HomeKewanganKalkulator Gaji Penjawat Awam: Kira Kenaikan Gaji SSPA 2024

Kalkulator Gaji Penjawat Awam: Kira Kenaikan Gaji SSPA 2024

Bagi memudahkan urusan pengiraan kenaikan gaji SSPA penjawat awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan kemudahan pengiraan gaji secara online melalui Kalkulator Gaji SSPA.

Kalkulator ini merupakan inisiatif JPA bagi memberikan gambaran kenaikan gaji setiap penjawat awam dan jumlah dipaparkan adalah tanpa elaun.

Ia membolehkan penjawat awam untuk membuat pengiraan anggaran kenaikan gaji masing-masing berdasarkan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal dilaksanakan mulai 1 Disember 2024. 

Langkah ini memudahkan perancangan kewangan dan memberikan gambaran jelas mengenai perubahan gaji yang bakal diterima. 

Pengenalan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)

Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah mekanisme yang digunakan oleh kerajaan untuk menentukan gaji, elaun, dan faedah lain yang diterima oleh penjawat awam. 

Sistem ini direka untuk memastikan gaji yang adil dan kompetitif bagi semua penjawat awam berdasarkan gred jawatan dan tanggungjawab mereka. 

SSPA juga memainkan peranan penting dalam menentukan pelarasan gaji yang diumumkan dari semasa ke semasa, termasuk pelarasan gaji terbaru yang diumumkan pada tahun 2024.

Dengan menggunakan SSPA, kerajaan dapat memastikan bahawa setiap penjawat awam menerima ganjaran yang setimpal dengan kerja yang dilakukan, sambil memastikan bahawa faedah yang diterima oleh penjawat awam setanding dengan sektor swasta. 

Ini adalah penting dalam menarik dan mengekalkan bakat dalam sektor awam, serta memastikan bahawa penjawat awam dapat mengekalkan taraf hidup yang baik.

Matlamat SSPA adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.
  • Meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan.
  • Meningkatkan daya saing negara.
  • Menangani pendapatan yang tidak seiring dengan kos sara hidup.
  • Mengukuhkan kemampanan fiskal negara.

Kalkulator Gaji Penjawat Awam SSPA

Kalkulator Gaji SSPA

Untuk membantu penjawat awam mengira anggaran gaji mereka selepas pelarasan, kerajaan telah menyediakan alat yang dikenali sebagai “Kalkulator Gaji SSPA”. 

Kalkulator ini boleh diakses melalui laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu https://sspa.jpa.gov.my/kiraan/kalkulator.php

Panduan Penggunaan Kalkulator Gaji SSPA

Kalkulator Gaji SSPA

Sekiranya anda ingin menggunakan kalkulator ini, anda boleh akses terus ke laman yang disediakan melalui URL yang tertera atau anda boleh ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Masukkan Gaji Hakiki: Isikan jumlah gaji anda pada 30 November 2024 dalam ruangan yang disediakan.
  2. Pilih Kumpulan Perkhidmatan: Pilih kumpulan perkhidmatan anda daripada senarai yang disediakan.
  3. Pilih Gred Jawatan: Pilih gred jawatan anda.
  4. Klik ‘Kira’: Klik butang ‘Kira’ untuk mendapatkan anggaran gaji selepas pelarasan.

Contoh Simulasi Jumlah Peningkatan Pendapatan Bulanan

Berdasarkan pelarasan gaji yang diumumkan dalam MAPPA ke-19, berikut adalah simulasi peningkatan jumlah pendapatan bulanan bagi beberapa kategori penjawat awam. 

Contoh_Simulasi_Jumlah_Peningkatan_Pendapatan_Bulanan

Simulasi ini menunjukkan perubahan pendapatan dari November 2024 hingga Januari 2026 melalui dua fasa pelarasan gaji:

  1. Pembantu Hidupan Liar Gred G11:
    • Pendapatan Bulanan (November 2024): RM1,795.00
    • Pendapatan Bulanan Fasa 1 (Disember 2024): RM2,115.00
    • Pendapatan Bulanan Fasa 2 (Januari 2026): RM2,327.00
  2. Jururawat Gred U29:
    • Pendapatan Bulanan (November 2024): RM2,457.00
    • Pendapatan Bulanan Fasa 1 (Disember 2024): RM2,697.00
    • Pendapatan Bulanan Fasa 2 (Januari 2026): RM2,994.74
  3. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 (T5):
    • Pendapatan Bulanan (November 2024): RM3,838.00
    • Pendapatan Bulanan Fasa 1 (Disember 2024): RM4,085.04
    • Pendapatan Bulanan Fasa 2 (Januari 2026): RM4,559.24
  4. Prebet (Askar) Gred ZA1:
    • Pendapatan Bulanan (November 2024): RM2,379.00
    • Pendapatan Bulanan Fasa 1 (Disember 2024): RM2,619.00
    • Pendapatan Bulanan Fasa 2 (Januari 2026): RM2,857.63
  5. Konstabel Polis Gred YA1:
    • Pendapatan Bulanan (November 2024): RM2,256.00
    • Pendapatan Bulanan Fasa 1 (Disember 2024): RM2,496.00
    • Pendapatan Bulanan Fasa 2 (Januari 2026): RM2,726.02

Nota: Pendapatan bulanan ini merangkumi gaji pokok dan elaun, namun tidak termasuk elaun khusus. Simulasi ini memberikan gambaran jelas tentang peningkatan pendapatan yang boleh dijangka oleh penjawat awam selepas pelarasan gaji dilaksanakan.

Gaji Hakiki dan Maksud Gaji Hakiki

Dalam konteks SSPA dan pelarasan gaji penjawat awam, “gaji hakiki” merujuk kepada gaji pokok yang diterima oleh seorang penjawat awam berdasarkan gred jawatannya, tanpa mengambil kira sebarang elaun atau imbuhan tambahan. Gaji hakiki ini adalah asas kepada pengiraan pelarasan gaji dan pencen yang diumumkan oleh kerajaan.

Sebagai contoh, jika seorang penjawat awam dalam Gred G11 menerima gaji hakiki sebanyak RM1,795 pada 30 November 2024, maka selepas pelarasan gaji Fasa 1 pada Disember 2024, gajinya akan meningkat kepada RM2,115. Manakala pada Fasa 2 yang akan bermula pada 1 Januari 2026, gaji hakiki penjawat awam tersebut akan meningkat lagi kepada RM2,327.

Oleh itu, penjawat awam perlu tahu jumlah gaji hakiki mereka dan bagaimana ia akan dipengaruhi oleh pelarasan yang diumumkan.

Pelarasan Gaji dan Fasa Pelaksanaan

Dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang berlangsung pada 16 Ogos 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam yang berlandaskan kepada prestasi, disiplin, dan ketangkasan. 

Kenaikan gaji penjawat awam ini akan dilaksanakan dalam dua fasa. 

Fasa pertama akan bermula pada 1 Disember 2024, di mana penjawat awam dalam Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan menerima kenaikan sebanyak 8%, manakala manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima kenaikan sebanyak 4%. 

Fasa kedua pula akan bermula pada 1 Januari 2026, dengan tambahan kenaikan sebanyak 7% untuk Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan 3% untuk KPT. 

Fasa_Pelaksanaan_Gaji_SSPA

Secara keseluruhan, ini menjadikan jumlah pelarasan gaji sebanyak 15% bagi kumpulan pertama dan 7% bagi kumpulan kedua.

Kerajaan berharap pelarasan ini bukan sahaja akan memberi motivasi kepada penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara, tetapi juga membantu mereka dalam menghadapi cabaran inflasi yang melambung tinggi. 

Sebagai perbandingan, dalam tempoh 12 tahun sebelum ini, penjawat awam hanya menerima kenaikan gaji sebanyak 5.8%, sedangkan kadar inflasi telah meningkat sebanyak 21%.


Lihat Juga:
PPAM Madani: Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI

RELATED ARTICLES

TERKINI

Recent Comments