periuk. Masak sehingga agar-agar larut sepenuhnya.
- Tambahkan susu pekat, susu cair, garam dan larutan tepung kastard. Kacau sehingga sebati.
- Teruskan memasak campuran tadi hingga mendidih perlahan dan pekat.
- Sementara menunggu, susun sumi jelly ke dalam acuan pilihan (boleh guna bekas kecil atau loyang besar).
- Tuangkan campuran puding ke dalam acuan yang telah berisi sumi jelly.
- Biarkan sejuk pada suhu bilik sehingga mengeras, kemudian masukkan ke dalam peti sejuk.
- Sedia untuk dihidangkan apabila puding sejuk dan padat.
Tips: Puding lebih sedap jika dihidangkan sejuk dan boleh dipelbagaikan dengan tambahan buah tin, jagung manis atau sirap berwarna.
Resepi Aiskrim Malaysia Cumi Cumi

Kredit: Geng Share Resepi
Bahan-Bahan:
- 1 tin susu pekat manis
- 1 tin susu cair
- 4 tin air kosong (guna tin yang sama untuk sukatan)
- Secubit garam
- 2 bungkus sumi jelly (potong kecil)
Cara Penyediaan:
- Campurkan susu pekat, susu cair, 1 tin air dan garam ke dalam periuk.
- Masak atas api sederhana sehingga garam larut sepenuhnya.
- Tambahkan baki 3 tin air ke dalam adunan dan kacau sehingga sebati.
- Sediakan plastik aiskrim Malaysia dan masukkan beberapa potongan sumi jelly ke dalam setiap plastik.
- Tuangkan adunan susu ke dalam plastik aiskrim sehingga hampir penuh, kemudian ikat dengan kemas.
- Bekukan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 6–8 jam atau sehingga aiskrim mengeras sepenuhnya.
Tips: Boleh pelbagaikan dengan perisa tambahan seperti sirap ros, sirap jagung, atau pewarna makanan untuk variasi warna.